PEMEGANG lesen eksklusif bagi formulasi baja Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Briar Resources Sdn Bhd (Briar Resources) telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan undang-undang terhadap pengilang terdahulu berikutan pertikaian kontrak pembekalan yang menjejaskan operasi syarikat.
Walaupun berdepan dengan konflik undang-undang yang rumit, syarikat memberi jaminan penuh bahawa rantaian bekalan baja bagi Program Baja MADANI akan tetap diteruskan demi memastikan kebajikan lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara tidak terabai.
Langkah ini susulan daripada kegagalan pihak pembekal yang terikat dengan kontrak sejak 2022 untuk membekalkan produk tersebut sejak Mac lalu.
Peguam dari Tetuan Foo Hiap Siong & Co, William Foo menjelaskan tindakan undang-undang merupakan jalan terakhir yang terpaksa diambil selepas pelbagai usaha rundingan gagal mencapai penyelesaian.
Beliau mendakwa, walaupun isu bekalan yang bermula akibat konflik peperangan global semakin reda, pihak pengilang masih enggan memenuhi tanggungjawab mereka tanpa alasan yang kukuh.
“Matlamat utama Program Baja MADANI adalah untuk membantu meringankan kos input pertanian bagi golongan pekebun kecil, bukannya demi kepentingan korporat pihak tertentu.
“Kegagalan membekalkan baja ini bukan sahaja menjejaskan sasaran syarikat, tetapi turut memberi kesan langsung kepada pendapatan dan kelangsungan hidup para pekebun yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman mereka,” katanya.
Selain isu bekalan, William turut mendedahkan pelanggaran serius terhadap hak harta intelek.
Pihak pengilang terbabit didakwa menghasilkan produk tiruan dengan pembungkusan berbeza bagi mengelirukan pasaran pada harga yang lebih rendah.
Tindakan ini disifatkan sebagai perlanggaran syarat pengeluaran yang ketat memandangkan formulasi serta tanda dagangan tersebut adalah hak milik eksklusif MPOB yang dilesenkan kepada Briar Resources.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Briar Resources, Wayne Lai menyatakan bahawa kebiasaannya syarikat mengedarkan antara 1,300 hingga 2,000 tan baja setiap bulan.
Gangguan bekalan ini telah menyebabkan pelan strategik Program Baja MADANI yang dirangka sejak Jun 2024 tergendala, sekali gus mengakibatkan kerugian kewangan serta mencemarkan reputasi syarikat.
Menyedari impak besar kepada sektor pertanian, Pengerusi Eksekutif Briar Resources, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail menegaskan bahawa syarikat kini sedang giat bekerjasama dengan pengilang baharu bagi menampung permintaan pasaran.
“Keutamaan kami adalah memastikan pekebun kecil tidak menjadi mangsa dalam pertikaian ini.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya bagi menjamin kelancaran bekalan dengan kualiti formulasi yang sama.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dipergiatkan agar para pekebun tetap menerima baja yang berkualiti untuk memastikan hasil tanaman mereka terus terjamin pada masa hadapan,” ujarnya.

