SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan penyedia perkhidmatan berkaitan melaksanakan langkah mitigasi segera susulan kebakaran sebuah menara komunikasi komersial di Kampung Semaru, Padawan, Kuching yang menjejaskan kira-kira 1,000 pengguna.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian membabitkan menara komunikasi milik Sacofa Sdn Bhd itu berlaku kira-kira jam 6 petang pada Rabu lalu.
Menurut kenyataan itu, kebakaran berkenaan menyebabkan pengguna di Kampung Semaru, Kampung Biya Parang, Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Pesang dan Kampung Subang mengalami gangguan perkhidmatan komunikasi, termasuk kemerosotan liputan rangkaian serta sambungan yang tidak konsisten.
“Sejurus kejadian dikenal pasti, MCMC mengarahkan penyedia perkhidmatan yang terbabit melaksanakan langkah mitigasi dengan segera.
“Antara langkah diambil ialah mengoptimumkan liputan rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran serta mengoperasikan Portable Base Transceiver Station (PBTS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi sementara infrastruktur yang terjejas dipulihkan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sepanjang tempoh kerja pemulihan dijalankan, pengguna yang terjejas disaran memanfaatkan kemudahan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Darul Islam Belimbing, NADI Kampung Bengoh dan NADI Kampung Braang Bayur bagi mendapatkan akses kepada perkhidmatan komunikasi serta kemudahan digital berkaitan.
MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi dan bekerjasama rapat dengan Sacofa Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan serta agensi berkaitan bagi memastikan usaha pemulihan dilaksanakan dengan lancar.
Katanya, kerjasama itu juga bertujuan mempercepatkan pemulihan sepenuhnya perkhidmatan komunikasi kepada pengguna yang terjejas.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

