PAKATAN Harapan (PH) Melaka akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan kerajaan caretaker seperti mana diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, petang tadi.
Pada masa sama, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari menegaskan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak wajar dibenarkan menjadi Ketua Menteri kepada kerajaan caretaker.
Kata beliau, ini selaras dengan apa yang berlaku pada 2 Mac 2020 di mana tugas pentadbiran kerajaan negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.
“Merujuk kepada sidang akhbar yang diadakan oleh Ab. Rauf, hari ini mengenai pembubaran DUN Melaka Ke-14 jelas menunjukkan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Ke-12 telah hilang kepercayaan sebahagian besar ADUN.
“PH Melaka berpandangan adalah tidak wajar untuk beliau dibenarkan menjadi Ketua Menteri kerajaan caretaker,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adly turut menyelar permohonan Sulaiman kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam untuk membubarkan DUN Melaka Ke-14.
“Ia mempamerkan sikap beliau yang tidak bertanggungjawab kerana rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, malahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama,” jelas beliau.
Baca artikel berkaitan: Dulu ‘barua’, sekarang bermaruah, kami berempat fighter – Norhizam
DUN Melaka bubar, beri laluan pilihan raya negeri – Speaker
Semalam, empat ADUN menyokong kerajaan diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman.
Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).
Rentetan pengumuman empat ADUN berkenaan, Sulaiman dilaporkan menghantar surat kepada Mohd. Ali semalam bagi memaklumkan kedudukan itu dan meminta perkenan untuk pembubaran DUN.
Ab. Rauf pula berkata, Mohd Ali telah membuat pertimbangan dan bersetuju DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.