TAHUN 2020 menyaksikan ramai artis popular tanah air mendirikan rumah tangga. Jom kita imbas antara perkahwinan artis Malaysia sepanjang tahun 2020.
ELLY MAZLEIN & AZLAN CHE NOH (18 JANUARI 2020)

Penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein, sah bergelar isteri kepada Mohamad Azlan Che Nuh, 29, dengan sekali lafaz pada 18 Januari 2020.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa Elly sendiri, Syed Hanafi Syed Abdullah pada majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pengantin perempuan menerima mas kahwin seutas gelang tangan bernilai RM1,800 dan lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas tujuh.
Ini merupakan perkahwinan kedua buat Elly. Sebelum ini, Elly pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta, pada 9 November 2014 dan mereka bercerai pada 15 Oktober 2015.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan.
SASHA SAIDIN & SIRHAN WAHAB (20 JANUARI 2020)

Selepas lapan tahun bergelar ibu tunggal, Sasha Saidin, 43, selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati, Sirhan Wahab, 42, pada 20 Januari 2020.
Sasha yang juga anggota kumpulan Elite, pernah berkahwin dengan Johan Abdullah Skinner pada 2003. Namun, mereka bercerai empat tahun kemudian.
Pada 2007, Sasha menikahi warga Indonesia, Salyo Priyanto tetapi bercerai pada 2012. Hasil perkahwinan dengan Salyo, mereka dikurniakan seorang anak lelaki.
EMMA MAEMBONG & MUHAMMAD SHAZLI (20 FEBRUARI 2020)

Dengan sekali lafaz, pelakon Emma Maembong, 27, sah bergelar isteri kepada Muhammad Shazli Azhar, 32 , dalam majlis pernikahan di Bukit Damansara pada 20 Februari 2020.
Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz berwalikan bapa Emma, Ismail Embong.
Pada majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup itu, Emma menerima mas kahwin RM2,000 berserta senaskhah Al-Quran berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki.
Pihak pengantin perempuan membalas dengan tujuh dulang, manakala wang hantaran dirahsiakan.
AIMAN HAKIM & ZAHIRAH MACWILSON (20 FEBRUARI 2020)

Pelakon cantik Zahirah Macwilson, 25, sah bergelar isteri kepada pelakon, Aiman Hakim Ridza, 31, dengan sekali lafaz tepat jam 9 malam pada 20 Februari 2020.
Pasangan itu dinikahkan bapa kandung Zahirah, Zainol Macwilson pada majlis yang diadakan secara tertutup di GlamHall, Mercu Mustapha Kamal, Damansara.
Zahirah menerima mas kahwin RM300 berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas tujuh daripada pihak perempuan.
Zahirah dan Aiman mengikat tali pertunangan pada 8 Jun tahun lalu di kediaman keluarga aktres itu di Perth, Australia selepas hampir enam bulan menjalinkan hubungan cinta
TASHA SHILA & MUHAMMAD ATIQ (28 FEBRUARI 2020)

Selepas seminggu mengikat tali pertunangan pelakon, Tasha Shilla sah bergelar isteri kepada Muhammad Atiq Idris dengan sekali lafaz di Masjid Wilayah pada 28 Februari 2020.
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abd Razak Razali dan disaksikan Imam Besar masjid berkenaan, Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni.
Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM800 dan sebentuk cincin. Tiada dulang hantaran diserahkan kedua pihak.
Manakala, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
MAMAT SEPAH & DIANA (1 MAC 2020)

Dengan sekali lafaz, pelawak Mamat Sepah sah bergelar suami kepada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang dikenali sebagai Diana Ibrahim pada 1 Mac 2020.
Majlis pernikahan Mamat dan Diana yang diadakan secara sederhana itu berlangsung di kediaman pengantin lelaki di Kulai, Johor.
Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin bersama lima berbalas lima dulang hantaran manakala wang hantaran dirahsiakan.
DIRA ABU ZAHAR & SYFIK IZDZYWAN SIDEK (21 JUN 2020)

Dengan sekali lafaz, pelakon Dira Abu Zahar, 36, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Syfik Izdzywan Sidek, 46, pada 21 Jun 2020.
Dira yang dinikahkan di di Masjid Al Azim, Melaka menerima mas kahwin RM1,000 serta tiga dulang hantaran dari pihak lelaki dan dibalas lima dulang hantaran dari pihak perempuan.
Ini adalah perkahwinan ketiga buat Dira. Pada tahun 2007, dia pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Bau, Tengku Shafriz-Rullah atau Ash.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Bagaimanapun, mereka kemudian bercerai pada 2011.
Dira kemudian telah berkahwin dengan pengarah Helmi Yusof Pada 2011, namun hubungan mereka tidak kekal lama dan bercerai pada 2016.
JOE FLIZZOW & MARINI RAMLAN (26 JUN 2020)

Penyanyi hip hop popular, Joe Flizzow sah bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Marini Ramlan dalam satu majlis tertutup pada 26 Jun 2020.
Joe, 41, atau nama sebenarnya Johan Ishak dinikahkan Ustaz Mohd Borhanuddin Othman di hadapan keluarga dan rakan terdekat.
Pada majlis itu, Joe menyerahkan mas kahwin RM80 berserta lima dulang hantaran kepada pihak perempuan dan dibalas tujuh.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Pasangan ini sudah berkenalan lebih 15 tahun, namun mula menjalin hubungan serius pada 2016 dan mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu.
ZARINA ANJOULIE & EILYAS AZHAR (17 JULAI 2020)

Empat tahun bergelar ibu tunggal, pelakon dan usahawan Zarina Anjoulie selamat bernikah dengan jejaka pilihan hatinya, Eliyas Azhar pada 17 Julai 2020.
Zarina dan Eliyas sah bergelar pasangan suami dengan sekali lafaz di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan.
Zarina pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki berasal dari Brunei pada 2015 dan bercerai pada Disember 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Awangku Gabriel Martin Ezra.
MIERA LEYANA & ROSLAND OTHMAN (27 JULAI 2020)

Memilih lelaki yang memiliki jarak usia 20 tahun, pelakon Miera Leyana, 27 tahun sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Rosland Othman, 47 tahun pada 27 Julai 2020.
Miera dinikahkan oleh bapa Miera sendiri iaitu Datuk Seri Kasmi Arsat dengan sekali lafaz dalam majlis tertutup yang dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan terdekat.
Miera menerima mas kahwin sebanyak RM100 beserta lima berbalas tujuh dulang hantaran.
FENDY BAKRY & AYU (30 OGOS 2020)

Pelakon Fendy Bakry mengejutkan ramai apabila dalam diam telah menamatkan zaman bujang pada 30 Ogos 2020.
Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri, 32, yang berkongsi parkara itu di Instagramnya memberitahu acara akad nikah berlangsung di sebuah Dewan di Setia Alam, Shah Alam yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.
Pada majlis tersebut Fendy menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3008 beserta lima dulang hantaran, manakala, berbalas tujuh dulang dari pihak perempuan.
Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
MIRA FILZAH & WAN EMIR ASTAR (3 SEPTEMBER 2020)

Perkahwinan pelakon dan pengacara Mira Filzah adalah majlis perkahwinan selebriti yang paling dinanti dan disebut-sebut pada tahun 2020.
Dengan sekali lafaz, pelakon Mira Filzah, 27, sah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohamad Khairil Anuar, 30 yang merupakan anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid.
Pasangan itu dinikahkan bapa Mira, Badioezaman Ab Khalik dalam majlis penuh meriah di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur pada 3 September 2020.
Pada majlis tersebut, Mira menerima mas kahwin berupa seutas gelang manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Pihak lelaki juga menyerahkan sembilan dulang hantaran dan berbalas 11 daripada pihak perempuan.
CAT FARISH & SURIANI HASSAN (20 NOVEMBER 2020)

Penyanyi dan pelakon Cat Farish mengejutkan ramai apabila berkongsi dia telah selamat dinikahkan dengan wanita pilihan hati, Suriani Hassan, 34 tahun pada 20 November 2020.
Cat atau nama sebenar Farrish Zaquan, 46, dinikahkan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan dengan kehadiran saksi dan ahli keluarga terdekat.
Untuk makluman, ini merupakan perkahwinan kedua buat Cat. Sebelum ini Cat pernah mendirikan rumah tangga bersama Hartiny Ramli pada 2007 namun mereka berpisah pada tahun 2016.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata, seorang perempuan dan seorang lelaki.
IKMAL AMRY & NAJLA SHAMSUL (19 DISEMBER 2020)

Dengan sekali lafaz, pelakon Ikmal Amry sah bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Najla Shamsul pada pagi 19 Disember 2020 di kediaman pengantin perempuan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Ikmal atau nama sebenar Mohd Zulikmal Amry Ghazali dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Shamsul Kamar di hadapan kedua belah keluarga dan rakan terdekat.
Pada majlis akad nikah itu, Ikmal menyerahkan mas kahwin RM300, wang hantaran RM15,000 serta tujuh dulang hantaran. Sementara pihak perempuan membalas dengan sembilang dulang.
DAYANA ROZA & A’DALE ADHAM (25 DISEMBER 2020)

Pelakon Dayana Roza, 29, selamat disatukan dengan ahli perniagaan, A’dale Adham Ayahudin, 33, di Masjid Negara pada pagi 25 Disember 2020.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa Dayana, Kamsum Baharin Kassim dan disaksikan Imam masjid berkenaan, Ustaz Muhammad Afif Jamal.
Pada majlis akad nikah itu, A’dale menyerahkan mas kahwin berbentuk gelang tangan bernilai RM2,000 dan tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan daripada pihak Dayana. Manakala wang hantaran dirahsiakan.
Tahniah diucapkan kepada semua selebriti tanah air yang telah selamat melangsungkan perkahwinan pada tahun 2020 ini. Semoga ikatan perkahwinan itu akan bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.