SIAPA yang tidak kenal dengan gelagat lincah dan spontan bintang versatil, Elly Mazlein atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom?
Namun, sejak akhir-akhir ini, mata peminat mula tertumpu kepada satu perincian kecil pada penampilannya iaitu pemakaian stoking putih yang dilihat sangat konsisten, terutama ketika dia sedang aktif melakukan kandungan media sosial.
Rupa-rupanya, pilihan itu bukanlah sekadar gaya atau trend semata-mata, sebaliknya merupakan satu langkah strategik bagi menjaga batas aurat sekaligus menutup ruang fitnah daripada mata-mata “nakal” di alam maya.
Menerusi satu sesi perbualan santai bersama Pengetua Maahad Ar-Raudhah (MARDHAH), Ustaz Mohd Azli Abdullah yang tular di aplikasi TikTok baru-baru ini, Elly mendedahkan pemilihan warna putih itu dibuat atas dasar kesedaran yang tinggi terhadap kedudukannya sebagai seorang pempengaruh.
Ujarnya, sifatnya yang aktif dan gemar bergerak ketika menghasilkan kandungan video kadangkala menyebabkan bahagian kaki atau betis terdedah tanpa sengaja.
Justeru, penggunaan stoking warna kulit (skin color) hanya akan mengundang kekeliruan dan spekulasi negatif.
“Kita nak mengelakkan fitnah. Saya sejenis manusia yang lain daripada yang lain.
“Kalau saya buat konten dan berlari santai, sampai boleh nampak betis.
“Jika saya pakai stoking warna kulit, ia akan menimbulkan fitnah dan penat saya nak jelaskan pada semua yang saya sebenarnya memakai stoking,” jelas Elly dengan nada jujur.
Tambah Elly lagi, dengan memilih warna yang kontras seperti putih, orang ramai tidak lagi perlu berteka-teki sama ada dia menutup aurat atau pun tidak.
“Jadi, bila saya pilih stoking putih, orang sudah tidak bertanya apa-apa sebab semuanya sudah jelas,” katanya lagi.
Selain membincangkan soal teknikal pemakaian, sesi tersebut turut menyentuh sisi emosi Elly sepanjang menempuh fasa penghijrahan.
Apa yang mencuri perhatian adalah bagaimana dia menggambarkan sokongan moral yang diterima daripada suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh.
Menurut pelakon drama Kampung People itu, suaminya tidak perlu memberikan ceramah yang panjang lebar, sebaliknya cukup sekadar isyarat kasih sayang yang membuktikan restu dan sokongan padu terhadap imej baharunya itu.
“Ustaz, tanpa kata-kata, kita mendapat kucupan yang hangat di dahi. Tidak cakap banyak, tahu-tahu dah kena cium di dahi.
“Beliau (suami) bagi sokongan yang sangat manis,” ujar Elly lagi.
Melihat kepada kesungguhan Elly, Ustaz Mohd Azli sempat menitipkan pesanan agar orang ramai menjadikan keprihatinan artis itu sebagai satu iktibar.
Baginya, ketenangan hati seorang wanita itu berkait rapat dengan sejauh mana dia menjaga kehormatannya.
“Jom kita ambil pengajaran dari Kak Lina Pom Pom. Aurat terjaga, hati pun tenang,” ulas Ustaz Mohd Azli di akhir video berkenaan.
Untuk rekod, transformasi Elly mula mendapat pujian apabila dia tampil anggun berhijab ketika mengacarakan pentas akhir program realiti Kilauan Emas 2025 pada Oktober tahun lalu.
Sejak itu, perjalanan hijrahnya terus didoakan peminat agar kekal istiqamah dan menjadi inspirasi kepada wanita lain di luar sana.

