SREBRENICA – Saksi tragedi penghapusan etnik Bosnia, ribuan umat Islam dibunuh beramai-ramai

0
440

Satu daerah terpencil di Srebrenica, Bosnia, tercacak deretan nisan putih di tanah yang luasnya sayup mata memandang. Ribuan nisan terpacak dari tanah yang landai sehinggalah ke lereng bukit.

Ribuan nisan di Srebrenica.

Bertentangan dengan pusara tersebut, beberapa buah bangunan tinggal yang agak berkarat masih berdiri utuh.

Inilah gudang Potocari, salah satu lokasi yang menyimpan seribu satu memori hitam untuk seluruh warga Bosnia. Lebih kurang 26 tahun lalu, di gudang usang inilah, umat Islam Bosnia dikumpulkan, dan seterusnya dibunuh.

Gudang yang menyimpan sejarah pahit umat Islam Bosnia.

Gudang berkarat ini menyimpan memori hitam untuk seluruh warga Bosnia. Amat tragis apabila di gudang usang inilah ribuan umat Islam Bosnia dikumpulkan dan seterusnya diperlakukan dengan kejam oleh tentera Serbia.

Kesan peluru, lakaran dan tulisan tangan di dinding gudang sengaja dibiarkan untuk menjadi tatapan generasi hari ini. Ia adalah kesan sejarah yang perlu diingati tentang peristiwa berdarah di Potocari. Gudang ini pernah bermandi darah suatu ketika dahulu.

Di dalam gudang ini umat Islam Bosnia dibunuh beramai-ramai.

Gadis-gadis Bosnia tidak hanya dihina, tetapi mereka juga diperkosa sebelum dibunuh kejam.

Terdapat lakaran pada dinding gudang tertulis “UN – United Nothing”. Ia mempunyai maksud yang mendalam. Kisah di gudang Potocari ini tidak hanya tentang kekejaman terancang dan sistematik, tetapi turut menceritakan kisah pengkhianatan yang didalangi oleh pasukan pengaman antarabangsa, pertubuhan United Nations (UN).

Terlalu banyak kekejaman tentera Serb sepanjang tragedi berdarah Srebrenica 1995. Ini sebahagian kenyataan saksi-saksi yang masih hidup :

“Pada suatu waktu, saya melihat bagaimana seorang anak kecil berusia sekitar 10 tahun, dibunuh oleh tentera Serbia. Dia dipukul dengan senjata, kemudian kepalanya dipotong. Ibu kanak-kanak itu menjerit, namun tidak diendahkan sesiapa.” – Ramiza Gurdić

“Saya melihat bagaimana seorang wanita hamil diperkosa. Tentera Serbia menikam perutnya, membelah dan mengambil dua janin dan melemparkan ia ke tanah.” –Ramiza Gurdić

“Saya melihat sekelompok tentera Serbia memasukkan lengan ke dalam kemaluan seorang wanita berusia 65 tahun. Sekitar empat atau lima orang tentera Belanda berdiri di lokasi kejadian. Mereka tidak melakukan apa-apa pun.” – Sabra Kolenović

Tragedi Berdarah Penghapusan Etnik Bosnia

Pekan kecil Srebenica terletak kira-kira tiga kilometer dari kawasan yang berceracakan nisan putih itu. Di sinilah berlakunya peristiwa penghapusan etnik umat Islam Bosnia pada Julai 1995. Banyak deretan bangunan usang menghiasi pemandangan di pekan ini. Ia dihiasi dengan kesan-kesan peluru dan runtuhan akibat peperangan lalu, sebagai tatapan generasi hari ini.

Kesan peperangan untuk tatapan generasi baru.

Perang sudah berakhir. Namun dendam di antara bangsa Serb dan Bosnia masih berbaki. Pernah berlaku seorang pegawai polis berbangsa Serb mati ditembak oleh seorang pemuda Bosnia di daerah ini. Apabila diselidik, puncanya kerana membalas dendam. Pemuda itu menuntut bela kematian bapanya yang dibunuh polis Serb tersebut ketika peperangan lebih dua dekad lalu.

Apa jadi kepada pemuda Bosnia yang menuntut bela atas kematian bapanya itu? Dia ditembak mati ketika diburu polis. Begitulah penghujung kepada sebuah dendam akibat peperangan lampau.

Tidak berapa jauh dari bangunan-bangunan yang separuh musnah itu, kelihatan sebuah gelanggang sukan yang juga lengang. Ketika zaman bergolak dahulu, sebutir bom tangan pernah dilemparkan ke gelanggang itu ketika kanak-kanak sedang bermain, mengorbankan nyawa anak-anak kecil yang tidak berdosa.

Apa yang berlaku di Srebrenica adalah lambang kekejaman tamadun Eropah selepas Perang Dunia Kedua. Tentera Serbia telah membunuh lebih 8,000 jiwa umat Islam Bosnia hanya dalam jangka masa antara tiga hingga lima hari. Angka sebenar dipercayai mungkin jauh lebih besar.

Ia bukan sekadar cerita tentang kekejaman terancang dan sistematik, tapi apa yang berlaku di sebaliknya turut menceritakan kisah pengkhianatan yang didalangi oleh pasukan pengaman antarabangsa, pertubuhan United Nations (UN).

Ketika krisis di Bosnia meledak, Srebrenica adalah antara kawasan yang teruk terjejas dan sentiasa menjadi sasaran. Setelah berlaku campur tangan antarabangsa pada awal 1995, daerah ini diisytiharkan sebagai kawasan selamat dan dikawal oleh tentera pengaman dari Belanda.

Etnik Bosnia yang menjadi pelarian akibat peperangan, dijanjikan keselamatan jika mereka masuk ke Srebrenica. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kepercayaan mereka telah dikhianati, dan nilai yang perlu dibayar adalah terlalu tinggi iaitu hampir 10,000 nyawa umat Islam Bosnia terkorban.

Pada 11 Julai 1995, tentera Serbia mula mara ke kawasan Srebrenica dan hanya dibiarkan oleh tentera pengaman Belanda. Bahkan dalam beberapa laporan yang disahkan, tentera pengaman Belanda hanya memerhatikan sahaja penduduk awam ditangkap dan diasingkan untuk dibunuh.

Lelaki-lelaki yang tidak bersenjata, termasuk kanak-kanak dibawa menaiki bas dan lori ke kawasan padang, dewan atau sekolah. Mereka dikumpulkan, kemudian… BAM!! BAMM! BAMMM!!… ditembak secara rambang.

Dengan mata ditutup dan tangan diikat ke belakang, ada yang dibunuh dengan cara ditembak di kepala. Sesetengahnya ditembak pada bahagian perut menggunakan ‘machine gun’ dan dibiarkan mati secara perlahan-lahan. Paling sadis, ada yang dihimpunkan di dalam bangsal, kemudian diletupkan dengan bom tangan dan pelancar roket.

Ada juga yang terselamat apabila berpura-pura mati di celah-celah timbunan mayat sebelum melarikan diri dalam kegelapan malam ke wilayah Tuzla, kira-kira 100 kilometer dari Srebrenica. Mereka inilah yang kemudiannya menceritakan pengalaman kejam tersebut.

Tragedi hitam yang pernah berlaku di tanah Srebrenica ini sangat memilukan apabila membayangkan kesengsaraan umat Islam Bosnia yang terpaksa dilalui mereka pada zaman perang 1995.

Jeneral Ratko Mladic, perancang utama kepada pembunuhan besar-besaran umat Islam Bosnia hanya berjaya ditangkap pada tahun 2011, iaitu selepas 16 tahun peristiwa berdarah ini berlaku. Manakala Radoslav Karadzic hanya dikenakan hukuman penjara 46 tahun atas peranannya sebagai ‘second in command’. Dan Slobodan Milosevic meninggal dunia pada tahun 2006 kerana serangan jantung ketika di dalam penjara. Ketiga-tiga mereka adalah dalang utama peristiwa berdarah di Srebrenica.

Tiga dalang utama dalam pembantaian umat Islam Bosnia di Srebrenica.

Pada 27 Februari 2007, mahkamah antarabangsa mengesahkan kejadian ini sebagai penghapusan etnik. Meskipun begitu, Serbia didapati tidak bersalah. Namun, mahkamah antarabangsa tetap mengecam Serbia karena gagal mencegah tentera Serbia-Bosnia daripada melakukan pembunuhan.

Jumlah korban yang dianggarkan ekoran pergolakan tersebut lebih lapan ribu nyawa. Ia dianggap sebagai pembunuhan beramai-ramai terbesar dan paling kontroversi dalam sejarah selepas Perang Dunia Kedua. Bahkan, sehingga hari ini, masih ada kubur-kubur baru yang ditemui.

Srebrenica bermaksud lombong perak dalam bahasa Latin. Ketika perang berlangsung, Srebrenica berada di bawah jajahan Bosnia & Herzegovina. Namun kini ia diletakkan di bawah Republik Srpska. Tetapi, Republik Srpska ini berada dalam wilayah Bosnia. Cuma kerajaan memerintah sahaja yang berlainan.

Populasi di Srebrenica kini lebih kurang 15,000 orang. Lebih separuh daripadanya berbangsa Serb. Selepas perang, umat Islam Bosnia yang sebelum ini menetap di situ kebanyakannya meninggalkan wilayah tersebut.

______________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.