SYARIKAT Perumahan Negara Berhad (SPNB) melancarkan model terbaharu Rumah Mesra Rakyat (RMR) bertiang khas bagi pemohon tinggal di kawasan rendah yang sering terlibat dengan bencana banjir sebagai tambahan kepada enam model sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin berkata, pelancaran model terbaharu itu juga sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pemohon produk berkenaan.
Beliau berkata, model tersebut yang dijangka mendapat permintaan tinggi di kawasan rendah dan berisiko banjir berharga RM85,000 seperti model perumahan lain.
Katanya, RMR bertiang baharu itu menerapkan konsep kontemporari yang lebih menarik dan mampu memberi keselesaan kepada pemohon RMR.
“SPNB masih mengekalkan subsidi RM20,000 kepada pemohon rumah bertiang ini yang berkeluasan 900 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air.
“Kami yakin dengan adanya model seumpama ini boleh memberikan lebih pilihan kepada pemohon RMR yang rata-rata daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Baca artikel berkaitan: Dilantik Pengerusi PR1MA, pengalaman Shahidan diperlukan – Zuraida
Beliau berkata demikian selepas lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin ke Galeri SPNB hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Mutalib dan Ketua Setiausaha Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.
Mengulas lanjut, Hasleen berkata, penambahbaikan lain terhadap produk baharu itu adalah pertambahan kepada polisi insuran ke atas permohonan baru RMR yang melibatkan perlindungan kebakaran dan banjir, kemalangan, badal haji, khairat kematian serta kos penghospitalan sebanyak RM100 sehari.
Selain itu, beliau berkata, SPNB juga dalam proses akhir mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk menaikkan syarat had kelayakan pendapatan asal bulanan seisi rumah daripada RM3,000 kepada RM5,000.
Katanya, ia sekali gus memberi peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) memperolehi rumah RMR.
“Cara permohonan adalah masih menggunakan saluran biasa iaitu melalui sistem dalam talian di rmr.online ataupun pemohon boleh datang sendiri ke mana-mana pejabat cawangan SPNB di seluruh negara,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

