PELAKON Marsha Milan mendedahkan jika dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima tawaran melakonkan watak antagonis yang memerlukannya berhijab.
Meskipun dia sedia maklum jika ada sesetengah pelakon enggan menerima watak sedemikian kerana dianggap tidak sesuai dengan penampilan, namun dia memandang hal tersebut sekadar mahu berkarya.
“Itu pilihan masing-masing jika ada pelakon yang tak mahu terima watak antagonis bertudung.
“Bagi saya, kita kena fikir dari sudut lakonan. Mungkin dalam dunia realiti, ada orang yang berhijab tetapi hati busuk tapi kita tidaklah potretkan itu.
“Saya cuma lakukan watak ini dengan jayanya dan bagaimana produser atau penulis skrip mahukan.
“Terpulang kepada individu….kalau tidak kisah, buatlah ia untuk sebuah lakonan saja,” katanya kepada URTV.
Marsha diberi tanggungjawab membawa watak wanita bertudung labuh dan diibaratkan sebagai muslimah terakhir dalam drama Rindu Awak Separuh Nyawa.
Mengulas lanjut tentang cabaran yang dihadapi sepanjang terlibat dalam penggambaran drama tersebut, Marsha,36, akui berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri sewaktu memakai hijab.
“Agak susah juga nak memastikan kedudukan tudung berada di posisi yang betul sepanjang penggambaran sebab saya seorang yang ‘hyper’.
“Susah sangat nak buatkan tudung tu bertahan lama dalam set, selalu senget, ‘owning’ jatuh lah. Mungkin sebab saya belum biasa berhijab, jadi agak sukar untuk biasakan diri agat kelihatan kemas.
“Watak saya dalam drama ini sama sekali berbeza dengan personaliti sebenar saya. Itu yang kadang-kadang tersasar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Marsha atau nama penuhnya Marsha Milan Londoh, memberitahu dia sudah bersedia sekiranya watak yang dilakonkan itu akan mendapat kecaman netizen.
“Sudah lama saya tidak bawakan watak antagonis sebelum ini…paling-paling watak hantu, watak gila-gila hyper dan watak kelakar.
“Sebenarnya untuk dikecam, saya tidak bersedia sepenuhnya tetapi apa yang boleh saya beritahu, jika saya dikecam maknanya watak ini menjadi.
“Saya anggap ia merupakan suatu kejayaan dari sudut membawakan watak Nurul Huda,” jelasnya.
Rindu Awal Separuh Nyawa yang diarahkan oleh Along Kamaludin bakal disiarkan di saluran Astro Ria (104 dan 124) mulai 23 Mac ni pada setiap hari Isnin hingga khamis, pukul 10 malam.
Selain Marsha, drama 40 episod itu turut menampilkan pelakon Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

