MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kenyataan beliau berhubung Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bukan bertujuan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak.
Sebaliknya, tegas beliau ia merupakan tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan setiap inisiatif strategik yang membawa manfaat kepada Johor dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan.
Pada masa sama, ujarnya, ia juga demi mewujudkan kepastian dan keyakinan dalam kalangan pelabur yang bertanya serta menantikan pelancaran pelan induk ini.
“Ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di JS-SEZ di mana limpahan manfaatnya juga akan dirasai oleh Kerajaan Pusat untuk kebaikan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia.
“Pada pandangan Perdana Menteri, saya mungkin tidak cerdik tetapi lagi merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan yang tidak tepat.
“Ia memberi kesan bukan sahaja pada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor tetapi juga buat pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Onn Hafiz merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menyifatkan beliau menggunakan pelan JS-SEZ sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Anwar antara lain menjelaskan hal menandatangani perjanjian JS-SEZ adalah membabitkan Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Singapura, belum sampai ke peringkat Menteri Besar.
Perdana Menteri membalas kenyataan Onn Hafiz yang terdahulu mendakwa kerajaan Persekutuan berulang kali menangguhkan pelancaran pelan induk JS-SEZ, mengatakan pada asalnya pelan itu disasarkan untuk diumum pada penghujung 2025, kemudian pada 30 Mac lalu dan ditangguhkan sekali lagi pada suku keempat tahun ini.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Pelan Induk JS-SEZ adalah dokumen Kerajaan Malaysia, ia tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya proses libat urus dan maklum balas dari pihak Singapura, dan proses itu telah pun selesai.
“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh kerajaan Persekutuan Malaysia.
“Sebab itu saya berpandangan, apabila Perdana Menteri menyatakan seolah-olah pelan induk ini masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders’ Retreat, dan seterusnya memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua belah pihak, kenyataan itu tidak tepat dan mengelirukan rakyat,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

