aman nassim

Memulakan kerjaya seni pada 2012, nama Aman Nassim cukup sinonim dalam drama dan filem tempatan. Kemudian, Aman, 32, atau nama sebenarnya Abdul Rahman Nassim melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian dan pernah mengeluarkan tiga buah single.

Demi cintanya terhadao muzik dan dunia nyanyian yang tidak pernah padam, Aman muncul dengan karya terbaharu berjudul Cinta Terakhir hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer terkenal Indonesia iaitu Bemby Noor dan dirinya sendiri yang mana lagu itu adalah terbitan dan edaran syarikat rakaman COF Music.

Menariknya, lagu itu turut dipilih menjadi antara lagu tema bagi drama Kisah Cinta Rumi yang ditayangkan di Slot Lestary, TV3, mulai 24 April lalu.

Apa yang lebih membuatkan Aman teruja adalah dia dapat bekerjasama dengan komposer yang menghasilkan lagu Jodoh Pasti Bertemu nyanyian asal penyanyi terkenal Indonesia iaitu Afgan.

“Lagu ini sudah siap dirakam pada penghujung 2019 dan perancangannya mahu dilancarkan di Indonesia tahun lalu. Tapi disebab penularan Covid-19, memang tidak boleh ke sana. Jadi, buat permulaan lagu ini akan menghiasi drama sebagai lagu tema.

“Dalam masa sama, pihak syarikat masih dalam perbincangan dengan syarikat rakaman Rans Entertainment milik selebriti Raffi Ahmad untuk mengedarkan lagu ini di sana. Selain itu, pembikinan video muzik (MV) lagu ini juga membabitkan produksi dua negara, Malaysia dan Indonesia. Semua pelakon terbabit adalah dari sana dengan gabungan dua produksi.

“MV ini sepatutnya dibuat sebelum Ramadan, tapi tak berjaya sebab pelakon utama iaitu Dimas Ahmad disahkan positif Covid-19, jadi tergendala. Insya Allah, selepas dia sembuh baharulah penggambaran MV diteruskan semula,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan Bemby Noor, Aman berkata dia mahukan single kali ini ada ciri dan bunyi lagu Indonesia.

Malah, Aman merancang lagu Cinta Terkahir itu menjadi langkah awal untuknya memasuki pasaran muzik di sana.

“Kenapa Bemby sebab saya memang nak masuk pasaran muzik Indonesia. Jadi, sebab itu saya nak lagu ini ada sentuhan lagu Indonesia. Sebab peminat di sana lebih memilih lagu mereka.

“Lagu ini juga dirakamkan di sana dan menjadi kolaborasi pertama saya dengan Bemby. Macam dikatakan tadi, saya memang perlukan sentuhan komposer Indonesia, sebab asalnya nak pasarkan lagu ini di sana. Walaupun sekarang masih tidak dapat ke sana, tapi masih boleh pasarkan lagu ini di sana menerusi kerjasama syarikat rakaman. Pendek kata, lagu ini adalah langkah awal untuk saya masuk pasaran muzik Indonesia,” ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Cinta Terakhir mengisahkan cinta akhir antara pasangan kekasih yang berjanji sehidup semati.

“Lirik lagu ini pun memaparkan percintaan individu dari dua negara. Ia adalah inspirasi daripada pengalaman rakan saya. Pasangan itu berjumpa kali pertama dan terus jatuh cinta.

“Itu pun selepas mereka baharu putus cinta dengan pasangan masing-masing. Jadi mereka nak ‘move on’ dengan kisah lama dengan membuka cinta kisah baharu sehingga tahap nak berkahwin. Kiranya, lagu ini adalah ‘happy ending’.

“Lagu ini bergenre pop balada dan memang bunyi lagu Indonesia. Bunyi lagu ini pun macam lagu Afgan. Apabila dapat bekerjasama dengan komposer dari negara luar, saya dapat belajar sesuatu yang baharu. Berdasarkan kajian saya, muzik dangdut masih nombor satu dan kedua adalah pop balada,” ulasnya.

Tambahnya, dia bertuah apabila lagu itu dipilih menjadi lagu tema drama sekali gus dapat mempromosikan lagu itu sebelum ia dibawa masuk ke pasaran muzik Indonesia.

“Apabila lagu ini menjadi lagu tema drama, ia adalah langkah awal untuk promosikan lagu ini dulu. Mungkin selepas MV keluar akan promosi lagu ini di sana walaupun secara dalam talian. Harapnya tahun ini berjaya seterusnya saya dapat keluarkan lebih banyak single untuk kerjasama dengan Indonesia atau negara lain.

“Insya Allah, jika lagu ini berjaya di sana dan saya sudah bersedia untuk berulang-alik. Sebab ini yang memang saya dah rancang sebelum ini. Cumanya, tak boleh ke mana-mana lagi. Itu yang agak susah sikit,” ungkapnya.