BEBERAPA rumah di Jalan Selendang 13, Taman Mewah, Bukit Permai, mengalami kerosakan selepas kawasan itu dilanda ribut.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani berkata, antara kerosakan yang berlaku termasuk bumbung diterbangkan angin dan tiang telekomunikasi tumbang sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.
Katanya, beliau segera bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian bagi meninjau sendiri keadaan mangsa serta tahap kerosakan yang berlaku.
Menurut Mohamad Shafwan, antara kerosakan dikenal pasti membabitkan beberapa unit kediaman selain infrastruktur telekomunikasi yang terjejas akibat cuaca buruk berkenaan.
“Saya turut menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Telekom Malaysia (TM) supaya tindakan segera dapat diambil bagi memastikan keselamatan penduduk dan kerja-kerja pemulihan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan di kawasan terjejas dan menyelaras bantuan serta tindakan susulan bersama agensi berkaitan bagi memastikan urusan pemulihan berjalan lancar.
Pada masa sama, beliau mendoakan semua penduduk yang terkesan diberi kekuatan menghadapi dugaan susulan kejadian ribut itu.
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangansemasadan hiburan.
ORANG ramai diminta tidak menyebarkan berita palsu atau merekayasa fitnah berhubung kejadian seorang pelajar ditikam rakannya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, pagi tadi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan telah meninjau lokasi kejadian tersebut sebentar tadi.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil semua langkah-langkah keselamatan bagi mengawal keadaan termasuk menangkap suspek.
Menurut Fadhlina, tumpuan ketika ini adalah bagi memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan dan sistem sokongan psikososial untuk warga sekolah.
“Semoga tuan pengetua, para guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian ini.
“Terima kasih di atas perhatian semua. Rakaman penghargaan juga buat semua agensi yang terlibat.
“Insya-Allah, jika ada perkembangan berkaitan kes ini (yang boleh dikongsikan dengan kebenaran pihak berkuasa) akan saya kongsikan dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menikam rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan pada jam 9.50 pagi yang memaklumkan terdapat seorang pelajar perempuan mengalami kecederaan di dalam kawasan sekolah.
Menurutnya, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang lagi pelajar perempuan.
“Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Banting dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politikdan ekonomi.
SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggang bergesel dengan motosikal lain sebelum terjatuh lalu digilis sebuah lori di Kilometer 7.6 Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Larkin, Johor Bahru, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 7.17 pagi itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 48 tahun.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang bekerja sebagai pemandu jentera angkat susun (forklift) di Singapura sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
Azrul Hisham berkata, mangsa dipercayai menunggang di celah-celah kenderaan sebelum hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah motosikal di hadapannya.
“Motosikal itu ditunggang oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun yang bekerja dalam bidang pendawaian di Singapura.
“Akibat pergeseran tersebut, penunggang motosikal berusia 48 tahun telah teratuh ke bawah sebuah lori yang berada di lorong kiri sebelum digilis oleh lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azrul Hisham memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan para pada bahagian perut serta patah kedua-dua belah kaki.
Pada masa sama, kata beliau, seorang lagi penunggang motosikal itu mengalami kecederaan pada bahagian tangan kanan dan kaki kanan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing dan ujian pernafasan alkohol ke atas pemandu lori mendapati negatif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Johor Bahru Selatan.
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politikdan ekonomi.
SEORANG pelajar perempuan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menikam rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan pada jam 9.50 pagi yang memaklumkan terdapat seorang pelajar perempuan mengalami kecederaan di dalam kawasan sekolah.
Menurutnya, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang lagi pelajar perempuan.
“Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Banting dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Mohd Akmalrizal turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangansemasadan hiburan.
DAKWAAN kononnya kerajaan memungkiri janji berhubung pengecualian cukai bagi Yayasan Pendidikan TARC disifatkan tidak benar.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, mulai 27 November 2025, kelulusan pengecualian cukai bagi institusi, organisasi atau tabung kebajikan yang layak boleh diberikan untuk tempoh maksimum 10 tahun di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Menurut MoF, ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, kementerian itu berkata, kelulusan tersebut bukan secara automatik kerana ia tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian.
“Kerajaan menghargai dan mengiktiraf peranan Yayasan Pendidikan TARC dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Malaysia.
“Bagi permohonan Yayasan Pendidikan TARC untuk melanjutkan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) selepas kelulusan sedia ada tamat pada tahun 2025.
“Semakan mendapati terdapat beberapa syarat yang masih belum dipenuhi sepenuhnya. Ini termasuk pengukuhan tadbir urus dan pengurusan derma yang perlu diperbaiki Yayasan Pendidikan TARC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MoF menegaskan, kerajaan telah mengambil pendekatan berhemah dengan memberi lanjutan pengecualian cukai sementara secara interim selama tiga tahun.
Jelasnya, tempoh lanjutan itu memastikan kedudukan pengecualian cukai Yayasan Pendidikan TARC kekal sementara tindakan pematuhan syarat dimuktamadkan.
Kementerian itu memaklumkan sedia membantu memudahcara Yayasan Pendidikan TARC dalam usaha penambahbaikannya.
“Sekiranya semua syarat dipenuhi, Yayasan Pendidikan TARC layak untuk mendapat kelulusan pengecualian cukai bagi tempoh penuh 10 tahun, selaras dengan pengumuman kerajaan.
“Justeru, isu ini tidak seharusnya diputarbelitkan. Kerajaan kekal komited terhadap sokongan kepada pendidikan termasuk peranan Yayasan Pendidikan TARC, namun semua kelulusan cukai mesti dibuat mengikut undang-undang, syarat pematuhan dan prinsip tatakelola yang baik,” katanya.
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politikdan ekonomi.
SEMUA permohonan kuota pekerja asing kini diwajibkan dibuat secara dalam talian menerusi modul eQuota dalam Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) bermula hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, ia susulan pengambilalihan sepenuhnya Pusat Sehenti (OSC) Pengurusan Pekerja Asing oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Katanya, keputusan itu berkuat kuasa serta-merta selaras keputusan Jemaah Menteri pada 1 Julai lalu, sekali gus menamatkan amalan permohonan secara kes demi kes.
Tegas beliau, hanya majikan dibenarkan mengemukakan permohonan kuota pekerja asing melalui modul eQuota FWCMS dan tiada lagi pertimbangan khas akan diberikan di luar sistem berkenaan.
“Majikan tidak lagi perlu datang berjumpa saya atau Ketua Setiausaha Kementerian untuk memohon kuota pekerja asing, malah tidak perlu lagi berulang-alik ke Putrajaya kerana semua urusan dibuat secara dalam talian menerusi FWCMS,” katanya dalam sidang media khas di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, langkah itu akan mewujudkan sistem yang lebih telus dan cekap, selain mengurangkan campur tangan manusia dalam pengurusan pekerja asing serta mempercepat proses kelulusan.
Menurut Ramanan, sebelum ini, OSC Pengurusan Pekerja Asing berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun Ramanan menjelaskan KDN masih mempunyai kuasa dalam aspek keselamatan negara dan boleh membatalkan sesuatu kelulusan jika difikirkan perlu.
Pengambilalihan itu kata beliau dibuat ketika terdapat aduan daripada majikan mengenai kelewatan memproses permohonan, gangguan operasi kaunter secara mengejut, kerenah birokrasi dan ketidakselarasan dasar di OSC.
Ramanan berkata, pelaksanaan baharu itu akan dimulakan dengan memproses 22,476 permohonan kuota pekerja asing membabitkan 548 syarikat yang sebelum ini mengemukakan permohonan secara manual di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955.
Katanya, semua syarikat terbabit akan dimaklumkan supaya melengkapkan pendaftaran dalam FWCMS, mendapatkan kelulusan Seksyen 60K sebelum mengemukakan permohonan kuota secara dalam talian.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mengadakan sidang media khas di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid
“Penggunaan FWCMS yang diintegrasikan dengan sistem kerajaan sedia ada mampu melancarkan proses permohonan selain mengurangkan kesesakan di OSC.
“Platform ini juga membolehkan temu duga dijadualkan secara lebih tersusun mengikut kapasiti OSC, manakala kementerian akan meneliti pelaksanaan sistem pengesahan dokumen secara dalam talian bagi menggantikan kaunter fizikal pada masa depan,” katanya.
Mengulas kemungkinan berlaku lambakan permohonan susulan perubahan itu, beliau berkata, portal FWCMS sudah digunakan sejak beberapa tahun lalu dan mampu mengendalikan ratusan ribu permohonan pada satu-satu masa tanpa menjejaskan operasi.
Pada masa sama, beliau menegaskan keutamaan tetap diberikan kepada pengambilan pekerja tempatan sebelum majikan dibenarkan menggaji pekerja asing.
Katanya, majikan perlu terlebih dahulu mengiklankan kekosongan jawatan menerusi portal MYFutureJobs serta mematuhi semua keperluan undang-undang buruh termasuk Seksyen 60K Akta Kerja 1955 sebelum layak memohon kuota pekerja asing.
Beliau berkata, urusan permohonan kuota pekerja asing masih diteruskan di OSC Pengurusan Pekerja Asing di Aras 5, Setia Perkasa 9, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya sehingga lokasi baharu yang lebih sesuai dikenal pasti.
Selain itu, katanya, KESUMA akan menubuhkan Bahagian Pengurusan Pekerja Asing khusus bagi menyelaras dasar, operasi dan pemeriksaan OSC, dengan penempatan pegawai dibuat menerusi penyusunan semula kakitangan sedia ada.
Beliau berkata, pengurusan tertinggi kementerian kini sedang memperincikan proses pemindahan OSC bersama KDN dan agensi berkaitan, manakala mesyuarat antara Ketua Setiausaha kedua-dua kementerian dijadual berlangsung dalam tempoh beberapa hari lagi.
Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju membenarkan KESUMA menubuhkan Pusat Transit Pekerja Asing bagi mengurus kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Katanya, cadangan itu akan diperhalusi melalui sesi libat urus bersama negara sumber tenaga kerja menerusi rangkaian diplomatik Malaysia dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa termasuk di Singapura, Korea Selatan dan beberapa negara Asia Barat.
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangansemasadan hiburan.
PARTI-PARTI yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didakwa telah menggunakan hasutan, fitnah serta janji ‘bulan dan bintang’ untuk meraih sokongan pengundi.
Dakwaan itu dinyatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran video di Facebook, hari ini.
Menurut Onn Hafiz, strategi yang dimainkan pihak lawan itu sebenarnya sudah dijangka.
Bagaimanapun, beliau menaruh keyakinan bahawa pengundi di Johor tidak mudah terpedaya dengan strategi sedemikian.
Katanya, ia kerana pendekatan seperti itu pernah digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022.
“Sedar tak sedar, sudah seminggu kita berkempen untuk PRN Johor. Seperti yang kita jangkakan, pihak lawan menggunakan strategi hasutan, fitnah dan janji bulan dan bintang untuk meraih undi daripada Bangsa Johor.
“Namun saya percaya dengan sepenuh hati bahawa Bangsa Johor tidak mudah diperdaya kerana kita telah mengalami suasana yang sama pada tahun 2018 dan juga 2022, apabila mereka menggunakan strategi yang sama untuk menghasut dan meraih undi,” katanya dalam rakaman video tersebut.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengajak rakyat Johor untuk bersama-sama memberi tumpuan kepada agenda membangunkan negeri tersebut.
“Sama-samalah kita fokus kembali untuk membangunkan negeri Johor yang ktia cintai.
“Banyak yang telah kita capai, jangan kita gadaikan masa depan Johor dengan fitnah, hasutan serta janji bulan bintang yang mereka taburkan.
“Sama-samalah kita bina masa depan Johor yang lebih baik,” jelasnya.
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politikdan ekonomi.
SEORANG remaja berusia 14 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta yang diparkir di bahu jalan di Jalan Kampung Sungai Chinchin Batu 7, Jalan Gombak Lama menghala ke Batu 8, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 3.23 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati nahas itu berlaku kira-kira pukul 2 petang.
Ibrahim berkata, mangsa didapati menunggang motosikal berseorangan dari rumahnya di Jalan Gombak Batu 8 3/4 menuju ke Batu 7 Gombak.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai telah hilang kawalan secara tiba-tiba dan telah melanggar sebuah kereta yang sedang diparkir di bahu jalan.
“Mangsa merupakan seorang pelajar berusia 14 tahun dan bersekolah menengah di Gombak,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan hospital.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” jelasnya.
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politikdan ekonomi.
SERAMAI 3,565 petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal digerakkan bagi melaksanakan pelbagai penugasan sepanjang proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan, petugas PDRM itu terdiri daripada 647 pegawai, 2,806 anggota dan 112 pegawai awam bagi melaksanakan pelbagai penugasan.
Menurut beliau, ia merangkumi kawalan keselamatan di pusat-pusat mengundi awal; pengiringan peti undi; kawalan lalu lintas; rondaan pencegahan jenayah; penugasan di bilik gerakan; pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan yang terlibat.
“PDRM Johor berada pada tahap kesiapsiagaan sepenuhnya bagi memastikan keseluruhan proses pengundian awal berlangsung dalam keadaan selamat, lancar dan terkawal.
“Proses pengundian awal akan melibatkan 64 pusat mengundi awal di seluruh negeri Johor terdiri daripada 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, seramai 12,710 pengundi awal PDRM telah berdaftar unuk mengundi pada PRN Johor ke-16 itu.
Daripada jumlah tersebut, kata beliau, 12,067 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat-pusat mengundi awal manakala 643 lagi mengundi secara pos.
Ab Rahaman menegaskan PDRM Johor akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan serta penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang proses pengundian awal dan baki tempoh kempen PRN Johor ke-16.
“Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.
“Sehubungan itu, orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas di lapangan bagi memastikan PRN Johor ke-16 berlangsung dalam suasana aman, harmoni, selamat dan teratur,” jelasnya.
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politikdan ekonomi.
NORWAY mencipta kejutan terbesar dalam Piala Dunia 2026 setakat ini selepas membenam Brazil 2-1 sekali gus menyingkirkan juara dunia lima kali itu, sebentar tadi.
Perjuangan Brazil terhenti sekadar di pusingan 16 terbaik apabila penyerang Manchester City, Erling Haaland muncul wira Norway dengan menyumbat dua gol.
Dalam aksi di Stadium New York New Jersey itu, Brazil sebenarnya bermula baik dan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-13.
Ia selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan pertahanan Norway, Kristoffer Ajer mengasari Matheus Cunha dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, pemain tengah Newcastle United, Bruno Guimaraes gagal menyempurnakan peluang keemasan itu setelah berjaya diselamatkan penjaga gol Norway, Orjan Nyland.
Ketajaman Haaland terbukti apabila tandukan pemain berusia 25 tahun itu menewaskan Allison Becker pada minit ke-79.
Hantaran Andreas Schjelderup disempurnakan dengan mudah Haaland bagi memastikan Norway mendahului 1-0.
Gandingan Haaland-Schjelderup terus menjadi duri dalam daging buat Brazil.
Rembatan rendah jarak jauh Haaland pada minit ke-90 hasil hantaran Schjelderup menggandakan kelebihan Norway.
Brazil hanya mampu merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Neymar pada masa kecederaan, namun jaringan itu hadir terlalu lewat untuk mengelakkan mereka daripada tersingkir.
Haaland kini mengumpul tujuh gol pada kejohanan ini, sekali gus menyamai rekod Lionel Messi dan Kylian Mbappe sebagai penjaring terbanyak setakat ini.
Norway dijadual menentang pemenang aksi antara Mexico dan England pada saingan suku akhir nanti.