Kewujudan Parti Wawasan Negara, apa nasib Bersatu dalam PN?

ARENA politik negara tidak pernah sunyi dengan pelbagai jenis drama tidak kira di pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

Pergolakan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) terutama melibatkan Bersatu bukanlah satu rahsia lagi.

Keretakan hubungan Bersatu dengan parti komponen PN yang lain terutama Pas makin terserlah selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin dan pengikutnya dipecat serta digantung.

Terbaharu, Hamzah dan pengikutnya yang sebelum ini dikenali sebagai Gerakan RESET tampil menubuhkan ‘rumah baharu’ menerusi Parti Wawasan Negara, Sabtu lalu.

Walaupun Bersatu masih sebahagian daripada PN, namun perkembangan mutakhir ini menimbulkan persoalan yang semakin sukar dielakkan – apakah nasib Bersatu dalam gabungan tersebut?

Ketika ini, ia bolehlah diibaratkan umpama telur di hujung tanduk.

Hanya menanti masa untuk jatuh dan pecah berderai.

Apa yang menjadikan situasi ini semakin menarik untuk dilihat oleh pemerhati politik adalah reaksi dan layanan diberikan oleh parti-parti komponen PN sendiri terhadap Parti Wawasan Negara.

Konvensyen RESET yang berlangsung di Tanah Merah itu memberikan gambaran yang cukup jelas.

Kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta pimpinan kanan parti-parti komponen PN dilihat sebagai isyarat politik yang sukar untuk diabaikan.

Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai kedudukan Parti Wawasan Negara dalam PN, kehadiran pemimpin-pemimpin utama gabungan itu telah mencetuskan persepsi bahawa parti baharu itu mendapat layanan yang cukup istimewa.

Bagi Bersatu, keadaan itu tentunya bukan sesuatu yang menyenangkan.

Lebih memeritkan buat Bersatu, beberapa perkara penting yang diumumkan sewaktu Konvensyen RESET itu yang jauh menyimpang dengan keputusan PN sebelum ini.

Kembalinya Hamzah sebagai Ketua Pembangkang selepas hanya sebulan Ahmad Samsuri dilantik memberi mesej yang terang lagi bersuluh.

Secara simboliknya, jawatan tersebut merupakan antara kedudukan paling penting dalam blok pembangkang.

Ia memberi mesej bahawa pengaruh Hamzah masih sangat besar dalam kalangan pimpinan PN walaupun beliau kini menerajui parti yang berbeza.

Di sinilah dilema Bersatu mula kelihatan.

Selama ini, Bersatu dianggap tonggak utama PN dari sudut struktur politik nasional.

Walaupun Pas mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar, Bersatu sering menjadi wajah utama gabungan itu di peringkat Persekutuan.

Namun perkembangan semasa seolah-olah menunjukkan pusat graviti dalam PN sedang berubah.

Pas kini muncul sebagai kuasa dominan dalam gabungan tersebut. Dari sudut bilangan kerusi, kekuatan jentera dan pengaruh akar umbi, parti itu berada dalam kedudukan yang jauh lebih kukuh berbanding rakan-rakan komponennya.

Apabila Pas dilihat lebih mesra dengan Parti Wawasan Negara, sudah tentu ia secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Bersatu.

Adakah Bersatu masih dianggap rakan strategik utama? Jika jawapannya ya sekali pun, adakah Bersatu mahu bersama PN dalam keadaan Parti Wawasan Negara besar kemungkinan menyertai gabungan tersebut.

Hakikatnya, Bersatu sedang berdepan cabaran yang lebih besar daripada sekadar persaingan dengan parti-parti lawan.

Mungkin masih terlalu awal untuk mengatakan Parti Wawasan negara akan menggugat Bersatu secara besar-besaran. Parti baharu memerlukan masa untuk membina akar umbi, organisasi dan keyakinan rakyat.

Namun dalam politik, ancaman terbesar bukan semestinya datang daripada kekuatan sebenar, tetapi daripada persepsi bahawa sesuatu parti sedang kehilangan pengaruh.

Dan itulah cabaran yang sedang dihadapi Bersatu hari ini.

Buat masa ini, Bersatu masih berada dalam PN. Tiada siapa yang mempertikaikan perkara itu.

Namun begitu, dalam politik, persoalan paling penting bukan siapa yang berada dalam gabungan.

Sebaliknya, siapa yang sebenarnya menguasai hala tuju gabungan berkenaan.

Berdasarkan perkembangan semasa, persoalan itu semakin relevan untuk ditanyakan kepada Bersatu.

Adakah Bersatu akan terus tenggelam hingga akhirnya karam? Atau akan melakukan satu keputusan drastik untuk menyelamatkan ‘nyawa’ politik.

Hanya pimpinan Bersatu mampu menjawab segala kemungkinan dan persoalan itu.

Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV

Ancaman El Nino: Jabatan Pertanian aktifkan Bilik Gerakan Bencana

JABATAN Pertanian bersiap siaga menghadapi kemungkinan fenomena El Nino yang diramal boleh memberi kesan kepada sektor pertanian negara dengan mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana.

Menurut jabatan itu, ia bagi memantau perkembangan semasa serta menyelaras tindakan di lapangan.

Langkah proaktif ini jelasnya, bertujuan memastikan sebarang impak terhadap pengeluaran makanan, operasi ladang dan rantaian bekalan pertanian dapat ditangani dengan segera dan berkesan.

“Fenomena El Nino berpotensi menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa sekali gus meningkatkan risiko tekanan air kepada tanaman, penurunan hasil pengeluaran serta peningkatan kos pengurusan ladang.

“Sehubungan itu, kami menggesa petani, pekebun dan pengusaha agro melaporkan segera sebarang masalah yang dihadapi seperti kekurangan sumber air, kerosakan tanaman akibat cuaca ekstrem, gangguan bekalan input pertanian atau isu lain yang boleh menjejaskan produktiviti ladang,” jelasnya.

Jabatan Pertanian memberitahu, maklumat awal daripada pengusaha amat penting bagi membolehkan jabatan membuat penilaian pantas, menyelaras bantuan teknikal, merancang langkah mitigasi serta menggerakkan sokongan yang diperlukan di kawasan terjejas.

Tambahnya, kerjasama pengusaha pertanian dalam menyalurkan maklumat akan membantu Jabatan Pertanian memantau situasi semasa dengan lebih berkesan dan memastikan tindakan intervensi dapat dilaksanakan pada peringkat awal.

“Kami turut mengingatkan pengusaha agromakanan supaya mengambil langkah penyesuaian seperti pengurusan penggunaan air yang cekap, pemantauan kesihatan tanaman serta perancangan aktiviti ladang mengikut keadaan cuaca semasa.

“Orang ramai dan pengusaha pertanian yang terkesan atau memerlukan bantuan boleh menghubungi talian infoline atau emel rasmi Jabatan Pertanian untuk membuat aduan dan mendapatkan maklumat lanjut.

“Kesiapsiagaan berterusan semua pihak dilihat penting bagi memastikan pengeluaran makanan negara kekal stabil serta menjamin keterjaminan makanan negara ketika berdepan cabaran fenomena El Nino,” katanya.

El Nino: Kerajaan perketat kawalan jerebu, pembenihan awan siap digerak

KERAJAAN memperketat langkah pencegahan jerebu dan kebakaran terbuka susulan jangkaan cuaca panas serta kering akibat fenomena El Nino.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan, ia termasuk bersiap sedia melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan terjejas.

Jelas NRES, strategi kesiapsiagaan itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bilangan 1 Tahun 2026.

Menurut kenyataan itu, NRES bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membentangkan pelbagai tindakan yang perlu dilaksanakan oleh kementerian, jabatan, agensi berkaitan serta kerajaan negeri bagi menghadapi risiko cuaca panas dan kering.

“Semua kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu melaksanakan persediaan awal menerusi mesyuarat koordinasi bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan dan efektif.

“Mereka juga perlu mempertingkat langkah pencegahan serta pemantauan berterusan bagi mengekang pembakaran terbuka, jerebu dan kejadian kebakaran berulang,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan, kesiapsiagaan infrastruktur tanah gambut, jentera dan sumber manusia turut akan dipastikan berada pada tahap optimum.

Jelas NRES, ia supaya sebarang insiden kebakaran dapat dipadamkan dengan segera sekali gus mengelakkan berlakunya jerebu tempatan.

Menurut kenyataan itu, orang ramai juga disaran sentiasa mengikuti perkembangan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi laman web rasmi dan aplikasi myCuaca.

Selain itu, maklumat berkaitan kualiti udara boleh diperoleh melalui portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar serta aplikasi MyJAS EQMP.

Dalam pada itu, JBPM dilaporkan sudah bersedia dari aspek logistik dan sumber manusia untuk digerakkan bagi menghadapi sebarang impak Monsun Barat Daya.

“NADMA, MET Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula berada dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan di kawasan terjejas, tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan berharap kerjasama semua pihak dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan pematuhan terhadap langkah pencegahan dapat membantu mengurangkan risiko jerebu serta kesan cuaca panas kepada rakyat dan alam sekitar.

Sabah catat penurunan penagih dadah 5.9 peratus

SABAH mencatatkan penurunan sebanyak 5.9 peratus dalam jumlah penagih dadah yang dikesan sepanjang tahun lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha bersepadu pelbagai pihak dalam membanteras ancaman dadah di negeri itu.

Katanya, pencapaian berdasarkan rekod 2025 itu membuktikan kerjasama erat antara agensi penguat kuasa, badan berkaitan dan komuniti berjaya mengekang penyalahgunaan dadah.

“Kerajaan negeri menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi melindungi masa depan generasi muda serta kesejahteraan rakyat Sabah.

“Penurunan jumlah penagih yang dikesan ini adalah petunjuk positif bahawa langkah pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan yang dilaksanakan berada di landasan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah hari ini.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atas pelbagai inisiatif pencegahan yang dilaksanakan sehingga ke peringkat akar umbi.

Menurutnya, program mendekati komuniti termasuk di Pulau Banggi membuktikan kesungguhan AADK memastikan mesej bahaya dadah sampai kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau pada masa sama mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah atas kejayaan melaksanakan rampasan dadah berskala besar baru-baru ini.

Katanya, kejayaan itu mencerminkan komitmen tinggi pasukan keselamatan dalam memerangi aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah yang menjadi ancaman kepada keselamatan negeri.

“Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan penuh kepada segala usaha membanteras dadah selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dan matlamat mencapai Dadah Terkawal 2030.

“Kita mahu memastikan Sabah terus kekal aman, selamat dan sejahtera untuk generasi akan datang,” katanya.

KPT pertimbang tindakan perundangan terhadap ADUN Jitra

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti dan mempertimbang tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya terhadap tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah berkaitan sistem kemasukan ke Universiti Awam (UA).

Menurut KPT, pihaknya memandang serius beberapa tuduhan yang terus diulang oleh ahli politik berkenaan termasuk dakwaan kononnya UA pada masa ini sedang ‘menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit’.

Ia jelasnya, termasuk dakwaan wujud puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui ‘pintu belakang’.

“Terkini ialah rakaman video ucapan beliau yang disiarkan melalui Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ yang berlangsung pada 13 Jun 2026.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk UA, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah,” jelasnya.

KPT menambah, perlu ditegaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan sedemikian dilemparkan oleh Haim Hilman terhadap kementerian.

Jelasnya, kementerian sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta.

Namun katanya, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh.

“KPT meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, Universiti Awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas.

“KPT juga tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat,” jelasnya.

Status pelarian bukan tiket kebal undang-undang, kata Saifuddin Nasution

STATUS pelarian tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar undang-undang Malaysia, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang negara tetap akan berdepan tindakan penguatkuasaan serta proses perundangan sewajarnya tanpa mengira status mereka.

“Kerajaan tidak melindungi pelaku jenayah. Kerajaan juga tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan mengenai pengurusan pelarian di Malaysia, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pendirian itu penting bagi memastikan keselamatan rakyat dan ketenteraman awam terus terpelihara ketika kerajaan berusaha mengurus isu pelarian yang telah lama wujud dalam negara.

Menurutnya, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta dalam menangani isu berkenaan, namun aspek keselamatan negara kekal menjadi keutamaan utama.

Beliau berkata, antara cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan ketika ini ialah ketiadaan data lengkap, tepat dan dimiliki sendiri oleh Kerajaan Malaysia mengenai individu dalam kategori pelarian.

Sehubungan itu, kerajaan sedang melaksanakan proses pengumpulan data dan maklumat biometrik secara lebih menyeluruh bagi memastikan setiap individu yang berada dalam negara dapat dikenal pasti dengan tepat.

“Kita tidak boleh mengurus apa yang kita tidak kenal. Kita tidak boleh melindungi keselamatan negara tanpa mengetahui dengan tepat siapa yang berada dalam sempadan negara kita,” katanya.

Beliau berkata, data yang lebih komprehensif akan membantu kerajaan mengurus pelbagai isu berkaitan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kesihatan awam, pekerjaan serta kesejahteraan masyarakat setempat dengan lebih berkesan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, isu pelarian merupakan isu legasi yang telah berlarutan sejak sekian lama dan diwarisi merentasi pelbagai pentadbiran kerajaan.

Namun, katanya, hakikat bahawa ia adalah isu legasi tidak pernah dijadikan alasan untuk kerajaan berpeluk tubuh atau mengelak daripada mencari penyelesaian yang lebih berkesan.

“Matlamat kita bukan untuk melindungi pelarian, tetapi untuk melindungi kepentingan negara, keselamatan rakyat dan ketenteraman awam,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan penglibatan ahli akademik, aktivis masyarakat sivil, badan pemikir, pengamal undang-undang, pakar keselamatan dan pihak berkepakaran lain untuk mengemukakan cadangan konstruktif kepada Kementerian Dalam Negeri berhubung pengurusan pelarian di Malaysia.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat mampu membincangkan isu berkenaan secara matang, rasional dan bertanggungjawab demi kepentingan negara.

Bongkar kisah suka duka 24 tahun, Unic lancar Unicoustic Podcast

0

SEMPENA meraikan ulang tahun ke-24 bertapak dalam belantika muzik tanah air, kumpulan nasyid tersohor, UNIC, terus mengorak langkah setapak lagi dengan memperkenalkan buah tangan terbaharu mereka yang dinamakan Unicoustic Podcast.

Projek serba moden ini menyaksikan pengasalan semula kesemua karya daripada album studio pertama mereka, You and I See yang kini diberi nafas baharu dalam bentuk susunan muzik akustik yang lebih segar dan intim.

Lebih menarik, kesemua trek tersebut bukan sekadar diluncurkan sebagai audio nyanyian semata-mata, sebaliknya disulami dengan konsep audio siar (podcast) bagi mendedahkan lipatan sejarah yang belum pernah dikongsi sebelum ini.

Mewakili kumpulan tersebut, Dr. Fitri Haris menjelaskan bahawa naskhah interaktif ini merupakan sebuah naskhah dokumentari hibrid yang bakal membongkar memoir awal pembabitan mereka sebagai anak seni.

“Selepas 24 tahun mengabdikan diri dalam industri, kami mahu membawa penjenamaan UNIC ke fasa yang lebih tinggi. 

“Menerusi projek Unicoustic Podcast, kami merakamkan semula lagu-lagu daripada album sulung kami dalam versi akustik.

“Istimewanya, projek bertajuk You and I See ini digarap dalam format podcastbertujuan untuk menyingkap kembali sejarah awal penubuhan kumpulan, rahsia di sebalik penciptaan lagu-lagu lama, serta suka duka yang dilalui oleh saya, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi sepanjang memperjuangkan irama nasyid di negara ini,” katanya.

Memperincikan mengenai struktur pengisian, penerbitan eksklusif di bawah payung Unic Legacy itu mengandungi 10 episod pengisian visual dan audio serta diserikan dengan 10 buah lagu akustik.

Projek berskala besar ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya hasil sokongan dana penggiat seni daripada pihak kerajaan melalui agensi peneraju industri kreatif.

“Penerbitan ini dijayakan menerusi Geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang dibawakan secara eksklusif oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui agensi MyCreative Ventures.

“Inisiatif sokongan seperti geran ini sebenarnya memberikan impak yang amat besar buat penggiat seni seperti kami. 

“Ia bukan sahaja menyuntik semangat baharu, malah menjadi pemangkin utama dalam usaha memartabatkan serta melestarikan lagi industri nasyid tempatan,” jelas Fitri lagi.

Dedikasi Buat Peminat & Misi Kemanusiaan

Sedar akan sokongan peminat yang menjadi tulang belakang kelangsungan kumpulan ini sejak dua dekad lalu, Unic berharap agar naskhah terbaharu ini mampu mencetuskan rantaian nostalgia buat pendengar setia mereka.

“Besar harapan kami agar buah tangan terbaharu ini dapat mengembalikan semula memori indah sewaktu awal penubuhan Unic, sekali gus menjadi perlambangan kekuatan bagaimana kami mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“Kami juga ingin menzahirkan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Digital, MyCreative Ventures, serta rakan-rakan media yang tidak pernah lelah menyokong. 

“Kehadiran kalian amat bermakna dalam membantu kami meneruskan legasi perjuangan dakwah serta membawa misi kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

Lebih 6,600 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2025

LEBIH 6,600 nyawa terkorban akibat nahas jalan raya di seluruh negara sepanjang tahun lalu, sekali gus mendorong Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) memperhebat pelbagai inisiatif baharu bagi mengurangkan kadar kematian yang masih membimbangkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kematian akibat kemalangan jalan raya kekal pada tahap yang serius.

Menurut beliau, hampir 40 peratus mangsa terdiri daripada golongan belia berusia antara 16 hingga 30 tahun.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan usaha menoktahkan kematian di jalan raya dapat direalisasikan secepat mungkin.

“Keselamatan jalan raya bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak termasuk masyarakat, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MKJR Ke-62, hari ini.

Menurut beliau, MKJR akan terus memainkan peranan sebagai platform strategik dalam membincangkan isu keselamatan jalan raya dan melaksanakan penyelesaian yang berkesan di lapangan.

Antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah projek rintis Zon Sekolah Selamat di 14 sekolah seluruh negara yang memberi manfaat kepada hampir 20,000 murid dan warga sekolah.

Katanya, projek itu memberi tumpuan kepada langkah pengurangan kelajuan kenderaan dan penambahbaikan infrastruktur bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sekolah.

Selain itu, MKJR turut melaksanakan Program My Safe Road di Nilai, Negeri Sembilan yang bertujuan menangani isu keselamatan jalan raya secara lebih fokus dan bersasar berdasarkan keperluan setempat.

Dalam usaha membentuk generasi pemimpin masa depan yang lebih peka terhadap aspek keselamatan jalan raya, MKJR juga akan menganjurkan Program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia.

Pada masa sama, katanya, MKJR akan memperkukuh Kempen Media Keselamatan Jalan Raya menerusi pendekatan lebih kreatif dan bersasar bagi mempengaruhi perubahan tingkah laku pengguna jalan raya.

Beliau berkata, sebuah Indeks Keselamatan Jalan Raya turut akan dibangunkan sebagai mekanisme mengukur tahap pematuhan dan risiko dalam kalangan pengguna jalan raya secara berkala.

“Semua usaha ini penting bagi mengubah budaya pengguna jalan raya dan mengurangkan angka kematian yang masih terlalu tinggi setiap tahun,” katanya.

Projek bina infra sabo di Lembangan Sungai Kupang siap setahun lebih awal

PROJEK pembinaan infrastruktur sabo di Lembangan Sungai Kupang, Baling, Kedah berjaya disiapkan setahun lebih awal daripada jadual asal.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan, projek yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM26.32 juta itu telah siap sepenuhnya pada Disember lalu.

Menurut PETRA, pelaksanaan projek itu adalah sebagai langkah mitigasi khusus bagi menangani ancaman fenomena kepala air, banjir lumpur dan aliran puing yang berisiko tinggi di kawasan hulu Sungai Kupang.

PETRA memberitahu, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad telah mengadakan lawatan ke Lembangan Sungai Kupang, hari ini untuk meninjau perkembangan pelaksanaan fizikal projek tersebut.

“Kerajaan Persekutuan melalui PETRA komited dalam menjamin kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan infrastruktur tebatan banjir yang efektif serta memperkukuh sistem bekalan air di Kedah.

“Skop projek pembinaan infrastruktur sabo ini merangkumi pembinaan dua struktur sabo, kerja-kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing sungai, pembinaan laluan penyelenggaraan serta pemasangan sistem pemantauan dan amaran awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, PETRA memberitahu, pelaksanaan projek itu dijangka memberi perlindungan kepada lebih 5,000 penduduk dan kawasan seluas kira-kira 4,200 hektar.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan risiko kemusnahan akibat kejadian kepala air dan banjir lumpur yang boleh mengancam keselamatan nyawa serta menjejaskan aktiviti sosioekonomi penduduk setempat.

Dalam lawatan sama, PETRA berkata, Abdul Rahman turut meninjau Projek RTB Baling Fasa 1 bernilai RM15 juta yang merupakan inisiatif utama kerajaan bagi mengurangkan risiko banjir.

Kementerian itu memberitahu, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2027 itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf Sungai Kupang sepanjang 4.4 kilometer; pembinaan kolam takungan banjir; pembinaan ban dan tembok perlindungan banjir; penaiktarafan struktur lintasan serta kerja-kerja berkaitan bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran dan aliran sungai.

“Setelah siap kelak, projek ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di kawasan sekitar dengan mengurangkan risiko banjir, meningkatkan tahap keselamatan komuniti serta melindungi harga benda dan infrastruktur awam,” jelasnya.

Dalam pada itu, projek menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dengan kos RM147.78 juta pula merupakan antara inisiatif strategik bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat agar keperluan semasa dan masa depan penduduk di daerah Kuala Muda serta kawasan sekitarnya dapat dipenuhi.

Jelasnya, projek itu merupakan geran langsung kerajaan Persekutuan di bawah PETRA dan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah.

Tiada lagi caj RM1 keluar duit di mesin ATM, SRM mulai 1 Julai

TIADA lagi caj RM1 akan dikenakan kepada pelanggan semua bank di Malaysia yang mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) mulai 1 Julai ini.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Ketiga-tiga pihak itu memaklumkan, inisiatif tersebut membolehkan pemegang kad debit di Malaysia membuat pengeluaran wang tunai percuma tanpa had.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, pemegang kad debit boleh melakukan perkara itu di lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia.

“Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) ini mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih mudah diakses, inklusif dan berpatutan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Mengulas lanjut, ABM, AIBIM dan ADFIM memaklumkan, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Menurut ketiga-tiga persatuan itu, langkah itu juga mencerminkan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong seluruh lapisan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan kewangan yang praktikal, inklusif dan berteraskan keperluan pelanggan.

“Walaupun wang tunai masih menjadi pilihan penting bagi sebahagian masyarakat, industri perbankan juga menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital dan tanpa tunai yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat.

“Seiring dengan aspirasi Malaysia ke arah ekonomi digital, institusi perbankan akan terus memperkukuh serta memperluaskan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif bagi urus niaga harian.

“Pada masa sama, industri perbankan kekal komited untuk memberi kebebasan kepada pelanggan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka di samping memperkukuh keterangkuman kewangan serta meningkatkan pengalaman perbankan untuk seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.