PENYANYI terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza menghormati dan akur dikenakan kompaun RM10,000 selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis tahnik anak keduanya, awal bulan ini.
Pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu itu ketika dihubungi URTV, berkata, dia hanya mengetahui mengenai berita itu menerusi pihak media.
“Pihak kami hanya mengetahui daripada berita atau pihak media mengenai kompaun yang dikenakan dan belum mendapt pemberitahuan daripada pihak polis.
“Kami menghormati dan akur dengan apa jua yang diputuskan pihak berkuasa dan berharap semua ini selesai dengan baik,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Langgar SOP: Siti Nurhaliza, suami dikompaun RM10,000
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa masing-masing dikompaun RM10,000.
Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal Zain pula dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.
Tiga orang Khalid iaitu Muhammad Adif Khalid, Muhammad Aazief dan Muhammad Asyraf, masing-masing turut dikenakan kompaun RM2,000.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

