BERIKUTAN kesulitan dan kemarahan orang ramai ketika membuat tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca semalam, kerajaan hari ini memutuskan tawaran untuk mendapatkan vaksin itu tidak lagi akan dilakukan secara sukarela sebaliknya dimasukkan kembali ke dalam senarai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Ketika mengumumkan perkara itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin turut memohon maaf berhubung kesulitan yang dihadapi oleh orang ramai semalam.
“Kita telah membuat keputusan bahawa bekalan vaksin AstraZeneca yang akan diterima pada bulan-bulan yang akan datang tidak lagi akan dilaksanakan secara opt-in sebaliknya akan kembali dimasukkan ke dalam senarai vaksin arus perdana PICK,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Beliau berkata, selain itu kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk membolehkan orang ramai memilih vaksin yang mereka mahukan melalui aplikasi MySejahtera.
Mengulas lanjut, Khairy mengakui pengalaman dilalui pengguna itu menyebabkan mereka kecewa akibat kelemahan sistem memproses permintaan amat tinggi dengan cekap.
“Saya sebagai menteri bertanggungjawab terhadap PICK memohon maaf kepada semua pihak yang mengalami masalah melayari laman sesawang untuk membuat tempahan vaksinasi AstraZeneca pusingan kedua semalam.
“Ia sepatutnya berjalan dengan lebih baik. Sebagai contoh, ada tarikh dipaparkan di skrin menunjukkan warna kelabu dan bukan lagi hijau, menyebabkan pengguna menekan tanpa henti hanya untuk diberitahu slot tempahan telah penuh.
“Ada beberapa perkara lagi tidak sepatutnya berlaku, seperti pengguna tidak dimaklumkan permohonan berjaya diterima atau tidak dan sebagainya,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pihaknya menyedari isu berkenaan, selain memahami kemarahan dan kekecewaan orang ramai, terutamanya golongan yang gagal mendapatkan slot tempahan dikehendaki mereka.
“Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memandang serius perkara ini dan selepas tempahan ditutup semalam kita telah memulakan siasatan berkenaan punca masalah serta kelemahan sistem diguna pakai.
“Kini, siasatan sedang dilaksanakan dan diketuai Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mengenal pasti dan mengatasi masalah terbabit untuk tindakan seterusnya,” katanya.

