PELAKON Zarina Anjoulie bengang selepas netizen mempertikaikan tindakannya merentas negeri bagi urusan yang tidak penting.
Terdahulu, bintang Anak Pontianak itu berkongsi video rawatan kecantikan menyedut lemak (liposuction) di klinik yang lokasinya terletak di Kuala Lumpur sedangkan Zarina menetap di Nilai, Negeri Sembilan.
Tidak mahu pelbagai spekulasi yang tidak baik menghambat dirinya, Zarina tampil menjelaskan perkara sebenar mengenai kekerapannya ke ibu negara.
Ujar Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul berkata, dia telah mendapatkan kebenaran rentas negeri daripada pihak polis bagi urusan bekerja.
“Tolong faham, aku hari-hari kerja dekat Kuala Lumpur…kadang-kadang aku tak balik sebab esoknya kena bekerja pada waktu pagi.
“Aku duduk Nilai , jauh nak balik. Surat kebenaran kerja, aku mohon dekat Balai Polis Nilai.
“Kalau sesiapa yang tak puas hati, menggeletis boleh telefon balai polis untuk bertanya.
“Aku kerja bukan jalan-jalan cari karpet!,” katanya.

Zarina turut menepis dakwaan netizen yang mengatakan tujuan dia melakukan rawatan kecantikan bukanlah termasuk dalam urusan bekerja.
“Bila orang bebel kata aku pergi Kuala Lumpur tak ada kepentingan, itulah cara aku buat duit dengan review (ulasan produk).
“Kau ingat semua duit sumbangan yang aku buat selama ini datang dari mana? Daripada ‘review’ produklah.
“Tak kanlah suami kau yang tanggung aku kalau aku tak bekerja. Kerja aku ‘review’ tentang rawatan ‘liposuction’ dan dapat gaji, sila faham!,” ujarnya.

