DUNIA fesyen tanah air sekali lagi terpukau dengan keindahan busana pengantin yang digayakan oleh pasangan yang menjadi tumpuan ramai, Ammar Effendy, anak sulung kepada pelakon popular Rozita Che Wan, dan isterinya, Auni Ikhwan.
Pada hari bahagia mereka, pasangan ini tampil memukau dengan memilih busana bertemakan songket tradisional yang diberi suntikan moden oleh pereka fesyen tersohor, Man Kajang.
Pemilihan rona maroon burgundy yang mendalam dan mewah memberikan impak visual yang sangat elegan, sekali gus menyerlahkan aura diraja bagi kedua-dua mempelai.
Warna ini bukan sahaja melambangkan keberanian dan kemewahan, malah ia sangat serasi dengan tona kulit pasangan tersebut, memberikan kesan yang sangat eksklusif di bawah lampu pelamin yang gah.
Bagi sang pengantin perempuan, Auni Ikhwan, rekaan kebaya labuh yang dihasilkan oleh Man Kajang benar-benar mencuri tumpuan.

Kebaya tersebut mengekalkan elemen tradisional yang sopan namun mempunyai potongan yang kemas, menonjolkan sisi anggun si pemakai.
Penggunaan fabrik songket yang ditenun halus dengan motif bunga tabur memberikan tekstur yang unik, membuatkan setiap langkah Auni kelihatan penuh dengan nilai estetika budaya Melayu yang tinggi.
Perincian kain full lace pula menambah seri, menampakkan sentuhan seni tangan yang cukup teliti.
Tidak ketinggalan, Ammar Effendy turut tampil segak bergaya dengan baju Melayu songket yang dipadankan dengan sempurna.
Potongan baju yang kemas dan moden diserlahkan lagi dengan pemakaian sampin songket senada, melengkapkan gaya pengantin lelaki yang tradisional namun tetap relevan dengan peredaran fesyen masa kini.

Mengulas mengenai rekaan tersebut, pereka fesyen tersohor, Man Kajang, melahirkan rasa bangga apabila diberi kepercayaan untuk menyempurnakan busana pasangan ini.
“Saya mahukan sesuatu yang melambangkan keabadian dan martabat busana Melayu. Untuk Ammar dan Auni, saya memilih songket rona maroon burgundy kerana ia bukan sahaja nampak sangat ‘mahal’, malah ia mempunyai aura klasiknya tersendiri.
“Cabaran utama adalah memastikan songket itu sendiri tidak nampak sarat apabila dijadikan kebaya labuh, namun saya pastikan potongannya tetap selesa dan menyerlahkan bentuk tubuh si pemakai dengan penuh sopan.
“Melihat mereka menggayakannya di atas pelamin, ia adalah kepuasan tertinggi buat saya sebagai pereka. Busana tradisional ini sepatutnya dikekalkan dan perlu menjadi pilihan utama bakal pengantin yang akan berkahwin, ” katanya kepada URTV.
Malah, Man turut bertanggungjawab menyiapkan sebanyak 15 helai persalinan buat keluarga kedua-dua belah pihak.

Kolaborasi antara Man Kajang dan pasangan ini membuktikan bahawa busana tradisional seperti songket tidak akan pernah lapuk dek zaman jika diberi sentuhan kreativiti yang betul.

Kehalusan seni tenunan songket digabungkan dengan kepakaran jahitan Man Kajang telah berjaya mencipta sebuah karya seni yang bukan sekadar pakaian, malah satu simbol penyatuan kasih sayang yang abadi.
Keseluruhan penampilan Ammar dan Auni bukan sahaja memukau tetamu yang hadir, malah menjadi inspirasi buat pasangan pengantin baharu yang ingin menggabungkan elemen warisan tradisional dengan sentuhan fesyen mewah pada hari bersejarah mereka.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

