PENYANYI rap Zynakal membuat permohonan maaf selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa mempersendakan budaya serta adat negeri Sarawak.
Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli memuat naik sebuah video bagi menjelaskan perkara sebenar mengenai keterlanjuran katanya baru-baru ini.
Ujarnya, dia tidak berniat untuk mengundang provokasi atau menghina pakaian mahupun adat masyarakat Sarawak dengan gelaran ‘uga uga’.
“Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia terutamanya warga Sarawak yang terasa dengan saya di ruangan komen gambar Yonnyboii.
“Saya tiada niat mahu mempersendakan budaya atau adat orang Sarawak. Saya hanya berniat mempersendakan Yonnyboii sahaja,” katanya.
Terdahulu, penyanyi rap Yonnyboii telah memuat naik pakaian tradisional adat kaum Iban di Instagram miliknya. Foto tersebut telah menarik perhatian Zyn Akal yang kemudiannya meninggalkan komen biadap iaitu ‘Uga Uga’.
Netizen mula menghentam tindakan kurang bijak Zynakal yang tidak berfikir dahulu sebelum meninggalkan komen. Mungkin niat asalnya hanya bergurau namun ramai warganet tidak dapat menerima penghinaan yang dilakukannya seolah-olah perkataan itu merujuk keadaan masyarakat di negeri Sarawak hidup pada zaman kuno.
“Jadi saya harap permohonan maaf saya diterima oleh anda semua. Akhir kata saya ingin memohon beribu-ribu ampun dan maaf…saya harap semua dapat maafkan saya. Perkara ini tidak akan berulang lagi,” tambah Zynakal lagi.

