PENGGAMBARAN filem Mission: Impossible 7 terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas kru produksi disahkan positif Covid-19.
Produksi yang menerbitkan filem yang dibintangi Tom Cruise itu akan dihentikan selama 14 hari sehinggalah keadaan mereka yang dijangkiti wabak itu disahkan negatif.
“Kini kami menghentikan penggambaran Mission : Impossible 7 buat sementara waktu sehingga 14 Jun ini kerana ada yang disahkan positif selepas ujian rutin Covid-19 dijalankan.
“Kami mengikuti semua protokol keselamatan dan akan terus memantau situasi yang berlaku,” kata Paramount Pictures seperti yang dilaporkan di portal Deadline.
Sebelum ini, penggambaran filem yang dilakukan di Itali itu dihentikan pada Februari tahun lalu akibat pandemik yang melanda sebelum disambung semula pada Oktober.
Terdahulu, satu rakaman suara Cruise telah tersebar selepas dia dikatakan telah memaki-hamun dua kru yang melanggar protokol keselamatan dan rakaman suara itu dikeluarkan media antarabangsa.
“Kita adalah penanda aras. Mereka di belakang sana yang bekerja untuk menghasilkan filem di Hollywood hari ini adalah kerana kita! Mereka percayakan kita dan yakin dengan apa yang kita lakukan!” katanya dalam rakaman suara itu.
Mission: Impossible 7 dijangka akan ditayangkan pada Mei tahun depan.

