BEKAS Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Muhammad Zahid Mat Arip hari ini mencadangkan dan merayu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan kuasa mutlak sebagai Perdana Menteri untuk melantik segera pemimpin kanan UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, Perdana Menteri juga dicadangkan melantik pemimpin Bersatu bagi menduduki jawatan yang sama.

“Saya cadangkan Perdana Menteri melantik pemimpin kanan daripada UMNO dan Bersatu menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri,’’ katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan bagi memastikan politik negara lebih stabil dan hubungan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertambah mantap.

Muhammad Zahid yakin melalui pelantikan pemimpin kanan UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri segala kekalutan di dalam UMNO akan mampu diredakan.

“Terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri tetapi saya yakin pemimpin-pemimpin Bersatu bersetuju dengan pandangan saya. Jika itu dapat dilakukan saya percaya suasana politik kembali aman dan kita dapat merapatkan saf dalam Kerajaan PN bagi mendepani pandemik Covid-19 dan memacu ekonomi negara,’’ katanya.

Beliau berkata, cadangan itu juga dapat menyelamatkan UMNO daripada menjadi perkakas politik kepada mana-mana individu berkepentingan.

“Saya berharap pemimpin-pemimpin UMNO tidak akan membenarkan parti itu diperalatkan oleh sesiapa, jika itu berlaku pada masa akan datang orang Melayu dan rakyat akan menolak mereka terus daripada arus perdana politik negara,’’ katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahid berkata, beliau  bersimpati apabila mendengar hingar-bingar yang berlaku dalam UMNO sekarang memandangkan parti itu sama-sama berada dalam keluarga besar PN.

“Semua itu terjadi disebabkan ada individu mahu menjadikan UMNO sebagai alat dan perkakas bagi mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri. UMNO ada harga diri dan parti itu tidak boleh dibiarkan menjadi pemuas nafsu serakah politik mana-mana individu,’’ katanya.