LANSKAP pendidikan Islam di Malaysia melakar satu lagi sejarah baharu menerusi pengenalan program akademik yang lebih holistik dan dinamik.
Menyedari kepentingan penguasaan ilmu yang sistematik, pendakwah bebas terkenal, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, menyeru masyarakat untuk beralih daripada sekadar mengamalkan ritual asas kepada usaha melahirkan lebih ramai golongan cendekiawan agama yang berwibawa.
Menurutnya, umat Islam pada hari ini perlu dipersiapkan dengan kefahaman yang mendalam agar mampu memikul tanggungjawab menyebarkan hidayah, sekali gus memandu masyarakat sekeliling ke arah penghayatan Islam yang syumul dan berpaksikan ilmu yang sahih.
Pahala Mengalir Tanpa Henti, Hidayah Terpaut Asbab Teladan Pendidik
Mengulas mengenai peranan ejen perubahan dalam masyarakat, PU Riz menjelaskan setiap usaha untuk membimbing dan membawa manusia kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT menjanjikan ganjaran yang sangat luar biasa.
Malah, pelaburan ilmu tersebut merupakan satu legasi akhirat yang akan terus memberikan pulangan pahala berpanjangan kepada penyampainya.
Beliau menambah, asbab contoh teladan dan bimbingan konsisten daripada seorang pendidik atau pendakwah, ia mampu menjadi asbab hidayah dan titik tolak perubahan besar dalam hidup seseorang jemaah untuk menuju ke jalan kebaikan.
“Sekiranya pada suatu hari nanti ada dalam kalangan jemaah yang terbuka hati untuk berubah dan menerima hidayah hasil daripada usaha kita, itu merupakan sebuah nikmat yang tidak ternilai besarnya.
“Sesiapa sahaja yang memandu orang lain ke arah kebaikan, mengajak umat manusia kembali mengesakan Allah, serta mendalami ilmu agama akan terus meraih ganjaran pahala yang berterusan, biarpun jasadnya sudah tiada lagi di dunia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Fakulti Pengajian Haji dan Umrah (FPHU). Sebuah inisiatif institusi pendidikan kontemporari yang menawarkan laluan pengajian secara profesional dan berstruktur dalam bidang haji serta umrah, bermula daripada peringkat Diploma sehinggalah ke tahap tertinggi iaitu Doktor Falsafah (PhD).
Menyentuh mengenai penubuhan fakulti khusus itu, PU Riz menyifatkan langkah tersebut sebagai satu manifestasi penting yang bergerak selari dengan aspirasi pembangunan Fiqh Madani.
Gagasan ini meletakkan penguasaan ilmu syarak secara berfasa, mendalam, dan bersistematik sebagai asas utama kemajuan ummah.
Baginya, pelaksanaan ibadah haji dan umrah tidak seharusnya dilihat dari sudut teknikal semata-mata, sebaliknya setiap umat Islam wajib meneliti, memahami, serta menghayati hikmah tersembunyi di sebalik setiap rukun dan amalan yang disyariatkan agar ibadah tersebut dapat disempurnakan dengan kualiti terbaik.
“Menerusi gandingan bersama barisan tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas, misi utama kami adalah untuk memartabatkan pengajian fiqh haji dan umrah, di samping memperkasakan ilmu fiqh secara menyeluruh.
“Kita menaruh harapan tinggi agar dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, industri pendidikan agama mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi sekali gus melahirkan rantaian cendekiawan Islam yang berupaya memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat,” katanya lagi.
Pemerkasaan Sektor Pengurusan Ibadah Secara Profesional
Inisiatif pengenalan program sehingga peringkat PhD di bawah FPHU ini dijangka bakal merevolusikan sektor pengurusan ibadah tanah air.
Langkah ini bukan sahaja membuka ruang buat para mutawif, pengurus agensi pelancongan, dan penasihat syariah untuk meningkatkan kredibiliti akademik mereka, malah menjadi platform melahirkan rujukan pakar yang diiktiraf di peringkat global.
Melalui pendekatan pengajian yang menggabungkan aspek teori fiqh tradisional dan pengurusan moden, penubuhan fakulti ini membuktikan bahawa sistem pendidikan Islam di Malaysia sentiasa relevan, kompetitif, dan bersedia mendepani cabaran semasa dunia tanpa mengetepikan tuntutan syarak.

