RAMAI yang menyukai tembikai dan menjadikan buah tempatan ini sebagai pilihan utama. Isinya yang berwarna merah dan kuning, berair serta manis sudah cukup untuk membangkitkan selera anda untuk menikmatinya.
Citrullus Lanatus atau dikenali sebagai timun cina di negeri Pantai Timur, semangka atau tembikai merupakan pokok menjalar termasuk dalam keluarga Cucurbitaceae.
Tembikai diperkaya dengan vitamin A dan C, zink, magnesium, asid folik dan galian lain yang dipercayai berguna dalam bidang perubatan.

Buah yang berasal dari Afrika ini dipercayai mampu mengurangkan tekanan darah serta mengatasi masalah ginjal, penyakit paru-paru, masalah kulit dan sakit kepala.
Sementara itu, jus yang didapati daripada buah ini dapat membekalkan tenaga dan amat sesuai diminum oleh mereka yang baru sembuh sakit, mengubati kesakitan tekak, mengurangkan demam kuning serta mengeluarkan angin.
Manakala biji tembikai boleh diminum bagi melawaskan pembuangan air kecil dan besar dengan cara mengisarnya terlebih dahulu. Masalah pada sistem pernafasan dan penghadaman juga dapat diatasi. Dipercayai, biji buah yang dihancur dan dikeringkan dapat mengubati sakit salur kencing.

Tembikai biasanya dimakan sebelum mengambil makanan berat kerana ia berfungsi membersihkan perut. Mengandungi 92 peratus air dan lapan peratus gula, buah ini bersifat antioksidan lycopene, beta karotena yang dikatakan boleh menghindarkan pelbagai penyakit terutama sekali kanser.
Selain itu, tembikai juga kaya dengan kandungan kalsium tinggi yang berfaedah untuk menghalang kolesterol yang selalunya melekat dan menyempitkan pembuluh darah arteri. Jika rajin mengamalkan meminum jus tembikai setiap hari, ia dapat menolong menghilangkan kesan toksik dalam badan dan seterusnya melancarkan lagi pengaliran darah.

