KADAR pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin menunjukkan hasil sejajar dengan hasrat negara mencapai imuniti kelompok.
Program yang telah bermula sejak penghujung Februari lalu itu masih rancak berjalan bagi memastikan semua penduduk memperoleh perlindungan sewajarnya.
Sehingga semalam, sebanyak 43.696 juta dos vaksin COVID-19 telah pun diberikan ke seluruh negara termasuk bagi vaksin dos tunggal, CanSino.
Usaha itu juga telah menyaksikan lebih 86 peratus populasi dewasa seluruh negara telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing.
Perangkaan lebih 86 peratus atau lebih tepat 86.3 peratus itu merangkumi 20.255 juta individu telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing.
Ia juga termasuk termasuk 62.0 peratus bagi populasi keseluruhan.
Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 23.540 juta individu atau 72.1 peratus keseluruhan penduduk.
Dari segi pemberian harian, jumlah dos kekal melebihi paras 300,000 semalam.
Sebanyak 329,163 dos telah pun diberikan merangkumi 167,443 untuk dos pertama manakala 161,720 bagi suntikan kedua vaksin COVID-19.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos telah pun mencapai 94.2 peratus.
Baca artikel berkaitan: 85.7% dewasa lengkap vaksin merangkumi lebih 20 juta
Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, menurut JKJAV, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 6.838 juta atau 81.2 peratus populasi.
JKJAV memberitahu, ia diikuti liputan 2.207 juta (58.4 peratus populasi) di Johor; 1.846 juta (65.5 peratus populasi) di Sarawak; 1.668 juta (42.7 peratus populasi) di Sabah; dan sebanyak 1.345 juta (53.6 peratus populasi) di Perak.

Menurut JKJAV, Kedah menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 1.148 juta individu melengkapkan dua dos diikuti Pulau Pinang (1.138 juta) dan 874,875 di Kelantan.
“Seterusnya, Pahang berjumlah 874,816; Negeri Sembilan telah mencatatkan 793,995 lengkap dos kedua dan 688,170 di Terengganu.
“Di Melaka pula, sebanyak 596,695 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 165,884 di Perlis dan 67,563 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, JKJAV berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 7.334 juta.
Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Johor menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 2.677 juta individu.
Ia diikuti Sabah (2.210 juta); Sarawak (2.055 juta); Perak (1.670 juta) dan Kedah (1.420 juta).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

