‘Saya terharu, lega akhirnya dapat jemputan ikhlas daripada Anthony Loke’ – Onn Hafiz

Dari Penulis

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa terharu dan lega kerana ‘akhirnya’ mendapat jemputan yang ‘ikhlas’ daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter, Selasa ini.

Beliau menegaskan tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan akan melapangkan jadual bagi tujuan tesebut.

Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut adalah demi kesenangan Bangsa Johor, bukannya kerjasama politik.

“Jadi sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau keraguan. Pada saya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza.

“Namun begitu, sehingga hari ini, pejabat saya telah memaklumkan bahawa saya masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi dan butiran program daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk saya hadir mewakili Kerajaan Negeri Johor,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pihaknya hanya dimaklumkan oleh media bahawa ‘jemputan’ tersebut dibuat ketika program politik Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan malam semalam.

Biarpun begitu, pihaknya tetap terharu dengan ‘keikhlasan’ jemputan tersebut, sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri Johor akhirnya ‘dijemput’, walaupun program berkenaan telah dirancang sejak lebih seminggu lalu.

Bukan bertujuan ‘claim credit’

Onn Hafiz berkata, sebelum ini dalam beberapa program kementerian, pihaknya atau Exco yang bertanggungjawab tidak mendapat sebarang jemputan rasmi.

“Untuk pengetahuan semua, bagi memastikan agenda memperkasakan pengangkutan awam di Johor melalui projek KTM Komuter ini dapat berjalan dengan baik, kerajaan negeri turut menghulurkan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren.

“Saya juga difahamkan pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan bagi menunggu kehadiran Menteri Pengangkutan untuk melancarkannya pada Selasa ini,” dakwanya.

Selain itu katanya, atas permohonan KTM, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat, termasuk perkhidmatan shuttle dengan kos operasi sekitar RM86,000.

Kerajaan negeri juga jelas beliau, menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 demi keselesaan penumpang.

“Perkongsian ini bukanlah bertujuan untuk ‘claim credit’, tetapi sekadar memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan. Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan.

“Bagi saya, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuk DAP.

“Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat dan kesenangan rakyat.

“Saya menunggu surat jemputan rasmi dan butiran program. Insya-Allah, saya akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Ajinomoto kukuh komitmen gaya hidup sihat di NMM 2026

AJINOMOTO (Malaysia) Berhad memperkukuh komitmen dalam mempromosi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif dan kesejahteraan masyarakat dengan sekali lagi tampil...

More Articles Like This