KETIKA Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi masih memperkatakan soal ‘The Real Muafakat Nasional’ – di Selangor lain ceritanya.
Muafakat Nasional yang dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi terus memperkukuhkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam kenyataan bersama, mereka memaklumkan, mesyuarat Muafakat Nasional Negeri Selangor yang diadakan semalam bersetuju memperkasa dan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua di semua peringkat di negeri itu.
Kata mereka, ia atas platform MN demi membuat persediaan bagi mengambil-alih kerajaan Negeri pada PRu-15 nanti.
‘’Aktiviti dan program bersama atas nama MN akan terus dirancakkan bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua parti di Selangor,’’ kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, untuk memastikan nasib dan masa depan rakyat lebih baik, terbela dan sejahtera Muafat Nasioanal Selangor akan bergerak aktif turun ke lapangan bagi bertemu rakyat untuk meyakinkan mereka agar melakukan perubahan pada PRU-15.
‘’Untuk itu MN Selangor menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kerajaan “Keluarga Malaysia” pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan akan bekerja keras bagi memastikan agenda “Keluarga Malaysia” yang dicetuskan oleh Perdana Menteri akan diterima baik rakyat negeri Selangor khususnya dengan harapan ia juga akan turut terlaksana di negeri ini,’’ kata kedua-dua pemimpin tersebut dalam kenyataan berkenaan.

