PERSATUAN Penulis Nasional Malaysia (PENA) menggesa Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengeluarkan surat pekeliling rasmi bagi mewajibkan penggunaan bahasa Melayu.
Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, ia sejajar dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar semua agensi atau syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan rasmi.
Kata beliau, gesaan Perdana Menteri itu tidak seharusnya dipandang ringan semua pihak.
Menurut Mohamad Saleeh, PENA menyokong penuh gesaan berkenaan malah menuntut agar penguatkuasaan dilakukan terhadap semua pihak tanpa kompromi terutama dalam urusan rasmi.
“Bukan sahaja syarikat milik kerajaan malah agensi kerajaan termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pun mesti menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan semua mesyuarat dalaman.

“Kini pengabaian terhadap bahasa Melayu oleh pihak-pihak berkenaan sudah berleluasa seolah-olah bahasa Melayu tidak ada nilainya lagi sedangkan pekeliling kerajaan sedia ada menyatakan kewajipan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Saleeh turut menyatakan bahawa Audit Bahasa yang pernah dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampak tidak berkesan kerana tidak disusuli tindakan sewajarnya.
Beliau berkata, tiada pihak yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan hukuman terhadap pihak yang mengabaikan arahan tersebut.
Baca artikel berkaitan: Bahasa Melayu menduduki tangga ke-10 paling popular di dunia
Pada masa sama, katanya, PENA juga berharap agar usaha pemerkasaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa dilakukan dengan lebih giat.
“Pengembangan dan pemantapan di luar negara juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih gigih oleh DBP yang berada di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui pelbagai program yang dirancang secara bersama.
“PENA juga berharap agar Kementerian Pengajian Tinggi menguatkuasakan pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar dan tenaga akademik asing di universiti awam, bukan sekadar mewajibkan pengambilan kursus bahkan perlu memastikan mereka boleh menguasai bahasa Melayu.
“Langkah ini akan menjadikan bahasa Melayu mendapat nilai ekonominya apabila semua pihak mahu mempelajarinya dan kemudian menjadi duta bahasa Melayu apabila kembali ke negara masing-masing,” jelas beliau.
PENA turut berharap kerajaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri bersikap serius terhadap perkara berkenaan memandangkan bahasa Melayu sudah termaktub kedaulatannya dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan semakin merosot nilainya di mata rakyat negara ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

