Kecantikan, cukup subjektif. Bergantung kepada budaya dan kehidupan masyarakat yang ada kalanya berbeza mengikut peredaran zaman.
Menurut perkongsian Kelvin Liew Peng Chuan, kisah ‘Cat Keok’ atau bungkus kaki dalam bahasa Kantonis memberikan 1001 kisah yang cukup bermakna dalam keluarga. Menyingkap kembali kisah lama, nenek kepada neneknya merupakan salah seorang yang masih mengamalkan amalan bungkus kaki kerana berpendapat perempuan berkaki kecil amat halus, berbudaya dan ayu.
Walau bagaimanapun amalan itu telah diharamkan kerajaan China pada 1912, namun masih diterusan di kawasan pedalaman China.
Ikuti perkongsian yang cukup menarik ini.
“Hari tu saya berkongsi tentang kisah nenek belah mak. Rupanya ramai juga yang ingin tahu pasal cerita orang lama.
Jadi hari ni, saya berkongsi sedikit kisah nenek kepada nenek saya. Lahir di Toi San, Kwangtung, China, dan menghabiskan senjakala di sana juga. Hanya sekali dua mendiang datang Pulau Pinang melawat moyang saya.
Gambar yang saya kongsi ini bukan mendiang, tetapi sekadar untuk membantu para pembaca membayangkan satu ciri istimewa pada mendiang : iaitu Cat Keok. Cat Keok dalam bahasa Kantonis bermaksud “bungkus kaki”.

Nenek saya kerap bercerita tentang neneknya yang berkaki kecil. Kaki neneknya berbalut kain putih berlapis-lapis. Orang zaman tersebut berpendapat perempuan berkaki kecil amat halus, berbudaya dan ayu. Neneknya sangat gembira kerana beliau antara perempuan yang berkaki kecil. Terserlah kewanitaan dan keanggunan.
Walaupun diharamkan oleh kerajaan China pada 1912, amalan itu berterusan di kawasan pedalaman China. Takat ini, hanya ada lebih kurang 10 wanita China lagi yang Cat Keok di dunia.

Walaupun berkaki kecil, neneknya serba boleh di kampung halaman. Terkedek-kedek pun mendiang biasa ulang alik mengangkut air dari perigi kampung dan juga menanam sayur.
Apabila neneknya datang ke Pulau Pinang, neneknya mengalami kejutan budaya. Si ayah nenek memperkenalkan isteri nyonya nya kepada ibunya.
Punya terkejut warga Toi San ni sampai ditanya soalan ni kat ayah nenek saya :”Ah Lok, berbanyak wanita lain, mengapa kahwin dengan orang dari hutan”. Nenek saya kata mendiang terkejut melihat isteri anaknya bersarong.

Pada lewat petang setiap hari, mendiang lap kaki dengan air suam. Tiada seorang pun dibenarkan berada dalam bilik dengannya. Bukan apa, mendiang pantang ditegur bau kakinya.
Nenek saya nak sangat tengok kaki kecil mendiang. Pujuk punya pujuk, berjaya lah akhirnya. Mendiang pun buka lah lembaran kain putih yang menutup kakinya. Pada lapisan terakhir, mendiang peringatkan nenek saya tentang pantang larangnya.

Dari apa yang dilihatnya, nenek saya kata kaki mendiang hanya sepanjang sejengkal. Jari-jari kakinya dilipat ke bawah. Kaki mendiang dibalut sejak zaman kanak-kanak lagi.
Moyang saya kesian melihat ibunya. Dah lah jalan terkedek-kedek, hari-hari habis pulak dalam sejam nak buka kain bungkus kaki, lap kaki dan bungkus kembali. Moyang saya pun cuba nak pujuk mendiang untuk lepaskan ikatan kaki. Moyang saya ni anak kesayangan mendiang, maka akhirnya, berjaya juga lah.

Setelah beberapa lama setelah ikatan kaki mendiang dibuka, tapak kakinya perlahan-lahan rata semua. Walaubagaimanapun, saiz kakinya tetap kecil. Moyang saya belikan kasut “Hock See Hye” untuk mendiang. Mendiang tak terkedek-kedek lagi.
Mendiang antara sebilangan kecil dari generasinya yang makan pujukkan anak untuk membuka ikatan kaki. Yang lain, sampai akhir hayatnya tetap berpegang kepada istilah kecantikan yang mereka warisi.

Jika kita amati inti kisah mendiang, generasi kita pun sama saja bila nak cantik. Macam-macam dibuat, bahkan lagi dasyat : pembedahan plastik lah, suntikan botox lah..serta segala macam yang aneh-aneh belaka.
Kata orang putih : Beauty is in the eyes of the beholder, yakni kecantikan adalah tafsiran persendirian.”


Sumber : Kelvin Liew Peng Chuan