Individu yang dikenali sebagai bomoh bersama seorang wanita melakukan ritual di Telok Intan seperti yang tular di media sosial semalam.- Gambar video Facebook Perak Press

LEBIH empat tahun lalu, dia dilaporkan sudah bertaubat, siap berkopiah putih

Ini selepas ‘bomoh’ itu didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur kerana menghina kesucian Islam.

Pertuduhan jenayah syariah itu susulan ritual yang dilakukannya bagi mengurangkan kesan panas El Nino – kononnya.

Hari ini, orang yang sama sekali lagi menjadi perhatian apabila tular rakaman video beliau melakukan ritual bersama seorang wanita.

Kali ini dilakukan di Hilir Perak, untuk tolak hujan pula – kononnya.

Yang jelas, ada beberapa perkara meragukan dalam ritual berkenaan sekali gus mengundang kecaman warga maya.

Justeru Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuka kertas siasatan berhubung video ritual menolak musibah banjir yang dipercayai dilakukan di Dataran JPS Teluk Intan seperti tular di media sosial.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam.

“JAIPk akan buka kertas siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi amalan khurafat dan masyarakat juga dimohon tidak terpengaruh (dalam perkara yang menjurus kepada khurafat),” katanya hari ini seperti dilapor Harian Metro.

Video tular berdurasi lebih 25 minit itu memaparkan lelaki berkenaan bersama wanita melakukan ritual bagi menolak berlakunya banjir.

Bomoh dan wanita itu menggunakan beberapa bahan selain turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan al-Quran.

Dalam rakaman itu, lelaki itu mendakwa upacara berkenaan adalah petua zaman dahulu dan meminta semua tempat tidak banjir bukan saja di Teluk Intan tetapi seluruh dunia.

Dia turut mendakwa apa yang dilakukan adalah sebagai ikhtiar dan turut meminta tidak salah faham kerana mereka tidak memuja laut dan sungai sebaliknya hanya membuat petua zaman dahulu.