ANDA penggemar makanan pedas? Bila makan, wajib ada cili. Cili padi pun anda ratah macam makan salad. Wah, hebat. Tetapi, walaupun anda seorang yang tahan pedas, tidak bermakna ada mampu bertahan dengan kepedasan cili ‘kala jengking’ ini.

Dinamakan ‘Trinidad Moruga Scorpion’, cili ini sesuai dengan namanya seakan-akan nama haiwan berbisa. Cili bersaiz bola golf ini sangat menyengat jika dimakan sehingga ia pernah diangkat menjadi cili paling pedas di dunia.

Kepedasan melampau cili yang berasal dari Republik Trinidad dan Tobago ini diakui sekumpulan pakar dari New Mexico State University Chile Pepper Institute. Kajian saintifik yang mereka jalankan terhadap beberapa jenis cili mendapati, Trinidad Moruga Scorpion adalah cili yang paling pedas.

Terdapat beberapa baka cili yang terbukti memiliki reputasi super pedas. Antaranya, lada 7-pot, Chocolate 7-pot dan Bhut Jolokia. Namun, hasil penyelidikan yang dilakukan ke atas semua tanaman itu menunjukkan Trinidad Moruga Scorpion memiliki tahap kepedasan yang luar biasa hebat. Kepedasannya mencatat jumlah keputusan tertinggi dengan memperoleh lebih 1.2 juta Unit Haba Scoville (SHU).

Perolehan skala haba ini menjadikan cili ini sebagai cili terpedas di dunia pada tahun 2012 sekali gus mengatasi pemegang rekod dunia sebelum ini yang disahkan oleh Rekod Dunia Guinness pada tahun 2007, Bhut Jolokia yang hanya mencatat 1.02 juta SHU.

Trinidad Moruga Scorpion, cili yang pernah dinobatkan sebagai cili terpedas di dunia.
Walaupun kecil, tapi tahap kepedasannya mampu membuatkan orang yang memakannya pengsan.

Bagaimana hendak menentukan kepedasan semua cili tersebut?

Menurut pakar cili terkenal dari New Mexico State University Chile Pepper Institute, Paul Bosland, untuk mengetahui kepedasan sesuatu cili adalah melalui deria rasa manusia. Dalam bahasa saintifik, kaedah ini dipanggil sebagai Scoville Organoleptic Test.

Caranya, cili akan diekstrak terlebih dahulu ke dalam larutan gula. Larutan itu kemudian dipanaskan di atas api sehingga rasa pedas tidak dapat dirasai oleh panel perasa atau orang yang dipilih sebagai tukang rasa. Nilai kepedasan lada akan ditentukan melalui Unit Haba Scoville (SHU) iaitu berdasarkan berapa banyak cili itu dilarutkan ke dalam gula.

Semasa uji kaji dijalankan, kehangatan Trinidad Moruga Scorpion tetap juga dapat dirasai, walaupun telah dilarutkan dengan gula dalam jumlah yang sangat banyak. Malah, panel perasa mendapati rasa pedas cili itu semakin menyengat seperti gigitan seekor ikan.

Beberapa saat kemudian, muka tukang rasa berubah menjadi merah, peluh mula menitik, mata dan hidung berair. Kepedasan cili itu semakin menggila dan merebak ke seluruh lidah hingga ke bawah leher mereka. Dikatakan lidah rasa terbakar dan menjadi kebas selama beberapa hari. Paling teruk, ada antara pengkaji seperti terkena sawan dan jatuh pengsan gara-gara tidak tertahan dengan kepedasan cili itu.

Ada pengkaji yang sawan dan pengsan kerana tidak tahan dengan kepedasan cili ini.

Ujar Bosland, sebelum uji rasa bermula, mereka telah menuai pelbagai jenis lada secara rawak untuk di bawa ke makmal. Semasa proses memetik Trinidad Moruga Scorpion, satu kejadian luar biasa telah berlaku.

Kapsaisin atau sebatian yang menghasilkan sensasi haba dalam cili Trinidad Moruga Scorpion telah menembusi sarung tangan getah yang dipakai oleh Bosland dan dua pelajarnya. Walaupun sarung tangan berkenaan diganti berulang kali, namun kesan cili ini membuatkan kulit tangan mereka berasa pijar dan panas yang teramat.

Bosland turut menjelaskan, sensasi haba yang terkandung dalam cili boleh berubah-ubah mengikut keadaan persekitarannya ditanam. Cili akan menjadi lebih pedas jika tekanan yang lebih berlaku pada tumbuhan tersebut. Sebagai contoh, jika suhu persekitaran tanaman itu lebih panas atau kurang air, baka cili yang tumbuh akan menjadi lebih pedas.

Mungkin fenomena inilah menyebabkan mengapa kepedasan cili Trinidad Moruga Scorpion menjadi terlalu ganas dan tidak keterlaluan hingga dikatakan boleh membunuh.

Namun, rekod Trinidad Moruga Scorpion sebagai cili paling pedas di dunia sejak 2012 telah dikalahkan pada tahun 2017, apabila Rekod Dunia Guinnes memilih cili Carolina Reaper sebagai cili terpedas dengan 1.6 juta SHU.

Carolina Reaper kini memegang status sebagai cili terpedas di dunia.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en