PERNAHKAH anda dengar tentang ‘kutu lidah’? Haiwan ini hidup dengan cara menempel pada lidah haiwan lain. Bukan sekadar menumpang, tetapi haiwan parasit ini juga mampu menggantikan dirinya sebagai ‘lidah baru’ kepada induknya.

Kutu lidah merupakan spesies Cymothoa exigua. Mengikut kajian Micah D. Bakenhaster dan Richard S. McBride, pasukan penyelidik dari Jabatan Hidupan Liar dan Ikan Florida, Amerika Syarikat, parasit ini hidup di dalam air dan menjadikan haiwan marin sebagai induk.

Kutu ini akan menumpang di dalam mulut induknya sepanjang hayat mereka. Biasanya ikan akan menjadi mangsanya. Ia akan masuk melalui insang dan pergi ke bahagian lidah di dasar mulut.

Kutu ini akan menyedut darah dan mucus, iaitu sejenis lendir atau ludah yang terdapat pada lidah ikan berkenaan. Ia akan menghisap secara perlahan-lahan menggunakan sepasang kuku di bahagian kaki depannya. Lama kelamaan, lidah induk itu akan mengecut kerana kekurangan darah dan lendir.

Pengecutan itu akan berlaku sehingga bahagian pangkal lidah sahaja yang tinggal, menyebabkan fungsinya menjadi semakin berkurangan. Parasit ini kemudian akan melekatkan dirinya sendiri pada bahagian pangkal lidah mangsanya dan menggantikan lidah tersebut dengan dirinya sendiri.

Kutu lidah ini merupakan parasit yang menempel hidup pada lidah ikan.

Mengikut kajian, kutu lidah ini adalah satu-satunya parasit yang mampu menggantikan fungsi organ induknya. Walau pun begitu, induk tersebut masih mampu meneruskan kehidupan seperti normal kerana parasit ini tidak mengakibatkan sebarang kecederaan lain. Malah, ia akan berfungsi sebagai lidah kepada induk tersebut, sama seperti lidah yang asalnya.

‘Lidah baru’ itu kelihatan lebih besar dan kembung, tetapi tidak menjadi masalah besar kepada induk. Ia akan mengembang mengikut saiz mulut induk yang ditumpangi. Sebagai ‘lidah’, parasit ini akan memanipulasi makanan dalam bentuk partikel ketika ikan menjamah makanannya.

Setakat ini, ikan menjadi ‘mangsa’ yang paling popular selain ketam dan udang. Terdapat juga beberapa penemuan kutu ini menempel pada ketam batu.       

Haiwan parasit ini menempel hidup pada lidah ikan.

Ekosistem ‘kutu lidah’

Kutu lidah atau Cymothoa Exigua tergolong dalam keluarga Crustacea. Ia mendiami kawasan air masin dan air tawar yang boleh didapati di sebahagian besar benua Amerika dan Asia Tenggara.

Habitatnya tidak tetap, sama ada di dalam mulut induk, di celah-celah batu, karang-karang laut atau di sebalik tumbuhan yang tumbuh di dalam air. Ia agak sensitif dengan cahaya dan lebih suka mendiami tempat yang gelap dan mampu hidup pada tahap kedalaman sehingga 55 meter.

Cymothoa Exigua @ kutu lidah.

Parasit ini bukan perenang yang baik. Selalunya ia bergerak dengan cara merangkak perlahan-lahan atau mengikut arus air.

Secara fizikalnya kutu ini mempunyai saiz yang agak besar berbanding spesies parasit lain. Ia berukuran antara tiga hingga empat sentimeter. Kutu lidah ini berwarna putih dan mempunyai kulit yang keras di bahagian belakang badan. Apabila diganggu atau menerima ancaman, haiwan ini akan menggulungkan badannya seperti tenggiling.

Kajian yang dijalankan mendapati, parasit yang menjadi sumber makanan air tawar ini tidak berbahaya kepada manusia. Tetapi, ia mampu menggigit sekiranya dipegang ketika masih hidup.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/