SETIAP hari ada sahaja bakat baharu yang diketengahkah sebagai penyanyi di persada seni tanah air. Terbaru, syarikat Aries Music Sdn. Bhd., memperkenalkan dua penyanyi muda Wewinn dan Izzrin Irfan.
Wewinn atau nama sebenarnya Nur Ezzati Syafinaz, 21, dan Muhammad Izzrin Irfan Mohd. Ismail, 22, buat pertama kalinya disatukan menerusi lagu Rakus.
Rakus merupakan lagu ciptaan Amzar Razqa bersama Adk Razqa dan Muariffah. Manakala liriknya pula juga hasil nukilan Adk Razqa dan Muariffah.
Mungkin perkataan rakus itu kedengaran ‘kasar’ yang membawa maksud gelojoh namun sebenarnya lagu duet Wewinn dan Izzrin Irfan ini penuh dengan pengajaran.
Rakus yang berentak ‘catchy’ itu secara simboliknya adalah untuk memberi pesanan kepada orang ramai supaya berhati-hati semasa bercinta untuk memilih pasangan.
“Lagu ini judul Rakus sebab kalau kita faham maksud rakus ini seorang yang gelojoh dan tamak, suka berlebih-lebih. Lagu ini kita nak tuju kepada orang yang tak cukup satu pasangan, dia nak ramai teman wanita. Kita nak nasihat pada yang sedang bercinta supaya berhati-hati, jangan sampai terjerat.
“Mula-mula orang tanya kenapa Rakus dan mula fikir lain. Bila lagu sudah dikeluarkan dan dengar serta fahami lirik, baharu mereka tahu sebenarnya lagu Rakus itu berunsur nasihat untuk berhati-hati dan bukan untuk jadi rakus,” jelas Wewinn tentang maksud yang tersirat di sebalik bait lagu tersebut.
Akui Wewinn, dia menyukai lirik Rakus yang disifatkan sangat ringkas seperti sedang bercerita selain mudah difahami.
Walaupun ini pengalaman pertama Wewinn merakamkan lagu duet tapi dia tidak menghadapi masalah kerana antaranya dengan Izzrin sudah ada keserasian.
Sebelum ini, Izzrin pernah muncul dalam video muzik lagu Cintai Aku dendangannya sendiri.
“Asalnya lagu Rakus ini untuk nyanyian solo tapi lepas jumpa dengan komposer abang Amzar, kami cuba berduet dan rasa sesuai pula untuk diduetkan. Dari situlah lagu tersebut digubah jadi lagu duet.
“Rakaman lagu Rakus dibuat pada bulan November 2021 dan sebulan sebelum masuk studio, kami sudah diberi lagu tersebut.
“Jadi bila masuk studio tak ada masalah. Sewaktu di dalam studio, abang Amzar banyak ajar kami dari segi vokal dan sebagainya,” kata Wewinn.
Jelas Wewinn, lagu Rakus berbeza dengan Cintai Aku yang berentak balada dan secara peribadi dia amat meminati muzik yang berentak ‘catchy’ kerana kena dengan jiwanya yang ‘happy go lucky’ itu.
Video muzik Rakus sudah pun dimuat naik di saluran YouTube Aries Music sejak 16 Februari lalu dan ternyata gandingan Wewinn bersama Izzrin baik dari segi suara atau lakonan mendapat pujian ramai.
Sementara itu, Izzrin yang popular di platform TikTok dengan 1.3 juta pengikut itu menganggap peluang berduet dengan Wewinn merupakan satu bonus.
Izzrin yang sebelum ini dikenali menerusi lagu berjudul Aku Terima Nikahnya berkata, dia tidak kekok untuk berkolaborasi dengan Wewinn kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini.
“Kami senang bekerjasama sebab dah lama kenal. Rakus juga merupakan lagu pertama yang saya rakam secara berduet. Ini satu pengalaman baharu bagi saya.
“Saya harap lagu Rakus ini dapat menghiburkan hati pendengar dan sekali gus memberi ingat kepada pasangan bercinta supaya berhati-hati agar tidak salah pilih,” katanya yang pernah menyertai program I Can See Your Voice pada 2020.
Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia tidak kekok berlakon dalam muzik video Rakus kerana sudah ada pengalaman dalam bidang lakonan.
Izzrin pernah muncul sebagai teman baik Adib, lakonan Naim Daniel dalam drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta dengan melakonkan watak Haikal.
Selain itu, Izzrin juga bakal muncul dengan single solo dalam waktu terdekat ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

