Elok ada usus sihat terus rosak kerana kerja gila sanggup masukkan belut ke dalam dubur

Dari Penulis

KISAH-kisah pelik tentang orang yang memasukkan objek atau sesuatu yang mencurigakan ke dalam badan mereka memang selalu kita dengar. Ada banyak insiden seperti ini berlaku di seluruh dunia. Sudah tentu orang yang waras tidak akan melakukannya.

Sebagai contoh, satu kes yang pernah terjadi di Guangzhou, China beberapa tahun dahulu. Seorang lelaki dikejarkan ke hospital selepas mengalami tekanan darah rendah, demam dan mengadu sakit perut yang kuat.

Tiba di Hospital Universiti Jinan, dia diperiksa dan dirawat. Lelaki berusia 45 tahun itu diberikan ubat penahan sakit, namun ia tidak berhasil. Sakit yang dirasai oleh lelaki itu tidak berkurangan, sebaliknya semakin teruk.

Disebabkan itu, doktor terpaksa melakukan pemeriksaan menggunakan radiografi digital untuk mengesan tanda-tanda anomali di dalam perutnya.

Ketika diagnosis dijalankan, doktor melihat sesuatu yang ganjil di dalam perut lelaki berkenaan. Mereka terkejut apabila mendapati ada dua makhluk hidup mendiami perut lelaki itu.

Makhluk itu dikenali pasti sebagai Pond loach, sejenis ikan akuarium yang popular di Asia Tenggara. Saiz ikan ini kecil sahaja dan mirip seperti belut. Ikan ini memiliki keupayaan mengesan perubahan tekanan barometrik dengan menunjukkan aksi panik atau berdiri tegak. Selalunya sebelum ribut melanda, akan berlaku perubahan tekanan barometrik dan itu akan membuatkan ikan ini menjadi lebih aktif daripada biasa.

Ikan pond loach.

Pond loach adalah ikan yang agak kuat dan kebal. Ia mampu menyimpan oksigen di dalam usus jika ketiadaan air dan boleh menghasilkan lapisan lendir untuk mengelak kekeringan. Keupayaan luar biasa ini membuatkan ia dapat bertahan, bahkan mampu hidup dalam waktu yang lama tanpa air.

Ketika pemeriksaan, kedua-dua ikan itu dilihat sedang berenang memasuki usus pesakit. Malah, satu daripada ikan tersebut didapati telah menembusi dinding usus menyebabkan lelaki berkenaan mengalami sakit perut yang teruk.

Doktor mengesan ikan yang ‘berenang’ di dalam badan lelaki itu.

Para doktor sendiri bukan saja terkejut malah bingung bagaimana ikan itu boleh berada di dalam perut pesakit. Selepas diselidiki, rupanya ia satu tindakan yang disengajakan.

Lelaki tersebut mengaku telah memasukkan dua ekor ikan itu ke dalam duburnya. Tidak diketahui apa motifnya melakukan hal tersebut. Namun, menurut informasi lain menyatakan bahawa dia melakukan tindakan itu tanpa disedari kerana mabuk teruk.

Tidak sampai sehari selepas memasukkan ikan itu, lelaki tersebut mengalami sakit perut yang amat dahsyat disertai muntah-muntah dan demam sehingga terpaksa dibawa ke hospital.

Doktor yang mengendalikan kes itu segera melakukan pembedahan mengeluarkan ikan tersebut dari perut lelaki berkenaan. Melalui operasi itu, doktor berjaya mengeluarkan satu daripada ikan tersebut yang berukuran lebih 15 cm panjang. Disusuli ikan kedua sepanjang lebih 10 cm dan lebar 2 cm selang beberapa detik kemudian.

Namun, sebelum ikan terakhir itu berjaya dikeluarkan, doktor mendapati ia telah tersangkut di bahagian atas kiri perut pesakit. Dimaklumkan bahawa lelaki berkenaan mungkin akan kehilangan nyawa sekiranya ikan itu berenang lebih jauh hingga mencapai ke organ-organ bahagian atas.

Walaupun kes begini dianggap terpencil, namun kejadian serupa banyak telah dilaporkan. Antaranya dahulu, seorang lelaki juga dari Guangzhou, mengaku telah memasukkan seekor belut hidup ke bahagian duburnya.

Lelaki berusia 49 tahun itu memberitahu bahawa dia telah menolak haiwan sepanjang 50 cm dengan kepala berukuran 5 cm itu masuk ke dalam duburnya kerana percaya ia boleh menghilangkan masalah sembelit.

Walaupun belut itu berjaya dikeluarkan dan dia dilaporkan selamat, malang sekali sebahagian besar ususnya didapati telah hancur.

Di China, hampir setiap tahun ada kes dilaporkan berkaitan lelaki yang memasukkan belut melalui dubur kerana percaya dengan petua lama kononnya dengan memasukkan belut ke dalam dubur boleh merawat masalah sembelit.

Tahun lalu, seorang lelaki dari wilayah Jiangsu memasukkan seekor belut sepanjang 20 cm melalui duburnya dengan harapan akan menyembuhkan sembelitkan. Namun, belut itu hampir menyebabkan dia hilang nyawa apabila sudah mula memasuki bahagian abdomennya. Melalui pembedahan, doktor berjaya mengeluarkan belut itu yang masih hidup.

Doktor melakukan pembedahan untuk mengeluarkan belut dari badan pesakit.

Tidak habis di situ, pada tahun 2010, seorang pemuda dari Sichuan, China disahkan meninggal dunia selepas seekor belut dimasukkan ke dalam rektum mangsa oleh rakannya yang mabuk.

Pada tahun 2011 pula, sekumpulan doktor dilaporkan telah berjaya mengeluarkan seekor belut dari kemaluan seorang lelaki di China. Belut itu dikatakan telah melompat masuk melalui alat kemaluannya ketika sedang menjalani rawatan spa.

Kejadian sama juga berlaku di Brazil. Seorang lelaki terpaksa menjalani pembedahan mengeluarkan ikan menyerupai belut sepanjang 30.5 cm yang tersekat di dalam duburnya. Tambah malang, dia terpaksa menanggung malu kerana doktor dan kakitangan bilik bedah mentertawakannya semasa merawatnya.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This