Pija Yasin tak pernah letak tanda noktah dalam dunia seni, bersyukur terpilih ke WCOPA

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

LEBIH sedekad menghilangkan diri daripada radar seni, juara program realiti Mentor musim pertama terbitan TV3 iaitu Pija Yasin, kini kembali dengan semangat baharu demi mewarnai pentas seni.

Sebelum ini, tumpuan Pija atau Norafizah Mohd Yasin lebih tertumpu kepada keluarga selepas berkahwin dengan Datu Anwar Datu Amir Kahar pada 21 Mac 2014 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Siapa menyangka, dalam pada niatnya untuk kembali aktif dalam industri seni, Pija terpilih mewakili negara pada World Championship of Performing Arts (WCOPA) di California, Amerika Syarikat (AS), Julai depan.

Justeru, Pija sedang berusaha untuk mengumpul dana dan tajaan bagi menbiayai kos pemergiannya ke AS sebanyak RM25,000.

“Selepas saya terpilih, saya ada menerima bantuan RM5,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Malah, baru-baru ini saya juga turut mendapat sumbangan daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebanyak RM5,000.

“Secara keseluruhannya saya mengumpul RM10,000. Pada masa sama, saya juga turut mencari dana untuk adik saya, Rizwan Yasin (Juicy) yang turut sama terpilih di WCOPA,” katanya ketikat ditemui URTV, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pija turut melahirkan kekecewaan terhadap beberapa badan berkepentingan di saat anak seni memerlukan sumber kewangan demi misi mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Saya akui memang sangat susah nak cari dana dan tajaan. Kadang-kadang terfikir mana kemterian, persatuan atau badan berkaitan dengan golongan seni ketika artis memerlukan bantuan.

“Bila tak ada ‘kabel’ memang susah sangat nak dapat tajaan. Apa-apa pun, saya tak pernah putus harapan dan terus berdoa.

“Saya ada berusaha dengan menghantar surat rasmi untuk memohon dana tajaan kepada beberapa kementerian.

“Mungkin kalau tak dapat bantuan, kena korek tabung guna duit sendiri. Tapi tabungan yang ada pun bukanlah banyak,” ujarnya.

Pija bakal bersaing dalam kategori vkoal senior di bawah tiga genre muzik iaitu Broadway, Jazz dan R&B soul.

“Insya-Allah, saya bercadang nak keluarkan single baru selepas tamat pertandingan itu nanti,” katanya yang kali terakhir muncul dengan single ciptaan Awi Rafael ketika menganggotai kumpulan Girl Republik pada 2014.

Disoal mengapa baharu sekarang dia kembali aktif, adik kepada penyanyi Naufara itu akui minatnya dalam muzik tidak pernah bernoktah.

Kata wanita kelahiran Sabah itu, dia sudah lama merancang untuk kembali aktif dan berasakan tahun ini adalah cukup sesuai untuknya berbuat demikian.

“Sejujurnya dari dulu lagi saya teringin untuk kembali aktif. Cuma sekarang saya rasa adalah masa yang tepat sebab anak-anak pun sudah besar dan boleh bawa diri,” jelasnya.

Bercerita lanjut tentang kehidupan peribadinya pula, Pija tidak mampu menyembunyikan kisah rumah tangganya yang dikatakan bagai retak menanti belah.

“Tapi apa juga punca atau sebab musabab itu biarlah saya simpan sendiri. Sekarang pun tiga anak saya tinggal dengan bapa mereka dan keluarga mentua di Kota Kinabalu, Sabah.

“Memang agak rumit hal membabitkan saya dan suami. Selama ini, saya tak pernah menyesal menumpukan rumah tangga dan anak sekali gus melupakan minat menyanyi.

“Ikutkan di Sabah pun saya masih menyanyi. Bagaimanapun keputusan untuk ‘come back’ ini mempunyai asbab tersendiri,” akhirinya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This