PENGACARA, James Corden memutuskan untuk menamatkan musim kelapan The Late Late Show dengan mengundurkan diri setelah tujuh tahun mengacarakan rancangan tersebut.
Pengacara asal Britain itu membuat keputusan untuk berhenti pada penghujung musim kelapan ini walaupun pihak CBS bersungguh-sungguh untuk mengekalkannya.
Bintang itu dan isterinya Jules, sedang merancang untuk kembali ke United Kingdom (UK) bersama ketiga-tiga anak mereka Max, 11, Carey, 7 dan Charlotte, 4, tetapi mereka juga berfikir apa yang harus dilakukan setelah pemberhentian James.
Menurut sumber, James dan Jules hampir tidak mempunyai masa untuk melihat keluarga mereka di UK sejak beberapa tahun lalu kerana jadual kerjanya yang padat.
“Dalam jangka masa kehadapan, mereka mahu berjumpa lebih kerap dengan ibu bapa mereka.
“Mereka juga sedang mempertimbangkan untuk berpindah secara tetap dalam beberapa tahun,” memetik sumber Daily Mail.
Sumber TV Amerika Syarikat turut mengatakan semua kru di CBS kecewa dengan pengumuman tersebut dan pihak atasan sudah cuba sedaya upaya bagi mengekalkannya dengan menawarkan jutaan pound tetapi ditolak James.
“Semua orang di CBS benar-benar kecewa. Eksekutif melakukan yang terbaik untuk mengekalkannya. James menolak perjanjian berjuta-juta pound,” memetik sumber The Sun.
The Late Late Show merupakan sebuah rancangan hiburan berkonsepkan temubual yang dihasilkan di Los Angeles dan pertama kali ditayangkan pada 1995 dengan barisan pengacara Tom Snyder, Craig Kilborn, Craig Ferguson seterusnya diikuti James Corden dari 2015 sehingga kini.
James yang juga pelawak, berjanji kepada para penonton rancangan tersebut bahawa dia akan keluar dengan bergaya dan menjadikan rancangan ini yang terbaik dalam beberapa bulan yang akan datang.
Ramai penonton seluruh dunia yang menonton rancangan tersebut terutama apabila James membawa penyanyi-penyanyi terkenal seperti Justin Bieber, Billie Eilish dan Adele berkaraoke dalam kereta menerusi segmen ‘Carpool Karaoke’.
Untuk info, James mempunyai nilai kekayaan berjumlah 30 juta Dolar direkodkan sehingga hujung 2021 berdasarkan laman web Wealthy Gorilla.

