MANUSIA mahupun haiwan, semua mempunyai sifat MARAH. Sering dinasihatkan apabila kita berasa marah, segeralah melakukan sesuatu agar perasaan marah itu surut.
Jangan dibiarkan perasaan marah berlarutan tanpa penyelesaian. Sudahnya, hati bertambah sakit, fikiran tambah serabut sehingga sukar hendak tidur dan hidup juga tidak tenang.
Tahukah anda, kita disarankan untuk memaafkan segala kesalahan orang lain sebelum tidur kerana dengan cara itu, kita akan berasa lebih tenang.
Perkara itu diakui sendiri oleh ramai saintis dunia. Yunzhe Liu, seorang ilmuwan dalam bidang nuerosains dari University College London, menyatakan bahawa perasaan marah boleh membuatkan seseorang sukar untuk tidur. Beliau menyarankan supaya tidak tidur dalam keadaan marah bagi mengelak kenangan buruk disimpan di dalam otak.
Pakar psikologi dari University of Massachusetts Amherst juga senada dalam hal ini. Dr. Rebecca Sepencer dan rakan-rakannya mengatakan bahawa ketika kita memendam rasa negatif kemudian tidur, emosi negatif itu akan ‘terjaga’ dan tetap tersimpan.
Ini kerana, otak kita tidak akan berhenti daripada terus memproses informasi meskipun ketika kita sedang tidur. Justeru katanya, tidur sambil membawa emosi negatif dalam keadaan marah adalah tidak digalakkan.

Dalam Sleep and Health Jurnal, seorang peneliti bernama Dr. Rosalind Cartwright turut memberitahu bahawa pengalaman meresahkan yang dibawa dalam tidur boleh membuatkan seseorang itu sukar untuk tidur atau tidur menjadi terganggu. Sebabnya, otak ketika itu sedang berusaha untuk menjaga memori baru.
Keadaan itu tidak baik untuk kesihatan. Ini kerana, tidur dengan perasaan marah akan meningkatkan ritma jantung dan tekanan darah. Lalu, bila mana terbangun daripada tidur, ada kemungkinan mereka akan mengalami serangan jantung, strok atau tidak bangun langsung.
Oleh itu, berhati-hati dengan kemarahan. Cubalah mencari cara untuk melepaskan apa yang terbuku di hati. Jangan sesekali memendamnya sebelum waktu tidur kerana rasa marah yang dibawa ke dalam tidur boleh bertindak sebagai pembunuh senyap.
Dalam Islam, umatnya dituntut supaya saling menjaga hubungan silaturahim, sentiasa berlapang dada, mengalah, memohon maaf dan saling memaafkan.
Terdapat kisah tentang tingkah laku seorang pemuda yang disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai bakal menjadi penghuni syurga.
Diriwayatkan dari Anas bin Malik, ketika para sahabat selesai menunaikan solat bersama-sama Nabi, tiba-tiba baginda bersabda: “Sebentar lagi akan datang seorang lelaki yang bakal penghuni syurga.”
Kemudian datang seorang pemuda melalui di hadapan mereka dengan bekas air wuduk masih di janggutnya sambil tangan kirinya memegang sandal. Keesokan harinya, Nabi juga mengatakan hal yang sama dan kemudian muncul pemuda yang sama dengan keadaan seperti hari sebelumnya. Kejadian ini berulang sehingga tiga hari berturut-turut.
Setelah Nabi bangkit dari tempat duduknya, seorang sahabat baginda bernama Abdullah bin Amr mengikuti lelaki tersebut. Dia ingin mengetahui amalan apakah yang dilakukan lelaki itu sehingga Nabi menyebutnya sebanyak tiga kali sebagai penghuni syurga. Lalu, dia pun meminta izin untuk menginap di rumah lelaki itu selama tiga hari dengan memberi alasan dia mempunyai masalah dengan orang tuanya.
Setelah mendapat izin, Abdullah sedikit pun tidak melepaskan pandangan daripada pemuda itu – mulai dari pekerjaannya, amalan seharian, mahupun keperibadiannya.
Selepas tiga hari mengamati lelaki itu, Abdullah tidak pernah melihatnya bangun solat di tengah malam kecuali berzikir setiap kali terjaga daripada tidur, takbir hingga menjelang subuh dan bercakap dengan baik.
Hal itu menyebabkan Abdullah terpaksa menerangkan hal sebenar kepada lelaki tersebut dengan berkata, “Aku menginap di rumah mu semata-mata kerana ingin tahu amalan apakah yang kau lakukan supaya aku dapat mengikut amalan mu. Terus terang, aku tidak melihat engkau mengerjakan amalan yang berpahala besar. Lalu, apakah sebenarnya amalan yang engkau kerjakan sehingga Nabi berkata demikian?”
Kemudian lelaki itu menjawab, “Sebagaimana yang kamu lihat, aku tidak mengerjakan amalan apa-apa. Hanya saja aku berusaha untuk tidak menyinggung perasaan orang lain. Baik itu kepada ibu bapa ku, isteri dan anak-anak, ahli keluarga, jiran tetangga dan semua orang yang ada di sekeliling ku. Aku sebolehnya tidak ingin mereka sakit hati atau tersinggung dengan ucapan atau perbuatan ku.
Kata lelaki itu lagi, “Aku juga berusaha untuk memaafkan dan tidak marah. Ini kerana, aku tahu bahawa Nabi tidak suka marah dan mudah memaafkan. Selain itu, aku turut berusaha untuk menjaga silaturahim, menjalin hubungan baik dengan siapa pun dan menyambungkan kembali silaturahim yang terputus.”
Mendengarkan hal itu, Abdullah berkata, “Demi Allah… engkau benar-benar ahli syurga. Segala amalan yang engkau sebutkan itulah amalan yang paling susah untuk aku lakukan.”
Daripada kisah itu, jelas bahawa akhlak sedemikian dapat mengangkat darjat manusia sebagai ahli syurga meskipun orang itu pada dasarnya biasa-biasa saja.
Oleh demikian, hindarilah rasa marah terhadap sesama kita. Elakkan juga keinginan untuk memfitnah, mencaci, menyakiti atau bercerita tentang aib orang.
Dengan memaafkan segala kesalahan orang lain dan tidak membawa perasaan negatif itu sehingga ke tempat tidur sebenarnya dapat membuatkan hati menjadi lebih tenang.
Apatah lagi di musim perayaan ini, sesungguhnya amalan saling bermaafan itu sangat dituntut.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/