Datuk Azizulhasni Awang GAMBAR: Abd Razak Aid

SATU pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi memantau dan membantu proses pemulihan jaguh berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang sebelum ini selamat menjalani pembedahan jantung pada 21 April lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar dari ISN dan Institut Jantung Negara (IJN) itu akan terus memantau perkembangan Mohd Azizulhasni sepanjang tempoh pemulihan.

Menurutnya, pasukan itu juga akan merangka satu program pemulihan berstruktur yang berdasarkan bukti menggunakan data-data penting.

“Dengan sokongan perubatan sukan dan sains sukan daripada ISN, kami kena sentiasa berkomunikasi dengan Azizul dan melihat elemen-elemen penting dalam program pemulihan ini.

“Ia termasuklah kesihatan beliau, aspek pemakanan pemulihan, sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, perubahan latihan selepas surgeri serta kordinasi program antara pakar jantung, pakar ISN dan jurulatihnya John Beasley,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Ahmad Faizal kagum semangat kental Azizulhasni

Ahmad Faedzal turut menjelaskan sokongan dan doa daripada semua pihak amat diperlukan Mohd Azizulhasni ketika ini, selain diberi ruang untuk pulih sepenuhnya daripada pembedahan yang dijalani bagi tiga bulan pertama ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu telah menjalani pembedahan jantung terbuka bagi kondisi jantung jarang jumpa dikenali arteri koronari kanan yang menyalur daripada aorta di posisi yang janggal (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

Penyakit berbahaya itu membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.

Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Kanan Kardiotorasik merangkap Pengarah Sukan IJN Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon berkata pemulihan ‘The Pocket Rocketman’ itu telah dibahagikan kepada tiga fasa.

Fasa pertama merangkumi pemulihan daripada pembedahan yang dijangka selama enam minggu, diikuti ‘cardiac rehabilitation’ iaitu rehabilitasi dari segi jantung bagi fasa kedua yang dijangka memakan masa dari enam minggu hingga tiga bulan.

“Fasa terakhir adalah rehabilitasi sebagai atlet. Semua akan berlaku dengan evidence-based melalui team di sini, iaitu ISN, Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta team di Melbourne.

“Kami telah membuat ground work di Melbourne dan telah berhubung dengan doktor-doktor di sana. Azizul mempunyai sokongan perubatan yang baik di sana, selain kami juga telah mengenal pasti pakar kardiologi sukan di Melbourne untuk bantu pemulihan atlet,” katanya.

Mohd Azizulhasni dijangka meneruskan pemulihan di Melbourne bersama keluarganya sehingga hujung tahun ini.

Rancangan memindahkan pusat latihan skuad berbasikal trek kebangsaan ke Velodrom Nasional, Nilai dijangka akan dilaksanakan selepas Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September ini.

— BERNAMA

ISN IJN Mohd Azizulhasni