SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan serta kerjasama beberapa pentadbiran, dan bukannya usaha mana-mana pihak secara bersendirian.
Baginda bertitah, projek pengangkutan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur itu akhirnya berjaya dilaksanakan demi manfaat serta kesejahteraan rakyat, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.
Dalam titah perutusan sempena pembukaan Laluan LRT3 hari ini, baginda turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana menerima cadangan baginda pada 2015 untuk membina sistem pengangkutan rel berkenaan.
Baginda bertitah, cadangan itu dibuat selepas menerima banyak surat daripada suri rumah yang mengadu suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas, terutama di Lebuhraya Persekutuan, selain keadaan ketika itu yang hanya mempunyai dua jambatan merentasi Sungai Klang.
Menurut baginda, pentadbiran Najib turut mengambil langkah segera mengurangkan kesesakan apabila memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018.
Pada masa sama, baginda bertitah projek LRT3 mengalami kelewatan lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018, sebelum tertangguh lagi selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19.
Baginda turut menyentuh keputusan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng yang mengurangkan skop projek, termasuk mengecilkan saiz stesen, mengurangkan jumlah gerabak dan membatalkan lima stesen yang dicadangkan atas alasan projek itu bersifat “mega”.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ia adalah projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.
Bagaimanapun, baginda menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana meneruskan projek berkenaan selepas mengambil alih pentadbiran negara.
Menurut baginda, Anwar turut bersetuju mengembalikan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan selain merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi memberi manfaat kepada rakyat.
Baginda juga bertitah Perdana Menteri mengarahkan supaya tiada lagi sebarang halangan terhadap pelaksanaan projek itu.
Sultan Sharafuddin berharap pembukaan LRT3 mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada penduduk Klang dan Shah Alam yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.
Baginda turut berharap pihak Prasarana menyelenggara laluan berkenaan dengan baik supaya perkhidmatan dapat beroperasi secara lancar dan berterusan.
Dalam masa sama, baginda menegaskan tiada mana-mana pihak wajar mengambil kesempatan mendakwa kejayaan projek LRT3 adalah hasil usaha mereka semata-mata kerana projek itu direalisasikan menerusi kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran.
Baginda berharap kemudahan infrastruktur baharu itu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

