PELAKON asal Korea Yoon Ji On mengaku lakonan dalam drama terbaharunya bukanlah yang terbaik dan sering tidak berpuas hati.

Penggemar drama Korea pasti sudah selesai menonton drama terbaharu Ji On berjudul Tomorrow yang memperlihatkan dia sebagai seorang malaikat maut.

Drama 16 episod itu turut mempamerkan bintang terkenal seperti Rowoon, Kim Hee Sun dan Lee Soo Hyuk.

Menurut pelakon yang pernah membintangi drama sensasi Sweet Home itu, dia tidak mahu cepat berpuas hati dengan hasil lakonannya di samping mahu lebihkan lagi usaha agar terus berkembang.

“Saya sering merasa tidak berpuas hati dengan semua lakonan sendiri. Saya melihat banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Perasaan itulah yang sering mendorong untuk saya terus berlakon. Saya mahu melakukan lebih baik.

“Mana-mana pelakon pun akan rasa perkara sama. Jika mudah rasa puas hati dengan lakonan sendiri, anda akan berhenti untuk terus berkembang,” katanya seperti yang dipetik dari Soompi.

Pelakon berusia 32 tahun itu juga memberitahu, dia berasa tertekan dan pada masa sama gementar dengan tanggungjawab sebagai watak utama yang memerlukan dia bekerja lebih daripada lakonannya sebelum ini.

“Cerita ini diambil dari sebuah siri kartun popular. Disebabkan itu saya rasa tertekan kerana apabila diberi tanggungjawab sebagai watak utama saya perlu bekerja lebih keras.

“Saya juga terkejut apabila menerima tawaran ini dan rasa gementar untuk bekerja dengan barisan pelakon hebat lain,” ulasnya lagi.

Untuk rekod, Tomorrow adalah drama pertama Ji On memegang watak utama yang mana sebelum ini dia hanya memainkan watak sampingan.