PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menyelaras pelan tindakan dan sasaran kelestarian masing-masing.
Menurut Perdana Menteri, pelan itu perlu diikuti dengan pemantauan dan laporan yang lebih terangkum.
Perdana Menteri berkata, pelan dan dasar kelestarian kerajaan telah digembleng bersama sektor korporat dan GLIC di bawah Rangka Kerja dan Sasaran Kemampanan Perniagaan berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Sebagai contoh, beliau berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyasarkan portfolio pelaburan patuh ESG penuh menjelang tahun 2030 dan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar pada tahun 2050.
Pada masa sama, Permodalan Nasional Berhad (PNB) pula menyasarkan peruntukan modal baharu berjumlah RM10 bilion untuk pelaburan aset hijau menjelang tahun 2030.
“Tidak lama lagi Khazanah Nasional akan mengumumkan rangka kerja dan sasaran kemampanannya yang bakal menjadi penanda aras komitmen serta sasaran syarikat-syarikat di bawahnya.
“Menerusi pentadbiran secara bersama Kementerian Kewangan dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Dana Amanah Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG Trust Fund) diwujudkan dengan peruntukan RM20 juta sebagai dana permulaan bagi menyokong program kerajaan berorientasikan Matlamat Pembangunan Lestari di seluruh negara,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Perluas konsep ‘memperkasa komuniti’ realisasi agenda hijau – PM
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Taman Tugu, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memberikan mandat kepada Amanah Warisan Negara (AWAN) iaitu sebuah badan Pemegang Amanah Taman Tugu untuk memelihara, memulihara, mengurus dan mengoperasi Taman Tugu bagi pihak awam.
Beliau turut difahamkan tapak hutan sekunder Taman Tugu yang sebelum ini dijadikan tempat pembuangan sampah haram telah dikunjungi lebih 500,000 pelawat setelah dilakukan proses pemuliharaan dan dibuka bagi kunjungan ramai pada 2018.
“Taman Tugu ini mempunyai laluan-laluan denai hutan sejauh enam kilometer, ruangan riadah dan kemudahan awam untuk kegunaan pengunjung serta terdapat beberapa spesis pohon tempatan seperti jelutong, tembusu, pulai dan gaharu.
“Alhamdulillah dengan negara kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik, saya percaya lebih ramai pengunjung akan melawati Taman Tugu untuk menikmati keindahan alam sekitarnya,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

