Kalau ‘body’ cantik, putih melepak, segalanya terletak, rugilah kalau disimpan kan? Macam mana orang nak tahu?

Wanita sukakan kecantikan, begitulah fitrahnya. Suka dipandang, sukakan pujian sehingga adakalanya tidak selari dengan batas agama.

Namun naluri itu datang beserta suruhan agar menjaga maruah. Jangan sesekali kecantikan itu terzahir pada pandangan ajnabi apalagi sekalian manusia.

Aurat akan mengangkat maruah, memelihara kehormatan dan lambang kemuliaan wanita solehah. Ia bukan sewenang-wenangnya dipaparkan di laman sosial sehingga mendatangkan keghairahan dan rasa jelek yang melihat.

Ikuti perkongsian Siti Suryani Yaakop akan isu berbangkit.

“Bila seorang wanita kata yang upacara tepuk punggung ni sebagai satu cara untuk menunjukkan aset, secara jujurnya…saya faham.

Wanita ni Allah ciptakan dia unik. Allah bagi dalam diri dia satu fitrah. Fitrah suka benda yang lawa. Dan suka nak melawa. Suka perhiasan. Dan suka nak berhias.

Tingkap kena ada langsir. Tak boleh main tutup dengan kain pelekat je. Dia tak boleh tidur atas tilam yang takda cadar. Cadar pulak tu kena sepasang. Match warna. Tak boleh dia tengok cadar kuning. Sarung bantal biru. Selimut pink. Kalau tak ditukar selagi tu dia tak senang hati.

Tengok kalau nak travel. Baju anak tu macamana dia urus. Baju jalan lain. Baju tidur lain. Baju duduk rumah lain. Baju kenduri lain. Bukan macam orang lelaki kalau siapkan anak. Baju jalan dengan seluar tidur pun jadi. Janji pakai.

Tetapi pada saat Allah beri naluri ni, Allah datangkan pula satu suruhan. Jangan nak tunjuk kau punya lawa.

Berat. Berat tu.

Benda kita ada. Cantik pulak tu. Penat makan jamu. Pakai losyen. Bagi elok. Tapi tak boleh tunjuk.

Tapi bila fikir kembali. Apa je lagi yang kita boleh bawa balik nanti.

Sembahyang pun entah berapa markah Allah bagi. Solat sunat berasa berat. Puasa pulak tak berapa larat. Nak mengaji Quran kadang tak sempat. Nak sedekah banyak macam orang duit kita pun tinggal sekerat.

Takda apa-apa.

Lalu kita ingat Allah bagi kita tubuh badan dan rupa. Yang Allah bagi rezeki elok serba sempurna. Yang Allah titipkan sekali naluri suka kecantikan bersamanya.

Tapi kita ingat Allah pesan, orang perempuan jaga aurat. Aurat kamu maruah kamu. Dan tubuh kamu hak Aku.

Lalu kita pun berusaha menahan diri. Menahan naluri. Menahan rasa hati.

Kita letakkan hak itu ditempat yang betul. Menjaga ekslusiviti. Beli baju seksi. Beli make up berkati-kati. Beli hiasan nak pasang sana sini. Tapi kita simpan untuk suami.

Lalu kita minta doa pada Allah,

Atas muka bumi ni kita menahan ingin. Kita menahan sabar. Berperang dengan rasa orang lawa, aku tak lawa. Maka kuatkanlah. Moga adalah kiranya dipandang pengorbanan menahan diri untuk menjaga hak Tuhan ini nanti diganti dengan pakaian yang lebih cantik. Lebih baik. Dan lebih utama, ia kekal selama-lamanya.

Moga sekeras mana kita menjaga hak Tuhan, selembut itu juga Tuhan beri belas kasihan. Moga sampainya saat kita dipanggil kembali, Tuhan mahu pandang penuh simpati.

Sungguh kita tahu wahai sahabat semua,

Mati itu tiba-tiba. Mati itu bila-bila.

Siti Suryani Yaakop

#kaknis.”

Sumber : Siti Suryani Yaakop