LEMBAGA Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan terdapat ‘kartel’ dalam pemilihan syarikat pelancongan untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji bagi mengendalikan pakej swasta ibadah haji.

Sebaliknya, mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji berlesen dan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sistem pemilihan telah digunapakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala.

Malah, beliau memaklumkan, sistem berkenaan telah diperkemaskan tahun ini.

“Syarat-syarat pemilihan Pengelola Jemaah Haji yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan haji yang terbaik termasuk mampu menjaga rapi kebajikan jemaah haji Malaysia.

“Oleh itu, dakwaan ‘kartel’ adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Masyair: Jemaah haji Malaysia tinggalkan khemah lebih bersih

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, TH telah mengeluarkan lesen Pengelola Jemaah Haji kepada 22 syarikat pelancongan pada 22 Februari lalu di mana kesemua syarikat berkenaan telah melalui proses saringan dan pemilihan teliti untuk beroperasi.

Bagi memohon lesen berkenaan, beliau berkata, syarikat pelancongan perlu memenuhi 10 syarat termasuk berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut.

Selain itu, rekod Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat seperti kewangan pengarah syarikat, pemegang saham dan mana-mana individu dalam pengurusan syarikat.

Syarikat pelancongan itu juga mesti mempunyai pengurusan dan kakitangan yang berpengalaman; laporan juruaudit bersih untuk dua tahun terkini; laporan kewangan syarikat yang telah diaudit untuk tiga tahun terakhir; modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000 dan dana pemegang saham yang positif.

Syed Saleh memaklumkan, syarikat tersebut turut lulus penilaian umrah oleh Pejabat TH di Arab Saudi; tiada kes mahkamah semasa dan carian rasmi oleh Jabatan Insolvensi menyatakan syarikat serta individu tidak bankrap.

Tahun ini, beliau berkata TH telah memilih dua Pengelola Jemaah Haji baharu iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd. serta Mimm Travel & Tours Sdn. Bhd. bagi menguruskan pemergian haji ke tanah suci.

“Permohonan lesen Pengelola Jemaah Haji dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan.

“Bagi permohonan baharu untuk musim 1444H/2023M, permohonan telah ditutup pasa 1 Ramadan lalu dengan permohonan untuk musim 1445H/2024 akan ditutup pada 1 Ramadan 1444H,” jelas beliau.

Semalam, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menggesa supaya amalan ‘Kartel TH’ dalam soal pemilihan agensi pelancongan untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji dapat dihapuskan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram