Muhammad Azeem mencatat rekod baharu 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) pada aksi saringan Kejohanan Olahraga Bawah 20 tahun Dunia di Cali, Colombia. /Gambar Fb KBS

REKOD baharu 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) yang dicipta atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia satu pencapaian luar biasa kerana dicipta lebih awal daripada waktu yang dijangka. 

Jurulatihnya Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata berdasarkan analisis ke atas prestasi dan keadaan semasa Muhammad Azeem, atlet berusia 18 tahun itu yang mempunyai masa peribadi terbaik 10.28s  dijangka memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 September depan.

Namun, beliau tetap percaya Muhammad Azeem mampu meleburkan rekod kebangsaan di Cali tetapi menjangka masa terpantas yang akan direkodkan adalah sekitar 10.12s hingga 10.15s.

“Saya jangka ia (pecah rekod) di Sukma tapi berlaku di Cali. Saya bersyukur, Alhamdulillah, mungkin Muhammad Azeem memilih pentas yang betul untuk pecahkan rekod 100m kebangsaan.

“Saya amat berbangga dengan prestasi dia dan saya berharap dia mampu untuk kekalkan prestasi itu untuk mencipta sesuatu (kejayaan) buat negara,” katanya yang berada di Cali ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Muhammad Amir percaya tidak mustahil untuk Muhammad Azeem sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan ketika beraksi sama ada di peringkat separuh akhir atau akhir sekiranya layak, dengan kedua-dua pusingan dijadual awal pagi esok.

“Dalam keadaan sekarang, dengan persaingan yang tinggi dan sengit dengan masing-masing (pesaing) mempunyai catatan masa yang baik, adalah tidak mustahil untuk berlaku sekali lagi Muhammad Azeem pecah rekod kebangsaan,” katanya.

Baca: Malaysia perlu sembilan emas capai sasaran di Hanoi

Catatan masa 10.09 s oleh Muhammad Azeem Fahmi pada saringan 100 meter awal pagi tadi sememangnya cukup luar biasa, kata jurulatih atlet kelahiran Ipoh itu.

Pada aksi di Stadium Olimpik Pascual Guerrero awal pagi tadi waktu Malaysia, Muhammad Azeem yang berlari dalam saringan lapan 100m lelaki menamatkan larian dengan catatan 10.09s sekali gus menjadi antara 24 pelari mara ke peringkat separuh akhir seterusnya memadam rekod lama kebangsaan 10.18s yang dicipta bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan pada Sukma 2016 di Kuching, Sarawak.

Pada saingan awal di Cali itu, hanya pelari Botswana berusia 19 tahun, Letsile Tebogo yang berlari dalam saringan tiga mencatat masa lebih pantas daripada Muhamamd Azeem selepas memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan masa 10s.

Pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Puripol Boonson dari Thailand turut menjuarai saringan enam dengan melakar masa 10.20s untuk mengesahkan tempat di pusingan seterusnya.

Berdasarkan semakan Bernama, Muhammad Azeem setakat ini merupakan remaja terpantas Asia pada  2022 mengatasi atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita yang mempunyai masa peribadi terbaik 10.16s diikuti Boonson (10.19s) dan Wang Shuang dari China dengan 10.23s.

Catatan 10.09s itu turut mengatasi rekod Sukan SEA 10.17s milik bekas jaguh pecut Indonesia Suryo Agung Wibowo yang dicipta pada edisi 2009 di Laos dan menghampiri masa peribadi terbaik 10.03s bekas juara remaja dunia dari Indonesia Lalu Muhammad Zohri yang dilakukan pada 2019.

— BERNAMA