LAGU Sepi Sekuntum Mawar Merah yang pernah dipopularkan oleh Ratu Rock Negara, Ella antara deretan lagu yang kekal menjadi siulan anak muda hingga kini.

Malah, lagu ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik oleh Lukhman S yang dimuatkan dalam album solo ketiga Ella berjudul Identiti pada 1990 itu turut menjadi antara ‘playlist’ wajib dalam kalangan penyanyi lain termasuk bintang yang semakin meningkat naik, Amir Masdi.

Bagi Amir, 26, atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi, Sepi Sekuntum Mawar Merah itu juga adalah lagu kegemarannya hingga membuatkan dirinya mengambil keputusan merakamkan lagu tersebut dalam versi baharu dengan susunan muzik yang lebih segar oleh dirinya, Rudy Nastia dan Farez Asmadi.

Menariknya, sudah beberapa kali Amir yang juga juara program Akademi Fantasia 2016 menyanyikan lagu itu di pentas pertandingan seperti Akademi Fantasia Megastar (Astro Ria) dan Immortal Songs di TV3 pada 2020.

“Daripada lagu-lagu kak Ella sedia ada, ini adalah lagu kegemaran saya. Apatah lagi saya pernah menyanyikan lagu ini sewaktu menyertai program Akademi Fantasia Megastar, Immortal Song dan saya juga buat ‘cover’ sendiri lagu ini.

“Ketika Immortal Song itu, ia tular dan ‘cover’ lagu ini juga antara yang paling banyak mendapat tontonan di saluran YouTube saya. Itu sebab saya memutuskan untuk merakamkan lagu ini sebagai hadiah kepada peminat yang suka dan selalu minta. Saya fikir kenapa tidak untuk buat satu rakaman yang betul.

“Kemudian saya berbincang dengan pihak pengurusan untuk hadiahkan kepada peminat sebuah rakaman audio yang sedap dan visual video muzik yang cantik,” katanya.

Menurut Amir yang pernah menjadi finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 menerusi lagu Ku Sakiti, dia teruja apabila turut mendapat sokongan dan kata-kata semangat daripada Ella selaku penyanyi asal lagu itu.

“Saya pun ada mesej kak Ella berkenaan lagu ini dan dia beritahu kalau ada rezeki nanti boleh menyanyi bersama-sama. Saya juga minta dia merestui untuk saya merakamkan semula lagu ini. Saya rasa alhamdulillah dia terima dengan baik.

“Lega juga sebenarnya apabila penyanyi asal sendiri yang menerima pemberian nafas baru untuk lagu ini. Malah, saya juga pernah membuat persembahan depan komposer lagu ini, Fauzi Marzuki dan dia pun memberikan komen yang positif. Apabila komposer dan juga penyanyi asal memberikan maklum balas baik, ia membuatkan saya lebih berani untuk merakamkan semula lagu ini.

“Dari segi video muzik, kami buat dalam masa tiga hari selepas perancangan pada saat akhir. Idea datang daripada saya dan juga pengarah. Proses rakaman semasa dalam studio ambil masa dalam tiga ke empat jam dan susunan muzik dibuat oleh saya, Rudy dan Faris,” ujarnya.

Dalam masa sama, Amir menyifatkan merakamkan semula lagu yang pernah popular dan hits pada era 1990-an adalah trend industri muzik tanah air ketika ini.

“Memang sekarang ini trend muzik kita adalah ‘cover’ semula lagu lama dan saya pun sedar perkara itu. Kita boleh tengok rentak industri kita sekarang ini lebih kepada mengimbau kembali lagu-lagu lama. Saya sebenarnya memilih lagu ini bukan kerana ikut trend 100 peratus, tetapi memang saya dah lama nak buat.

“Selepas program Immortal Song itu saya memang ada merancang untuk keluarkan ‘cover’ yang rasmi. Tetapi kami masih belum buat sebarang penetapan. Bila trend ini dah masuk, kami pun ikut juga trend ini dan ikut perancangan seperti sebelumnya.

“Dari soal perbandingan nyanyian saya dengan kak Ella, saya tak terfikir untuk risau perbandingan penyanyi lelaki dan perempuan. Saya pilih lagu ini sebab saya suka dari dulu lagi. Saya tengok juga daripada permintaan daripada peminat saya,” katanya.

Ditanya adakah dia mempunyai perancangan untuk merakamkan semula lagu penyanyi lelaki yang pernah meletup, Amir mengakui dia perlu berhati-hati.

“Kalau lagu lelaki untuk saya ‘cover’ itu masih belum ada perancangan atau terfikir lagi setakat ini. Mungkin saya kena tengok juga lirik lagu itu, melodinya, penyanyi dan juga komposer yang bersesuaian dengan saya.

“Sebab kalau lagu-lagu lama ini, saya kena hati-hati juga dan tak boleh main ‘cover’ saja. Kita tak boleh langgar saja dan kena hormat lagu, komposer dan juga penyanyi lama. Setiap perincian sebenarnya sangat penting. Perlu pertimbangkan sebaiknya sebelum buat ‘cover’ rasmi,” tegasnya.

Single rakaman semula Sepi Sekuntum Mawar Merah versi Amir Masdi terbitan Nova Music dilancarkan secara rasmi pada 30 Julai lalu dan serentak itu ditayangkan video muzik (MV) rasmi di saluran YouTube Nova Music Videos.

Menariknya, MV arahan Azuad Abdullah itu menampilkan warga Sekolah Seni Malaysia Johor.