DEMAM automotif dan budaya pop kembali membara! Acara ikonik yang dinanti-nantikan, Art of Speed 2026 (AOS 2026) akan membuka tirainya bagi edisi ke-15 pada 1 dan 2 Ogos depan.
Bertempat di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS), Serdang, penganjuran kali ini menjanjikan pengalaman luar biasa yang menggabungkan elemen seni, gaya hidup, dan jentera kustom di atas kawasan seluas 320 ekar.

Namun, tumpuan utama yang mencuri perhatian ramai bagi edisi kali ini adalah kemunculan semula Festival SoundCircus.
Selepas ‘berehat’ selama dua tahun, festival muzik ini kembali dengan skala yang lebih gergasi, menempati ruang seluas empat ekar dengan penyediaan enam buah pentas persembahan yang berbeza.
Kejutan paling besar buat peminat muzik adalah slot persembahan istimewa yang dinamakan TAKHTA RATU NUSANTARA.
Buat julung kalinya, dua legenda rock wanita dari dua negara, Ella (Malaysia) dan kumpulan Cokelat (Indonesia), bakal berkongsi satu pentas utama.

Kolaborasi ini dijangka menjadi momen sejarah dalam industri muzik serantau.
Selain itu, pengunjung bakal disajikan dengan konsep LEGENDS X RENEGADES yang menggabungkan tenaga kumpulan Jemson dan Def Gab C, serta sambutan ulang tahun kumpulan Slatan melalui konsep 010.8 FM present: Hari Slatan.
Tidak ketinggalan, elemen tradisional turut disuntik menerusi DIKIR KUSTOM kendalian Issey dan The Clique, serta pertembungan dua generasi dalam POWER POP YEAH YEAH oleh kumpulan Couple bersama Adnan Othman.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia (AOSM), Asep Ahmad Iskandar menegaskan edisi ke-15 ini merupakan satu bentuk evolusi yang bukan sahaja meraikan minat mendalam terhadap automotif, malah memberi impak besar kepada sektor pelancongan negara.
“Kami amat berbangga dapat membawa semula SoundCircus ke MAEPS pada tahun ini.
“Ini bukan sekadar festival muzik biasa, tetapi ia adalah simbol evolusi yang menyumbang secara signifikan kepada industri kreatif dan pembangunan pelancongan Malaysia,” katanya.
Tambahnya, sejak diperkenalkan pada 2017, SoundCircus telah menjadi platform utama bagi menyokong bakat arus perdana mahupun bawah tanah (underground).
“Melalui sokongan strategik daripada Tourism Selangor, kami bertekad mengangkat SoundCircus sebagai sebuah destinasi muzik bertaraf serantau.
“Dengan pengenalan enam buah pentas tahun ini, kami mahu membuktikan komitmen kami dalam meluaskan skala acara tanpa mengabaikan nilai artistik dan kepelbagaian genre,” ujarnya.
Setakat ini, lebih 34 pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Jepun telah disahkan bakal beraksi.
Antaranya termasuklah Nadin Amizah, Masdo, Midnight Fusic, The Jansen, dan ramai lagi.
Bagi mereka yang tidak mahu terlepas momen epik ini, tiket bagi AOS 2026 bermula dari serendah RM35.00, manakala tiket SoundCircus pula ditawarkan dalam pelbagai kategori bermula dari RM89.00 sehingga RM388.00.
Pembelian boleh dilakukan secara atas talian melalui laman web rasmi mereka sebelum jualan di pintu masuk dibuka pada hari acara.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

