
Manchester United mempaparkan prestasi terbaik mereka pada musim ini menentang Tottenham Hotspur pada pagi Khamis lalu.
Old Trafford bergema dengan suara penyokong menyorak “Ten Hag’s Red Army” dan Spurs seolah-olah tidak boleh menoleh ke arah lain tanpa melihat warna merah meluru ke arah mereka.
Dominasi United dipuji oleh pengkritik kritik seluruh dunia tetapi tidak dibincang dengan cukup.
Melalui akaun Twitter, United berkata gembira melihat persembahan pasukan mereka tetapi seorang pemain semestinya tidak gemar menyaksikan dominasi rakan sepasukannya dari jauh.
Strategi Erik Ten Hag meninggalkan rasa pahit dalam mulut Cristiano Ronaldo, yang memanaskan badannya dua kali sebelum Antony dos Santos digantikan dengan Anthony Elanga.
Ronaldo kemudian bertindak macam Ronaldo; meluru keluar dari Old Trafford, seperti mana dilakukannya ketika perlawanan persahabatan United menentang Rayo Vallecano.
Peminatnya kemudian cepat sahaja mengutuk Ten Hag atas keputusan untuk tidak memainkan ‘GOAT’ mereka dan berkata warga Belanda tersebut “tidak menghormati top-scorer pada musim lepas”. Ketika ditanya tentang kejadian itu, Ten Hag hanya berkata ia “akan diuruskan esok”.
Ten Hag bertindak apabila Ronaldo tidak mengikut United menentang Chelsea dan disuruh untuk berlatih sendirian.
Penyokong Ronaldo juga terkedu apabila The Athletic dan Chris Wheeler dari The Daily Mail berkata Ronaldo enggan memasuki padang sebagai pemain gantian.
Ronaldo melalui akaun Instagramnya mengakui beliau berkelakuan tidak baik terhadap pasukannya namun macam drama Melayu di Disney+, penyokong United berkata “Tiada Maaf Bagimu” kerana dalam kenyataan empat paranya (mungkin ditulis ejennya), tiada satu pun ayat yang menyatakan beliau kesal dengan perbuatan itu.
Nak bincang soal hormat sangat kan?
Mungkin ramai lupa atau buat-buat lupa yang beliau dan ejennya Jorge Mendes pergi serata dunia– atas izin Ten Hag – mencari kelab lain kerana ingin bermain dalam Champions League.
Namun ia tidak mengejutkan bahawa pemain 38 tahun yang mempunyai reputasi merosakkan skuad dan mempunyai bayaran sebanyak RM1.5 juta seminggu tidak diingini oleh kelab-kelab lain.
Ronaldo pulang ke Manchester dengan hati yang berat dan enggan berlatih bersama Manchester United untuk kempen pra-musim.
Penyokong Ronaldo boleh mengungkit statistiknya pada musim lepas tetapi itu… musim lepas.
Musim ini, United menang 8 perlawanan tanpa Ronaldo dan bermain jauh lebih baik kerana penghantaran bola dan peluang untuk menjaringkan gol bergantung kepada sebelas orang, bukannya seorang.
Ketika Ronaldo menggantikan Anthony Martial menentang Everton, pemain United berusaha untuk memastikan Ronaldo dapat menjarinkan gol ke-700 namun apa yang mereka dibalas dengan tindakan Ronaldo yang mementingkan diri.
Ketiadaan Ronaldo ketika masa penuh tidak dirasakan pemain United dan penyokong yang menyambut kemenangan mereka menentang Spurs kerana prestasi pasukan lebih penting daripada menjaga perasaan seorang pemain.
Ten Hag dikritik berat oleh Patrice Evra dan Rio Ferdinand sebab tidak menghormati Ronaldo tetapi mereka juga yang mengutuk pemain lain kerana “tidak faham nilai bermain untuk Manchester United”.
Masalah bekas pemain United ialah mereka sering lupa yang bola sepak sudah beralih kepada zaman lebih moden dan lebih teknikal berbanding dulu. Mereka juga susahmenerima bahawa era Ronaldo-Messi sudah di penghujung.
Penyokong dan juga lagenda kelab sudah bertahun-tahun meminta perubahan. Ini bermakna mereka perlu pemain-pemain generasi baharu, yang memahami era bola sepak masa kini, bukannya yang lama.
Tibanya Ten Hag telah mengubah skuad United yang dikatakan perlu “pembedahan jantung” oleh Ralf Rangnick musim lepas, jadi kenapa masih berpegang lagi kepada ‘kehebatan’ Ronaldo yang sudah lama pudar?
Sir Alex Ferguson berkata dalam autobiogri beliau, “Saat seorang pemain berasa dia lagi besar dari satu pasukan, ketika itulah dia kena buang.” Beliau juga memastikan pemain tidak mempunyai gaji lagi banyak daripadanya untuk memperkukuhkan kuasa dalam skuad.
Ten Hag mempunyai keberanian untuk menjadikan sesetengah pemain pemanas kerusi tanpa kira siapa mereka – tak kisah lah ketua pasukan ataupun ‘Pemain terhebat di dunia’ untuk kebaikan satu skuad, bukannya individu.
Beliau juga hanya bersikap profesional dengan menghargai usaha pemain yang menunjukkan mereka layak berada di atas padang – satu falsafah yang diamalkannya sejak zaman Ajax.
Jadi kenapa Ronaldo tidak menunjukkan cara kerja yang sama? Kalau pemain sehebat Casemiro pun boleh menerima orang lain bermain, kenapa Ronaldo tak boleh?
“Ronaldo punca United kekal dalam Champions League musim lepas.” Kata kunci di sini: “musim lepas” bukan musim ini. Musim baharu bersama jurulatih baharu – strategi baharu.
Ronaldo kena terima United kini menuju masa depan yang tiada tempat untuk dirinya.
Jadi sehingga Januari, kalau rasa nak merajuk, masuklah terowong tu lagi. Jangan terlanggar pintu sudah.
*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.

