Beberapa kampung di sekitar Bukit Gantang, Taiping dekat sini dilanda banjir kilat sejak petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.39 petang berkaitan banjir kilat yang melibatkan hampir 50 mangsa.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati berlaku banjir kilat sedalam satu setengah kaki berpunca daripada hujan lebat yang melibatkan beberapa kawasan.
“Kampung yang terlibat ialah Kampung Cheh, Kampung Senduk Hulu, Kampung Bukit Cempedak dan Kampung Changkat Ibol,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata setakat ini, pusat pemindahan sementara belum dibuka dan sesetengah mangsa banjir telah diselamatkan serta dipindahkan ke rumah jiran berhampiran.
— BERNAMA
Friday , 04 November 2022

