ݢاليري نوسنتار – ايفيسود 29
كاءين ليمر مروڤاكن كاءين بركواليتي تيڠڬي دان فبريک تراديسيونل ملايو كدوا ترتوا سلڤس كاءين ڤلاڠي. ڤد زمان دهولو، كاءين ليمر هاڽ دڤاكاي اوليه ڬولوڠن ايستان دان بڠساون.
لاما كلاماءن، اي دڤاكاي اوليه رعيت بياسا دان سريڠ دڬوناكن دالم مجليس كراماين سڤرتي ڤركهوينن دان مجليس برختن.
كاءين ليمر اين دڤرچاياءي تله دڬوناكن سجق زمان ڤمرينتهن چيق سيتي وان كمبڠ ياءيت سكيتر تاهون 1677 – 1610 دكلنتن. اد چريتا يڠ مڠاتاكن بهاوا چيق سيتي وان كمبڠ كليهاتن ساڠت اڠڬون دان كمس ديق كران كاءين ليمر يڠ هالوس سني ڤمبواتنڽ.
كاءين ليمر دكنلي ملالوءي ببراڤ چيري ترتنتو. انتاراڽ، ورنا، موتيف يڠ دڬونا ڤاكاي سرتا ستروكتور بنتوق. ورنا ڤاليڠ كتارا دڬوناكن اونتوق مڠحاصيلكن كاءين ليمر اياله ورنا ميره يڠ سلالوڽ ترلتق ڤد بهاڬين كڤالا كاءين.
موتيف يڠ سريڠ مڠهياسي كاءين ليمر اياله بوڠا-بوڠاءن، ڬيوميتري، توليسن دان اوڠڬس. باڬي منمبهكن سري، ڤڠڬوناءن سوڠكيت دان تليڤوق توروت دحاصيلكن كتيک ڤمبواتن كاءين ليمر.
كاءين ليمر لاما سلالوڽ ترديري درڤد تيݢ جنيس بنتوق يڠ سريڠ دڬونا ڤاكاي سوقتو ڤمبواتن كاءين اين. انتاراڽ، بنتوق كاءين ساروڠ، كاءين ساروڠ لڤس دان بنتوق امڤت ڤرسڬي.
قوم للاكي سلالوڽ مماكاي كاءين اين سباڬاي سمڤيڠ اتاو بڠكوڠ دبهاڬين ڤيڠڬڠ. ڤماكاين كاءين ليمر اين دليهت لبيه ڤوڤولر دكالڠن قوم للاكي دبهاڬين تيمور سمننجوڠ ياءيت، كلنتن دان ترڠڬانو.
باڬي قوم وانيتا ڤولا، مريک مماكايڽ دڠن چارا مڽيمڤوه درڤد بهاڬين اتس دادا هيڠݢ كبتيس. ماناكالا دبهاڬين اتس ڤولا، اي دجاديكن سباڬاي سليندڠ اونتوق ڤنوتوڤ ڤد بهاڬين باهو يڠ تردده.
باڬي وانيتا جوهر، كاءين ليمر اين دجاديكن باجو تلوق بلاڠا اتاوڤون باجو كوروڠ برلڠن ڤينديق. كبياساءنڽ، اي دڤاكاي برسام دڠن كاءين ڬروس برتليڤوق ياءيت كاءين ليچين برتليڤوق.
ڤروسيس ڤمبواتن سهلاي كاءين ليمر اڬق روميت بربنديڠ جنيس كاءين لاءين. ترداڤت تيݢ جنيس كاءين ليمر ياءيت كاءين ليمر بياسا اتاو كوسوڠ، كاءين ليمر تاڤق چاتور اتاو ڤليكت، دان كاءين ليمر برسوڠكيت.
باڬي كاءين ليمر بياسا اتاوڤون كاءين ليمر كوسوڠ، اي دبوات دالم دوا بنتوق. ڤرتام، بربنتوق ساروڠ دان كدواڽ بربنتوق لڤس. اي دڤاكاي اوليه قوم وانيتا يڠ دڤادنكن دڠن باجو كباي اتاوڤون باجو كوروڠ.
اونتوق كاءين ليمر تاڤق چاتور اتاوڤون ڤليكت، اي ممڤوڽاءي چورق برڤيتق-ڤيتق دان سلالوڽ برورنا-ورني. كاءين اين بياساڽ دڬوناكن سباڬاي بڠكوڠ دان جوݢ بربنتوق ساروڠ دان دڤاكاي اوليه وانيتا سباڬاي تودوڠ.
باڬي كاءين ليمر برسوڠكيت ڤولا، اي دتمبه جاهيتن بنڠ امس دڠن چورق٢ يڠ مناريق. ڤڠحاصيلن كاءين اين كباڽقن دتموءي دكلنتن دان ترڠڬانو.
تيكنيک ڤڠحاصيلن كاءين ڤوا ياءيت تنونن اورڠ ايبن، سراوق مڽاماءي تيكنيک يڠ دڬوناكن اونتوق مڠحاصيلكن كاءين ليمر ياءيت ايكت دان چلوڤ. اوليه سبب ايت، تيمڤوه ماس اونتوق مڠحاصيلكن كاءين ليمر اين مماكن ماس يڠ لبيه لاما دان ساڠت روميت.
سوقتو برلاكوڽ ڤرڠ دنيا كدوا، ڤننون كاءين ليمر دڤنتاي تيمور تله مڠهنتيكن ڤڠحاصيلنڽ، تيدق سڤرتي كاءين ڤوا يڠ ماسيه دككلكن سهيڠݢ كيني.
دتمبه دڠن ككورڠن سومبر دان كڤاكرن دالم بيدڠ ڤمبواتن كاءين ليمر منجادي ساتو فكتور كڤد كڤوڤوسن فبريک يڠ دكنلي سباڬاي كاءين كلاسيک ملايو اين.
جک ادڤون ڤمبواتن كاءين ليمر ڤد هاري اين، كواليتيڽ تيدق ستنديڠ دڠن كاءين ليمر دهولو كران فكتور ڤڠڬوناءن بنڠ، ورنا، موتيف دان تيكنيک ڤمبواتنڽ تله دأوبه سواي مڠيكوت ڤرايدرن ماس دان داي ساءيڠن دڠن تيكستيل ايمڤورت ماس كيني.
لنترن ايت، كوجودن كاءين ليمر اصل ڤد ماس سكارڠ هاڽ داڤت دليهت منروسي ڤاميرن دموزيوم اتاو منجادي بارڠ سيمڤنن ڤريبادي سستڠه اينديۏيدو. سايڠڽ كران اي دأكوءي اوليه راماي ڤڽليديق انتارابڠسا سباڬاي فبريک واريثن تراديسي ترچنتيق ددنيا.
GALERI NUSANTARA – Episod 29
KAIN LIMAR
Kain limar merupakan kain berkualiti tinggi dan fabrik tradisional Melayu kedua tertua selepas kain pelangi. Pada zaman dahulu, kain limar hanya dipakai oleh golongan istana dan bangsawan.
Lama kelamaan, ia dipakai oleh rakyat biasa dan sering digunakan dalam majlis keramaian seperti perkahwinan dan majlis berkhatan.
Kain limar ini dipercayai telah digunakan sejak zaman pemerintahan Cik Siti Wan Kembang iaitu sekitar tahun 1610 – 1677 di Kelantan. Ada cerita yang mengatakan bahawa Cik Siti Wan Kembang kelihatan sangat anggun dan kemas dek kerana kain limar yang halus seni pembuatannya.
Kain limar dikenali melalui beberapa ciri tertentu. Antaranya, warna, motif yang diguna pakai serta struktur bentuk. Warna paling ketara digunakan untuk menghasilkan kain limar ialah warna merah yang selalunya terletak pada bahagian kepala kain.
Motif yang sering menghiasi kain limar ialah bunga-bungaan, geometri, tulisan dan unggas. Bagi menambahkan seri, penggunaan songket dan telepuk turut dihasilkan ketika pembuatan kain limar.
Kain limar lama selalunya terdiri daripada tiga jenis bentuk yang sering diguna pakai sewaktu pembuatan kain ini. Antaranya, bentuk kain sarung, kain sarung lepas dan bentuk empat persegi.
Kaum lelaki selalunya memakai kain ini sebagai samping atau bengkung di bahagian pinggang. Pemakaian kain limar ini dilihat lebih popular di kalangan kaum lelaki di bahagian timur Semenanjung iaitu, Kelantan dan Terengganu.
Bagi kaum wanita pula, mereka memakainya dengan cara menyimpuh daripada bahagian atas dada hingga ke betis. Manakala di bahagian atas pula, ia dijadikan sebagai selendang untuk penutup pada bahagian bahu yang terdedah.
Bagi wanita Johor, kain limar ini dijadikan baju Teluk Belanga ataupun baju kurung berlengan pendek. Kebiasaannya, ia dipakai bersama dengan Kain Gerus Bertelepuk iaitu kain licin bertelepuk.
Proses pembuatan sehelai kain limar agak rumit berbanding jenis kain lain. Terdapat tiga jenis kain limar iaitu Kain Limar Biasa atau Kosong, Kain Limar Tapak Catur atau Pelikat, dan Kain Limar Bersongket.
Bagi kain limar biasa ataupun kain limar kosong, ia dibuat dalam dua bentuk. Pertama, berbentuk sarung dan keduanya berbentuk lepas. Ia dipakai oleh kaum wanita yang dipadankan dengan baju kebaya ataupun baju kurung.
Untuk kain limar tapak catur ataupun pelikat, ia mempunyai corak berpetak-petak dan selalunya berwarna-warni. Kain ini biasanya digunakan sebagai bengkung dan juga berbentuk sarung dan dipakai oleh wanita sebagai tudung.
Bagi kain limar bersongket pula, ia ditambah jahitan benang emas dengan corak-corak yang menarik. Penghasilan kain ini kebanyakan ditemui di Kelantan dan Terengganu.
Teknik penghasilan kain Pua iaitu tenunan orang Iban, Sarawak menyamai teknik yang digunakan untuk menghasilkan kain limar iaitu ikat dan celup. Oleh sebab itu, tempoh masa untuk menghasilkan kain limar ini memakan masa yang lebih lama dan sangat rumit.
Sewaktu berlakunya Perang Dunia Kedua, penenun kain limar di pantai timur telah menghentikan penghasilannya, tidak seperti kain Pua yang masih dikekalkan sehingga kini.
Ditambah dengan kekurangan sumber dan kepakaran dalam bidang pembuatan kain limar menjadi satu faktor kepada kepupusan fabrik yang dikenali sebagai kain klasik Melayu ini.
Jika adapun pembuatan kain limar pada hari ini, kualitinya tidak setanding dengan kain limar dahulu kerana faktor penggunaan benang, warna, motif dan teknik pembuatannya telah diubahsuai mengikut peredaran masa dan daya saingan dengan tekstil import masa kini.
Lantaran itu, kewujudan kain limar asal pada masa sekarang hanya dapat dilihat menerusi pameran di muzium atau menjadi barang simpanan peribadi sesetengah individu. Sayangnya kerana ia diakui oleh ramai penyelidik antarabangsa sebagai fabrik warisan tradisi tercantik di dunia.

