ايستيڠݢر تيكنولوݢي سناڤڠ ملايو

Dari Penulis

ݢاليري نوسنتارا – ايفيسود 31


تاهوكه اندا، ڤنجاجه ڤورتوڬيس منمڤوه كسوكرن دان مڠمبيل وقتو يڠ لاما سبلوم برجاي منعلوقي سڤنوهڽ كراجاءن ملاک ڤد تاهون 1511.

اين كران اورڠ ملايو زمان دهولو سوده ممڤو مڠڬوناكن سناڤڠ سوقتو برڤرڠ دڠن ڤنجاجه. بوكن هاڽ سقدر كريس دان تومبق سمات-مات.

مروجوع ڤد اڠكتن ڤرڠ كراجاءن ملايو ملاک، ترداڤت ساتو ڤاسوقن برسناڤڠ يڠ دتوڬسكن اونتوق مڠنداليكن سنجات اين. اي باڽق ممبنتو منڠكيس سرڠن موسوه سوقتو ڤريستيوا ڤنعلوقن ڤورتوڬيس كأتس كراجاءن ملايو لاما ايت.

تيكنولوڬي ڤرسنجاتاءن يڠ دمقصودكن اياله ‘سناڤڠ كانچيڠ سومبو’ اتاو توروت دكنلي دڠن نام ‘ايستيڠڬر’. دالم كتامادونن بارت، سنجات اين دڬلر دڠن ڤلباڬاي نام سڤرتي matchlock, musket دان snaphaan.

اي مروڤاكن سنجات اڤي تاڠن ڤاليڠ اول يڠ دڬوناكن دعالم ملايو سلاءين مريام. سنجات اين كرڤ دسبوت ددالم حكايت٢ لاما سڤرتي سلالة السلاطين (سجاره ملايو) دان جوݢ حكايت مڬت تراويس.

دالم حكايت مڬت تراويس، دچريتاكن مڬت تله برجاي ممبونوه سأورڠ هولوبالڠ يڠ كبل دان هيبت برنام تون سابن يڠ دكاتاكن سأورڠ يڠ كبل ترهادڤ سڬالا جنيس سنجات، كچوالي ايستيڠڬر يڠ دبوات خاص ڤلوروڽ. ايستيڠڬر يڠ دڬوناكن اونتوق ممبونوه تون سابن دكاتاكن اداله هديه درڤد علماء دري حضرا-موت كڤد راج ڤاڬر رويوڠ.

برداسركن فكتا سجاره، ڤنموان ڤرتام كالي سنجات اين دريكودكن اداله ڤد تاهون 1516، ياءيت ليم تاهون سلڤس ملاک دتعلوقي ڤورتوڬيس. ددالم ريكود ايت دڽاتاكن بهاوا ترلالو باڽق ايستيڠڬر يڠ دكومڤولكن اوليه تنترا ڤورتوڬيس سوقتو منعلوق كوتا ملاک.

اورڠ يڠ برتڠڬوڠجواب مندوكومينتاسيكن بوقتي اين اداله سأورڠ ڤنوليس دان ڤڬاواي ڤورتوڬيس برنام، دوارتي بربوسا. دوكومنتاسي برجودول ‘Book of Duarte Barbosa’ اين دجاديكن سومبر رجوعن اوتام تنتڠ ڤريستيوا ڤنعلوقن ڤورتوڬيس كأتس ملاک.

دالم چاتتن ترسبوت، بربوسا اد مڽبوت ڤنموان سجنيس سناڤڠ ڤنجڠ يڠ دڬلرڽ سباڬاي ‘espingardoes’ سرتا 3000 لارس مريام ميليق كراجاءن ملاک. سلاءين ايت، اي توروت مڽنتوه تنتڠ بنتوق فيزيكل سنجات ايت يڠ دأڠڬڤ بركواليتي تيڠڬي جک دبنديڠكن سنجات سام يڠ دڬوناكن اوليه ڤنجاجه ڤورتوڬيس.

باڬايمان اورڠ ملايو زمان ايت ممڤو منچيڤتا تيكنولوڬي سنجات اين؟ سلاءين اڠكتن تنترا ملاک، اڤاكه سناڤڠ اين توروت دڬوناكن اوليه كراجاءن٢ لاما ملايو يڠ لاءين؟

بسر كموڠكينن تيكنولوڬي ڤمبواتن سنجات اين دڤراوليه منروسي هوبوڠن ڤرداڬڠن انتارا كراجاءن ملاک دڠن كراجاءن عثمانيه دتركي. جک دليهت ڤد بوقتي سجاره، كدوا-دوا كراجاءن اين ممڤوڽاءي هوبوڠن يڠ باءيق انتارا ساتو سام لاءين.

مروجوع ڤد مانوسكريڤ ‘علمو بديل’، اورڠ ملايو دولو تله ملاكوكن ڤنمبهباءيقكن ترهادڤ تيكنولوڬي ڤرسنجاتاءن ترسبوت. سباڬاي چونتوه، ڤڠڬوناءن باهن٢ اساس اونتوق ممبوات سنجات اين سڤرتي سڤيسيس كايو كرس يڠ تيدق موده ڤچه ياءيت چڠل، ڤڠڬوناءن تمباݢ دان ڤيراق سلاءين دري بسي اڬر تيدق موده بركارت دان تاهن لبيه لاما.

سلاءين كراجاءن ملاک، ايستيڠڬر توروت دڬوناكن سچارا ملواس اوليه اڠكتن ڤرڠ دري كراجاءن ملايو لاءين. انتاراڽ، دالم كبوداياءن مشاركت مينڠكاباو دسومترا بارت يڠ مڠڬلركن سنجات اين سباڬاي ‘ستيڠڬر’ اتاو ‘ايستيڠڬر مينڠكاباو’.

دفهمكن، سنجات اين جوݢ ڤرنه دڬوناكن اوليه تنترا جوهر-رياو تراوتام كتيک ممبنتو بلندا مڽرڠ ڤورتوڬيس. سلاءين ايت، توروت دريكودكن ڤڠڬوناءن سنجات اين دالم كالڠن ڤندودوق دڤيراق كتيک مڽرڠ بلندا يڠ ممبينا لوجي٢ دسوڠاي ڤيراق.

سناڤڠ كانچيڠ سومبو دكاتڬوريكن سباڬاي سنجات اڤي ريڠن يڠ ترڬولوڠ ددالم كومڤولن ‘shoulder-fired small arms’. اوليه سبب ساءيزڽ لبيه كچيل دري مريام، اي دكنداليكن سچارا ڤرساءورڠن ملالوءي كدوا-دوا بله تاڠن سرتا باهو سباڬاي ڤناهن كتيک هندق منيمبق.

سناڤڠ اين ترديري درڤد توجوه كومڤونن اوتام. انتاراڽ، بوروڠ بديل يڠ برفوڠسي سباڬاي الت ڤمڬڠ سومبو سبلوم برلاكوڽ ڤروسيس ڤنچوچوهن ڤد ڤرموكاءن لوبڠ ڤڠڬالق يڠ دأيسي دڠن بليرڠ.

بهاڬين سومبو بديل يڠ ترديري درڤد تالي سابوت يڠ دچمڤوركن دڠن چچاءير كاليوم نيترت دان بليرڠ دڤاسڠكن ڤد بوروڠ بديل. سومبو اين برفوڠسي سباڬاي ڤنچوچوه باڬي ممباكر بليرڠ دڤرموكاءن لوبڠ ڤڠڬالق سوقتو هندق منيمبق.

سلاءين ايت، ترداڤت ساتو بكس خاص سڤرتي ڤيريڠ اتاو مڠكوق كچيل ڤد بهاڬين سبله كانن ڤڠكل سناڤڠ اين يڠ دسبوت سباڬاي ‘لوبڠ ڤڠڬالق’. اي برفوڠسي سباڬاي بكس ڤڠيسين سربوق بليرڠ.

ڤد بهاڬين تڠه ڤڠكل ڤولا، اد ڤاجيرا (sighting) يڠ مميليقي فوڠسي الت بنتوان باڬي سي ڤنيمبق ممبيديق ساسرن دڠن لبيه تڤت.

ڤد بهاڬين هوجوڠ مونچوڠ سنجات اين، ترداڤت كومڤنن دسبوت سباڬاي كچوبوڠ بديل (muzzle). اي برفوڠسي سباڬاي تمڤت ڤڠيسين ڤلورو اتاو اوبت بديل يڠ دممڤتكن دڠن مڠڬوناكن كايو ڤڠاسق.

دوا لاڬي كومڤونن لاءين دالم ڤمبواتن سناڤڠ اين اياله جاروم بديل يڠ مروڤاكن ڤمتيق اتاو ڤيچو باڬي مڠڬرقكن ڤمڬڠ سومبو كڤرموكاءن لوبڠ ڤڠڬالق. اخير سكالي، اداله لارس بديل (barrel) يڠ مميليقي بنتوق سڤرتي تيوب لوڬم ڤنجڠ دان برسليندر.

سلاءين كوليكسي ايستيڠڬر يڠ ترداڤت دموزيوم واريثن ملايو UPM، سناڤڠ اين توروت دڤاميركن دموزيوم نڬارا دان موزيوم كسنين اسلام. جک دبنديڠكن كتيݢ بواه تمڤت اين، كوليكسي يڠ اد دموزيوم واريثن ملايو UPM دكاتيڬوريكن سباڬاي لڠكڤ، چنتيق دان ماسيه برفوڠسي.

ايستيڠڬر سميمڠڽ منجادي ڤرهاتين خصوصڽ ڤارا ڤڠومڤول matchlock دري سلوروه دنيا برايكوتن سني ڤمبواتن سنجات ملايو لاما اين يڠ دأڠڬڤ لبيه هالوس، چنتيق دان كوكوه.


تريما كاسيه موزيوم واريثن ملايو UPM

GALERI NUSANTARA – Episod 31

ISTINGGAR

Teknologi Senapang Melayu

Tahukah anda, penjajah Portugis menempuh kesukaran dan mengambil waktu yang lama sebelum berjaya menakluki sepenuhnya kerajaan Melaka pada tahun 1511.

Ini kerana orang Melayu zaman dahulu sudah mampu menggunakan senapang sewaktu berperang dengan penjajah. Bukan hanya sekadar keris dan tombak semata-mata.

Merujuk pada angkatan perang kerajaan Melayu Melaka, terdapat satu pasukan bersenapang yang ditugaskan untuk mengendalikan senjata ini. Ia banyak membantu menangkis serangan musuh sewaktu peristiwa penaklukan Portugis ke atas kerajaan Melayu lama itu.

Teknologi persenjataan yang dimaksudkan ialah ‘Senapang Kancing Sumbu’ atau turut dikenali dengan nama ‘Istinggar’. Dalam ketamadunan Barat, senjata ini digelar dengan pelbagai nama seperti matchlock, musket dan snaphaan.

Ia merupakan senjata api tangan paling awal yang digunakan di alam Melayu selain meriam. Senjata ini kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis.

Dalam Hikayat Megat Terawis, diceritakan Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban yang dikatakan seorang yang kebal terhadap segala jenis senjata, kecuali Istinggar yang dibuat khas pelurunya. Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.

Berdasarkan fakta sejarah, penemuan pertama kali senjata ini direkodkan adalah pada tahun 1516, iaitu lima tahun selepas Melaka ditakluki Portugis. Di dalam rekod itu dinyatakan bahawa terlalu banyak Istinggar yang dikumpulkan oleh tentera Portugis sewaktu menakluk kota Melaka.

Orang yang bertanggungjawab mendokumentasikan bukti ini adalah seorang penulis dan pegawai Portugis bernama, Duarte Barbosa. Dokumentasi berjudul ‘Book of Duarte Barbosa’ini dijadikan sumber rujukan utama tentang peristiwa penaklukan Portugis ke atas Melaka.

Dalam catatan tersebut, Barbosa ada menyebut penemuan sejenis senapang panjang yang digelarnya sebagai ‘espingardoes’ serta 3000 laras meriam milik kerajaan Melaka. Selain itu, ia turut menyentuh tentang bentuk fizikal senjata itu yang dianggap berkualiti tinggi jika dibandingkan senjata sama yang digunakan oleh penjajah Portugis.

Bagaimana orang Melayu zaman itu mampu mencipta teknologi senjata ini? Selain angkatan tentera Melaka, apakah senapang ini turut digunakan oleh kerajaan-kerajaan lama Melayu yang lain?

Besar kemungkinan teknologi pembuatan senjata ini diperoleh menerusi hubungan perdagangan antara kerajaan Melaka dengan kerajaan Uthmaniah di Turki. Jika dilihat pada bukti sejarah, kedua-dua kerajaan ini mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain.

Merujuk pada manuskrip ‘Ilmu Bedil’, orang Melayu dulu telah melakukan penambahbaikkan terhadap teknologi persenjataan tersebut.  Sebagai contoh, penggunaan bahan-bahan asas untuk membuat senjata ini seperti spesies kayu keras yang tidak mudah pecah  iaitu cengal, penggunaan tembaga dan perak selain dari besi agar tidak mudah berkarat dan tahan lebih lama.

Selain kerajaan Melaka, Istinggar turut digunakan secara meluas oleh angkatan perang dari kerajaan Melayu lain. Antaranya, dalam kebudayaan masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat yang menggelarkan senjata ini sebagai ‘Setinggar’ atau ‘Istinggar Minangkabau’.

Difahamkan, senjata ini juga pernah digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis. Selain itu, turut direkodkan penggunaan senjata ini dalam kalangan penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak.

Senapang kancing sumbu dikategorikan sebagai senjata api ringan yang tergolong di dalam kumpulan ‘shoulder-fired small arms’. Oleh sebab saiznya lebih kecil dari meriam, ia dikendalikan secara perseorangan melalui kedua-dua belah tangan serta bahu sebagai penahan ketika hendak menembak.

Senapang ini terdiri daripada tujuh komponen utama. Antaranya, burung bedil yang berfungsi sebagai alat pemegang sumbu sebelum berlakunya proses pencucuhan pada permukaan lubang penggalak yang diisi dengan belerang.

Bahagian sumbu bedil yang terdiri daripada tali sabut yang dicampurkan dengan cecair kalium nitrat dan belerang dipasangkan  pada burung bedil. Sumbu ini berfungsi sebagai pencucuh bagi membakar belerang di permukaan lubang penggalak sewaktu hendak menembak.

Selain itu, terdapat satu bekas khas seperti piring atau mangkuk kecil pada bahagian sebelah kanan pangkal senapang ini yang disebut sebagai ‘lubang penggalak’. Ia berfungsi sebagai bekas pengisian serbuk belerang.

Pada bahagian tengah pangkal pula, ada pajera (sighting) yang memiliki fungsi alat bantuan bagi si penembak membidik sasaran dengan lebih tepat.

Pada bahagian hujung muncung senjata ini, terdapat kompenen disebut sebagai kecubung bedil (muzzle). Ia berfungsi sebagai tempat pengisian peluru atau ubat bedil yang dimampatkan dengan menggunakan kayu pengasak.

Dua lagi  komponen lain dalam pembuatan senapang ini ialah jarum bedil yang merupakan pemetik atau picu bagi menggerakkan pemegang sumbu ke permukaan lubang penggalak. Akhir sekali, adalah laras bedil (barrel) yang memiliki bentuk seperti tiub logam panjang dan berselinder.

Selain  koleksi Istinggar yang terdapat di Muzium Warisan Melayu UPM, senapang ini turut dipamerkan di Muzium Negara dan Muzium Kesenian Islam. Jika dibandingkan ketiga buah tempat ini, koleksi yang ada di Muzium Warisan Melayu UPM dikategorikan sebagai lengkap, cantik  dan masih berfungsi. 

Istinggar sememangnya menjadi perhatian khususnya para pengumpul matchlock dari seluruh dunia berikutan seni pembuatan senjata Melayu lama ini  yang dianggap lebih halus, cantik dan kukuh.

*Terima kasih Muzium Warisan Melayu UPM.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

سورة ڤاليڠ ڤينديق، تنتڠ سوڠاي دالم شرݢ

اوليه نيتا دهنينسماس ڤريستيوا اسراء دان معراج، رسول الله صلى الله عليه وسلم برسبدا، “كتيک اكو برجالن مڠليليڠي شرݢ،...

More Articles Like This