TUMBUHAN hijau mula dikaji sekitar tahun 1800. Ketika itu, ahli-ahli sains hanya mengetahui tumbuh-tumbuhan menggunakan karbon dioksida dan perlepasan oksigen untuk terus hidup.
Selepas kajian terperinci dilakukan, ilmuwan akhirnya menemukan zat pokok yang memainkan peranan penting dalam proses fotosintesis yang dipanggil klorofil.
Nama klorofil berasal daripada bahasa Greek – ‘chloros’ bermaksud hijau dan ‘phyllon’ membawa erti daun. Klorofil atau pigmen hijau pertama kali dijumpai oleh Joseph Bienaime Caventou (1795-1877) dan Pierre Joseph Pelletier (1788-1842) pada tahun 1817.
Pada tahun 1833, ahli fisiologi Jerman, Julius von Sachs, yang juga mengkaji pigmen hijau itu mendapati bahawa klorofil tidak bertaburan di sekeliling sel tumbuhan tetapi berada dalam struktur khas, dikenali sebagai kloroplas.
Kloroplas terdapat pada semua bahagian tumbuhan berwarna hijau termasuk batang dan buah yang belum matang. Di dalam kloroplas terdapat pigmen klorofil yang berperanan dalam proses fotosintesis. Dengan kata lain, klorofil dan fotosintesis adalah sesuatu yang sangat berhubung kait. Ini kerana, klorofil penting untuk proses fotosintesis agar tenaga cahaya matahari dapat disimpan.

Pada tahun 1915, Dr. Richard Willstater telah menerima Hadiah Nobel selepas kejayaannya menemukan struktur kimia klorofil sekali gus mengidentifikasikan fungsi sebenar zat hijau itu. Menerusi kajian tersebut, beliau mendapati fungsi klorofil tidak hanya terbatas sebagai zat pewarna hijau pada daun tumbuhan. Tetapi ia juga merupakan pengeluar tunggal atau satu-satunya ‘kilang’ di Bumi yang menghasilkan makanan sendiri. Bagaimana ia melakukannya?
Bahan hijau yang terdapat pada daun secara asasnya bekerja dengan cara menukar tenaga cahaya matahari, karbon dioksida dan air dari akar pokok. Daripada olahan itu, ia dapat membekalkan oksigen dan sumber makanan kepada manusia serta haiwan.
Seluruh proses semula jadi ini dilakukan di kilang hijau yang terdapat pada setiap daun tumbuhan. Kilang ini sangat istimewa kerana di sinilah biji benih dan buah-buahan dihasilkan. Difahamkan, jika zat hijau itu tiada, maka reaksi kimiawi turut tidak dapat dilakukan sekalipun semua unsur lainnya mencukupi.
Lama sebelum para ilmuwan menemukan zat bernama klorofil dalam tumbuhan, sekitar 1,400 tahun yang lalu al-Quran telah memberi petunjuk mengenai hal tersebut. Sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 99, bermaksud:
“Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun angur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.”
Ayat tersebut menjelaskan bagaimana air hujan yang turun dari langit dapat menghidupkan tanaman dan tumbuhan hingga berkembang mengikut fasanya. Juga menerangkan bagaimana tumbuhan hijau mampu menghasilkan biji-bijian dan buah-buahan yang ranum lagi segar.

Para ilmuwan tafsir berpendapat bahawa ‘tanaman yang menghijau’ itu merujuk kepada tumbuhan hijau. Ibnu al-Jauzi turut mentafsirkan ‘Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak’ sebagai merujuk kepada klorofil yakni bahan yang memberi warna hijau pada daun tumbuh-tumbuhan. Dan sains telah membuktikan bahawa bahan pewarna tumbuhan ini adalah satu-satunya kilang di muka Bumi yang mana mampu menghasilkan makanan sendiri termasuk mengeluarkan biji benih dan buah-buahan.
Kelebihan klorofil bukan hanya sekadar itu saja. Pada tahun 2010, Profesor Madya Min Chen dari University of Sydney telah menemukan tanpa sengaja sejenis klorofil baru yang pertama seumpamanya dalam tempoh 67 tahun.
Klorofil baru ini disifatkan amat penting untuk masa depan kerana ia mampu mencerap cahaya inframerah atau tenaga lebih rendah daripada mana-mana klorofil lain yang diketahui. Dalam erti kata lain, cahaya yang diserap oleh klorofil ini ialah tenaga yang kita sendiri dapat melihatnya.
Sejak penemuan tersebut, ramai saintis menjadi hairan – bagaimana klorofil mampu melakukan hal yang tidak diduga seumpama itu? Dan bagaimana pula ia mendapatkan tenaga yang cukup daripada cahaya inframerah untuk proses fotosintesis? Hal ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa klorofil sebenarnya memiliki keupayaan yang tidak dijangka terutama kebolehannya menyesuaikan diri untuk terus hidup dalam persekitaran apa pun.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

