BALU kepada Allahyarham Abam iaitu Siti Nor Hidayah Mohd Ali melahirkan rasa syukur apabila keputusan rayuan mahkamah berpihak kepadanya.
Justeru, Hidayah,31, meminta adik iparnya iaitu Ali Puteh untuk tidak melambatkan urusan pembayaran seperti yang diperintahkan mahkamah.
“Alhamdullilah syukur pada Allah, keputusan rayuan mahkamah telah diputuskan, juga telah memihak kepada saya.
“Semoga pihak di sana tidak melengah-lengahkan lagi segala urusan pembayaran mengikut perintah mahkamah yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Hidayah memuat naik kapsyen berserta gambarnya di Instagram yang memaparkan dirinya hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Sementara itu, Hidayah turut berharap kehidupannya selepas ini akan lebih tenang bersama anak lelakinya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia empat tahun.

“Semoga saya dan Hamzah boleh meneruskan kehidupan yang lebih baik dan sempurna selepas ini. Amin.
“Terima kasih semua yang mendoakan saya dan Hamzah,” katanya.
Terdahulu, Hidayah telah memfailkan saman terhadap Ali atas dakwaan perkongsian pelawak itu di media sosial berbaur fitnah dan menjatuhkan maruahnya.
Ali menuduh Hidayah seorang isteri yang jahat selain ingin membolot semua harta peninggalan arwah suaminya.
Sekitar 18 Februari tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Hidayah terhadap Ali.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini, Ali gagal dalam rayuan untuk mengetepikan perintah mahkamah dan perlu membayar Hidayah ganti rugi berjumlah RM600,000.

