Kebanyakan golongan ibu tunggal di negara ini tidak mengetahui hak mereka. Sama ada hak yang perlu dituntut, mahupun hak sedia ada terutamanya harta yang ditinggalkan suami termasuk harta sepencarian.
Apabila bercerai, ibu tunggal layak mendapatkan nafkah sara hidup yang secukupnya daripada bekas suami ataupun keluarga suami. Inilah hak yang diberi oleh Tuhan yang Maha Adil kepada ibu tunggal, bukannya tuntutan nafsu.
Apabila bekas suami ingin berkahwin dengan perempuan lain, pastikan tanggungjawab yang sedia ada telah dilaksanakan dengan sempurna.
Perlukah bekas suami dibenarkan berkahwin baru (dengan segala tanggungjawab baru) sedangkan tanggungjawab sedia ada tidak mampu dilaksanakan? Begitu juga dengan keluarga bekas suami harus memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap bekas menantu. Lihat sahaja Nabi SAW yang kematian ibunya. Bukankah ayah saudara sebelah bapanya yang membesarkannya?
Bersabar Dengan Musibah
Saya ingin berkongsi sebuah kisah yang amat terkenal di zaman Nabi SAW Kisah perpisahan suami isteri, Ummu Salamah dan Abu Salamah, yang layak ditulis dengan tinta emas. Ketika Abu Salamah sedang nazak, berlakulah dialog cinta antara kedua-dua suami isteri tersebut.
Ummu Salamah bersumpah tidak akan menikah lagi setelah kematian suaminya. Begitu pun, Abu Salamah mahu isterinya taat kepadanya dengan berjanji untuk berkahwin lagi. Ummu Salamah terkedu, air mata bercucuran hiba. Dalam kepayahan, kedengaran suaminya memanjatkan doa buat Ilahi,
“ Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik dariku yang tidak akan membuatnya sedih dan tidak akan menyakitinya.”
Setiap hari-hari sukar yang dilalui Ummu Salamah dihiasi doa kepada Allah SWT. Siapakah insan yang lebih baik dari arwah suaminya?
Sedangkan Ummu Salamah sedar dirinya bukan seorang gadis lagi. Tidak lama selepas itu, Allah memakbulkan doa Ummu Salamah. Allah mendatangkan insan paling mulia kepada Ummu Salamah iaitu Rasulullah SAW sendiri. Siapa sangka ibu tunggal itu dipinang Rasulullah SAW sendiri?
Apakah rahsia Ummu Salamah beroleh pertukaran yang tidak terbelah bahagi itu? Jawapannya adalah kesabaran dan doa yang tidak henti daripada Ummu Salamah sepanjang hari. Inilah doa seorang ibu tunggal yang cukup bernilai.
Pinta Ummu Salamah, “Ya Allah, berilah ganjaran atas kehilangan akibat musibah yang melanda diriku, dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya, maka pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih baik.”
Kesimpulannya, kepada ibu tunggal yang meraih sisa-sisa kehidupan, berdoalah agar Allah menukar musibah dengan kebaikan. Jadikan kesukaran pengalaman perceraian sebagai satu ujian daripada Allah untuk memberi sesuatu yang lebih baik pada masa depan. Sekalipun yang dimohon itu bukan suami baru namun sekurang-kurangnya ia adalah kehidupan baru. Kehidupan yang lebih bermakna dalam melengkapkan kalendar usia kita.

